SLOGAN KECEMERLANGAN 2017
Wednesday, December 9, 2009
100 Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang 2012 - TPM
JITRA 12 Nov. - Kementerian Pelajaran menyasarkan untuk mewujudkan 100 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menjelang 2012 menerusi pemilihan sekolah-sekolah terbaik yang menyerlah dalam semua aspek pendidikan di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, status sekolah yang akan dianugerahkan SBT mesti mempunyai identiti tersendiri, unik dan mampu melahirkan pelajar cemerlang.
"Sekolah-sekolah ini mempunyai kekuatan dan tradisi budaya kerja cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta berdaya saing.
"Ia mampu melahirkan golongan lebih dinamik dalam usaha meneruskan kesinambungan pembangunan di negara ini," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup persidangan pertama serantau mengenai Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.
Sehubungan itu, kata Muhyiddin, dalam usaha meningkatkan prestasi dan inovasi pelajar, sekolah-sekolah tersebut akan mempunyai kuasa autonomi bagi menjalankan aktiviti kurikulum, pemilikan bajet dan pengurusan berasaskan sekolah.
Beliau seterusnya memberitahu, selaras dengan usaha mempromosikan budaya kerja yang tinggi, pihak kementerian akan memperkenalkan insentif kepada pengetua, guru besar dan guru-guru di SBT berasaskan penilaian berdasarkan prestasi.
"Sasaran terakhir adalah untuk menjadikan kecemerlangan SBT dalam pendidikan sebagai penanda supaya ia menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain," kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, bagi meningkatkan prestasi di sekolah-sekolah, prestasi di kalangan pihak pengurusan juga perlu dipertingkatkan.
Menurut beliau, guru besar dan pengetua mesti bersikap dinamik, bersemangat ketika menjalankan tugas, berdisiplin, mahir dalam mata pelajaran dan sentiasa mampu menghasilkan keputusan yang baik kepada sekolah masing-masing.
"Tanpa prestasi tinggi di kalangan pengetua atau guru besar, para pelajar tidak mampu menyerlah, pengurusan yang teruk dan kualiti sekolah merosot dan kita tidak boleh membenarkan ia berlaku di sekolah-sekolah," kata beliau.
Sumber : Utusan Malaysia
KOMEN:
Sebagai warga pendidik, kita percaya langkah yang diambil oleh pihak kementerian ini adalah sesuatu yang baik. Sekurang-kurangnya ia akan menjadi satu lagi insentif kepada pihak sekolah khususnya pihak pengurusan sekolah agar terus berusaha memacu sekolah ke tahap yang lebih tinggi. Namun kita percaya juga bahawa, visi untuk meningkatkan pencapaian sekolah ini memang menjadi fokus utama setiap pengurusan sekolah. Di samping itu ia diharapkan akan mewujudkan budaya kerja cemerlang di kalangan semua warga sekolah.
Namun begitu, pihak kementerian perlulah bersikap telus dan jujur di dalam pemilihan sekolah-sekolah ini. Janganlah pencapaian akademik semata-mata dijadikan asas pemilihan. Jika ini berlaku, maka, sekolah-sekolah selain sekolah SBB, Sekolah Kluster, Sekolah Elite dan sebagai akan sekadar menjadi penonton sahajalah! Realiti yang berlaku sekarang begitulah. Berilah perhatian kepada sekolah-sekolah lain dengan menyediakan kriteria pemilihan yang boleh disertai oleh sekolah-sekolah selain sekolah tadi. Kita yakin sekolah -sekolah di luar bandar juga mempunyai keistimewaan dan kehebatan yang tidak dimiliki oleh sekolah-sekolah besar dan elite ini. Sekolah-sekolah elite ini juga sebenarnya telah terlalu banyak diberikan kemudahan berbanding sekolah lain.Sekurang-kurangnya, jurang antara sekolah jenis ini dan sekolah luar bandar tidaklah begitu jauh. Sampai masanya, kementerian memberi tumpuan kepada sekolah luar bandar dan harian biasa yang menampung sejumlah besar pelajar dalam sistem persekolahan kita ini.
Seperkara lagi, kementerian juga harus lebih fokus terhadap program-program yang telah dilaksanakan dan memastikannya agar benar-benar berjalan lancar. Kita telah didedahkan dengan pelbagai jenis sekolah sebelum ini seperti sekolah kluster. Sejauhmana kelancaran program sekolah ini masih menjadi tandatanya dan kini ditimbulkan pula sekolah beprestasi tinggi!
Kementerian juga perlu melihat 'penghakisan' pelajar pandai di sekolah-sekolah harian biasa dengan pewujudan sekolah-sekolah elite. Saya mengambil contoh sekolah-sekolah Felda yang rata-ratanya mempunyai jumlah pelajar terbaik (pencapaian 5A,4A atau 3A) yang kecil. Sebahagian pelajar ini akan ditempatkan ke sekolah berasrama penuh. Ada ura-ura juga untuk menempatkan semua baki pelajar ini ke asrama Felda, di sesuatu sekolah. Kesannya, sekolah-sekolah Felda yang lain ini akan hanya mempunyai pelajar dalam kategori sederhana dan lemah. Ini lah pelajar yang terpaksa digilap oleh guru-guru di sekolah tersebut untuk menjadi permata. untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam.
Namun, kita akan tetap akur dengan keputusan kementerian. sudah menjadi tanggungjawab dan amanah kita sebagai pendidik, iaitu mendidik sesiapa sahaja dengan hasrat menjadikan anak-anak ini insan berguna kepada masyarakat dan dirinya sendiri.
Bagi kita di SMK Jelai Felda, kita yakin kita mempunyai semangat yang cukup kental untuk berhadapan dengan perubahan-perubahan dan cabaran yang mendatang. kita tetap akan fokus dengan amanah dan tanggungjawab membangunkan modal insan yang ada menjadi warganegara sempurna.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment