SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Friday, December 18, 2009

Guru Sarjana dan Phd perlu insentif





KUALA LUMPUR, 14 Dis: Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar) mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) sebagai dorongan kepada guru-guru lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat pagi tadi memberitahu, kebanyakan guru berkelulusan Sarjana dan Phd yang ditemui menyuarakan kekecewaan kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka di sekolah.

"Saya cadangkan guru-guru yang ada Sarjana dan Phd diberi anjakan gaji oleh kerajaan sebagai dorongan kepada mereka.

"Kalau tidak ada sebarang keistimewaan, bagaimana mereka hendak mendapat dorongan untuk menyambung pengajian," soalnya.

Mujahid turut meminta kerajaan meletakkan satu tangga gaji kepada guru-guru yang mempunyai Sarjana dan Phd di setiap sekolah selain menetapkan bilangan guru yang mempunyai kelulusan berkenaan di setiap sekolah.

Ini katanya sebagai motivasi kepada guru-guru untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat tertingggi.

Sebelum itu Mujahid meminta Menteri Pelajaran Malaysia menyatakan bilangan guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Malaysia.

Beliau juga ingin tahu samaada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi keistimewaan kenaikan pangkat atau anjakan gaji kepada guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Timbalan Menteri, Datuk Dr. Wee Kaa Siong (BN-Ayer Hitam) dalam jawapannya memberitahu, dalam kalangan guru yang mempunyai kelulusan Sarjana dan Phd, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan melalui perkongsian ilmu dengan guru-guru lain di sekolah.

Kementerian juga menyediakan peluang atau ruang yang luas kepada pegawai-pegawai ini melalui urusan kenaikan pangkat sebagai Guru Cemerlang an Pensyarah Cemerlang di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Kolej Matrikulasi.

Kementerian juga memberi keutamaan kepada pemegang ijazah Sarjana dan Phd untuk mengisi jawatan sebagai pensyarah di institusi berkenaan.

Sementara itu, Datuk Ismail Mutalib (BN-Maran) berkata, guru-guru ketinggalan dari segi kenaikan pangkat.

Beliau turut meminta agar Kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada guru sama seperti pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

KOMEN:

Jika cadangan ini menjadi kenyataan, ia sememangnya menjadi impian dan harapan setiap guru sejak sekian lama. Guru-guru sudah sekian lama 'membakar diri' untuk memastikan tahap pendidikan anak-anak bangsa sentiasa tinggi dengan berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan mereka, menyambung pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi. Sudah banyak tenaga, wang dan masa yang dikorbankan oleh para guru dalam usaha memastikan mereka sentiasa mempunyai tahap ilmu yang tinggi. Ada guru yang terpaksa berhutang semata-mata untuk melanjutkan pelajaran. Tambah parah bagi mereka yang telah berkeluarga. Ada yang terpaksa berkejar ke kuliah selepas tamat waktu persekolahan dan mengorbankan masa rehat semata-mata untuk menyahut seruan kerajaan agar para guru sentiasa meningkatkan tahap pengetahuan demi profesion perguruan yang semakin mencabar!

Namun, para guru tidak seharusnya 'dibakar' sehingga hangus demi atas nama profesion perguruan yang mulia. Nasib guru dan rintihan guru perlulah didengar dan pengorbana mereka dibalas dengan setimpal. Nasib guru yang mempunyai ijazah lanjutan dan Phd memang jauh sama sekali dengan nasib rakan-rakan di jabatan kerajaan yang lain. Bagi jabatan kerajaan yang lain, pemilik ijazah ini sudah pasti akan mudah meningkat ke tahap tertinggi di dalam kerja sebaik memperolehi ijazah ini.

Bagi guru, memang wujud keinginan mendalam untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan. Tidak ada guru yang tidak mahu melanjutkan pelajaran ke tahap tertinggi. Sekurang-kurangnya ia menjadi pendorong kepada anak didik di sekolah dan anak-anak di rumah sesuai dengan kedudukan guru yang menjadi model kepada pelajar dan anak-anak. Saya pernah berjumpa dengan rakan guru yang datang sejauh dari Kelantan, datang ke Uniputra pada Khamis (petang) dan balik semula ke Kelantan pada sabtu (petang), setiap mingg untuk menyambung pelajaran di peringkat Sarjana. Ini tidak termasuk dengan jarak dari rumah ke sekolah sejauh 100 km tempat guru ini berkhidmat. Ada rakan yang datang sejauh dari Kedah seiap minggu untuk tujuan yang sama. Bayangkan pengorbanan mereka dan guru-guru yang seperti ini. Sudah pastilah kita berharap agar pengorbanan sebegini , perlu dibalas dengan sewajarnya.

Bagi rakan-rakan guru , walaupun 'pengorbanan' kita ini belum didengar setakat ini, tetapi yakinlah sesungguhnya ada cahaya dihujung kegelapan...Teruskan usaha dengan gigih dan penuh semangat...

Tahniah kepada semua guru di SMK Jelai Felda yang sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan pencapaian anak didik kita. Salam Maal Hijrah...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...