SLOGAN KECEMERLANGAN 2017
Wednesday, December 9, 2009
TERIMA KASIH BADAR....
Hari ini saya didatang oleh 3 orang kuat BADAR yang telah banyak menyumbang tenaga dalam program kerohanian di sekolah ini. Mohd. Fikri, Al Baihaki dan Hariz Masri yang juga merupakan pengawas sekolah (Fikri adalah Ketua Murid). Kunjungan hormat sempena tamat SPM 2009. Mereka bersama dengan beberapa orang kuat BADAR lagi (masih menduduki peperiksaan SPM) begitu aktif dan sentiasa 'melekat' di surau sekolah setiap waktu. Kegigihan mereka ini menjadi buah mulut di sekolah dan masyarakat di Jelai ini. Beberapa masjid dan surau di gugusan Jelai sudah menaruh minat untuk mengadakan program bersama dengan unit BADAR pada tahun hadapan.
Berkat kegigihan mereka dengan sokongan ustaz Rizal, beberap program bersama telah dijayakan pada tahun 2009 ini. Antara program yang menarik minat masyarakat di sini ialah program KONVOI JOM KE MASJID. Program dwi-mingguan ini mengumpulkan pelajar di surau sekolah sekitar jam 6.30 petang khamis. Mereka seterusnya akan berkonvoi mengelilingi gugusan Jelai ini dengan pakaian ke masjid dan berakhir di masjid yang telah ditetapkan. Rombongan ini kebiasaannya terdiri daripada 20 hiungga ke 30 buah motosikal.
Di masjid, mereka akan menguruskan segala persediaan solat seperti menyusun sejadah, menjadi bilal (azan), menjadi imam, membaca yasin, menjadi imam solat, membantu menghidang makanan dan membersihkan masjid sebelum tamat program sekitar jam 10 malam.
BADAR juga telah bekerjasama dengan beberapa masjid dalam program seperti, pengurusan jenazah, penyembelihan binatang, dan Ceramah Palestin bersama Amal Palestin Malaysia.
Mereka juga banyak membantu menukar budaya sekolah terutamanya berkaitan solat, tazkirah, qiamulail dan pakaian islam. Penyertaan pelajar di dalam BADAR juga telah meningkat dan berkembang. Pelajar BADAR mudah dikenali. Dengan pakaian berjubah, berkopiah putih, berserban, sentiasa menghuni surau sekolah pada setiap waktu dan menunjukkan akhlak yang terpuji. Penubuhan BADAR juga membuang tanggapan bahawa pelajar sekolah ini serba bermasalah dan sukar dibentuk menjadi insan yang beriman. Kehadiran mereka juga telah menukar senario di felda ini yang terkenal dengan aktiviti rempit pada setiap jam 5 hingga 7 petang. Sekurang-kurangnya kini masyarakat boleh melihat sekumpulan remaja yang bermotorsikal pada petang hari menuju ke masjid dengan jubah, serban, kopiah dan baju melayu mereka!
Pada tahun 2010, saya mencadangkan kepada mereka agar mereka menubuhkan Alumni BADAR. Melaluinya diharapkan mereka akan dapat terus menyumbang tenaga dan idea serta pengalaman membantu pelajar lain dalam kegiatan BADAR. Di samping itu, pihak sekolah juga boleh menggunakan tenaga mereka dalam program BADAR sebagai Fasilitator dan melatih mereka di dalam ICT agar mereka dapat menjana pendapatan sementara menunggu keputusan SPM nanti.
Pihak sekolah ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli BADAR khususnya yang telah menamatkan persekolahan atas jasa mereka. Moga ALLAH memberikan kejayaan di dalam SPM dan kehidupan mereka . Moga-moga segala amalan yang dilakukan akan berkekalan dan mereka menjadi contoh teladan dan agen perubahan budaya di gugusan Jelai ini. Pihak sekolah akan memastikan program BADAR diberikan keutamaan dan peruntukan yang istimewa. Saya juga menyeru kepada setiap warga sekolah dan masyarakat memberikan sokongan kepada BADAR.
SELAMAT MAJU JAYA ...BADAR SMK JELAI FELDA !
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment