SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Saturday, March 30, 2013

'Nyamuk' 360 darjah- Kisah klasik seorang anak murid..

PENGALAMAN di dalam menguruskan sekolah terutamanya berkaitan dengan disiplin pelajar sebenarnya banyak mengajar kita erti kehidupan. Masalah di sekolah terutamanya berkaitan disiplin, selalunya ditimbulkan oleh golongan pelajar yang bermasalah. masalah itu bermacam-macam. Kadangkala masalah itu berpunca daripada diri sendiri. Kadangkala berpunca daripada sistem di sekolah itu sendiri, keluarga, rakan-rakan , masyarakat dan pelbagai lagi. kategori pelajar yang terlibat ini pun ada jenis-jenisnya. Ada yang tegar, sukar berubah. Ada juga yang ingin berubah, tetapi tidak tahu bagaimana nak berubah.

Saya teringat kisah yang saya alami semasa bertugas di sebuah sekolah Felda di Gemas. Suatu hari saya didatangi oleh Guru Penolong Kanan Hem saya dengan membawa bersama seorang pelajar. Seingat saya , kejadian ini berlaku pada tahun 2009 sekitar bulan Mei. Ketika itu saya hanya baru beberapa bulan sampai di sekolah itu (2008). Pelajar yang dibawa kepada saya itu adalah pelajar lelaki , tingkatan 5.

'Cikgu!, saya ingat kita buang sajalah pelajar ini. ', kata GPK Hem saya itu.
"Apa masalahnya pelajar ini,", kata saya meminta kepastian sebelum bersetuju dengan cadangan guru berkenaan.
" Banyak masalahnya dia ni. Ponteng kelas dan macam-macam lagi. Dia pun dah dua kali kita buang ni. Ini masuk kali ketiga ni, cikgu!. " tambah GPK Hem itu.

Apa yang saya lihat , pelajar ini nampak lembut dan tidaklah jahat sangat.

"Dia ni nampak lembut ni Cikgu. Kecil aje. Tu pasallah orang panggil dia nyamuk.", sambung GPK saya lagi.

"Lagipun di ni duduk di kelas belakang ni..belajar pun tak boleh...", sambung guru itu.

Saya bagi tahu GPK saya, 'Beginilah, cikgu tinggalkan dia dengan saya sekejap.".

Setelah guru berkenaan beredar dari pejabat saya, saya hampiri pelajar ini dan pegang bahunya sambil bertanya, " Awak nak berubah tak?".
"Nak cikgu, " jawabnya tegas dan yakin.
"Betul ni..", kata saya untuk dapatkan kepastian.
"Betul, Cikgu!, " katanya lagi.
"O.k Macam ni lah..kalau awak betul nak berubah, malam esok kita ada program konvoi ke masjid Jelai 2. Ada majlis baca yasin dan solat hajat. Saya tunggu kamu di sana nanti", kata saya memujuknya. Malam berkenaan adalah hari pertama pihak sekolah di bawah BADAR mengadakan program "Jom Konvoi ke Masjid". Program in bercorah dwi bulanan dan akan beredar dari satu masjid ke satu masjid.

Pada malam itu, sesampainya di masjid , saya mencari-cari alam pelajar berkenaan. Dalam hati terdetik juga perasaan, "jangan-jangan dia ni tipu aku tak?". Namun cepat-cepat saya padamkan prasangka berkenaan . "Mungkin belum sampai lagi. Tak apalah", kata saya memujuk hati.

Selesai solat maghrib, majlis baca yasin pun bermula. Saya duduk di bahagian hadapan bersebelahan dengan ustaz dan imam masjid di samping beberapa bapa-bapa dan pelajar lain. Seketika kemudia saya ternampak pelajar ini masuk ke ruang solat dengan memakai jubah dan kopiah! " Alhamdulillah', bisik hati saya sambil terperanjat juga. Tidak disangka sama sekali pelajar ini akan datang dan dalam keadaan seperti itu. Saya memerhatikannya dan dia juga melihat ke arah saya sambil tersenyum. Saya angkat ibu jari saya menandakan 'bagus', ke arahnya. Dia tersenyum lagi . Selepas tamat majlis pada malam itu, saya berjumpa dengannya dan bersalaman sambil mengucapkan tahniah! Dia tersenyum lagi. Di dalam hati berkata-kata, mudah-mudahan dia berubah!

Pada petang keesokkannya, ketika menuju ke kantin sekoalah sekitar jam 4 petang , saya terlihat pelajar ini datang ke sekolah dengan memakai kopiah putih di kepalanya. 'Wah....Ini benar-benar hebat!, bisik hati saya". Pelajar ini kemudiannya turut bersama menunaikan solat asar pada petang itu di surau.

Dua minggu kemudian, ketika majlis yang sama dilangsungkan di Masjid Jelai 3, saya ternampak
pelajar ini masuk ke ruang masjid dengan memakai jubah dan berserban! 'MasyaAllah..'biar betul..'bisik hati saya.

Selepas majlis selesai dan ketika saya hendak balik ke Seremban pada malam itu, saya berjumpa dengan yang sedang berbual bersama pelajar-pelajar BADAR yang lain. Saya katakan padanya , 'Bagus!'. Dia tersenyum .
"Cikgu, cikgu ada jubah dan serban tak cikgu". Kata-katanya itu benar-benar memeranjatkan saya. Memang terlalu cepat perubahan sikapnya ke arah kebaikan.
"kalau ada, saya nak, cikgu", katanya lagi dengan penuh minat.
"Boleh , esok saya akan bawakan", kata saya kembali kepadanya.

Sejak itu, saya dapati pelajar ini telah berubah 360 darjah! Pelajar ini berubah menjadi pelajar yang akan sentiasa datang awal ke sekolah, rajin dan tidak ponteng sekolah atau kelas, akan sentiasa ada di surau berjemaah zuhur, asar, maghrib dan isyak, mengikuti Qiamullail bersama pelajar BADAR dan tidak tinggal dengan kopiahnya ketika datang kembali pada waktu petang ke sekolah! Apa yang lebih memeranjatkan saya, pelajar ini kemudiannya sudah boleh menjadi imam solat dan membaca doa di surau..! MasyaAllah..! Sejak itu tidak kedegaran lagi guru-guru bercerita tentang keburukan pelajar ini. Yang ada cuma kepelikan guru-guru melihat perubahan sikap pelajar ini yang berubah 360 darjah , menjadi pelajar yang baik.

Sekitar bulan Jun, pelajar ini datang berjumpa saya di pejabat mengadukan akan keadaan pelajar di dalam kelasnya yang bising dan tak mahu belajar. Dia meminta saya masuk ke kelas berkenaan dan memarahi pelajar yang bising dan malas belajar itu.
"Tolonglah cikgu, saya nak belajar tak boleh. Pelajar di dalam kelas saya bising", katanya mengadu.
"o.k lah..saya akan masuk nanti", kata saya menyokongnya.
"Cikgu, sebenarnya saya menyesal lambat sedar! Saya cuma ada 4 bulan lagi untuk SPM. Saya takut gagal", katanya memperlihatkan kekesalannya.

Saya berasa sayu mendengarkan kata-katanya itu. Saya lihat wajahnya dan pegang bahunya.
" Tak apa", kata saya menguatkan semangatnya.
"Kamu patut bersyukur...Allah dah buka pintu hati kamu untuk berubah ke jalan yang baik. InsyaAllah , kalau kamu terus berubah dan tidak tinggalkan solat serta berbuat baik, Allah akan bantu kamu berjaya. Percayalah!", kata saya.
"Kamu jangan bimbang", kata saya lagi.
"InsyaAllah , cikgu dan terima kasih cikgu", katanya sambil bersalaman dan mencium tangan saya sebelum keluar dari bilik saya.

Saya terdiam sebentar di dalam kekaguman akan kebesaran hidayah Allah. Allah memilih untuk memberikan hidayah kepada pelajar yang tidak pernah diberikan harapan untuk berubah dan perubahan yang tidak pernah orang lain sangkakan. Inilah yang selalu saya beritahu kepada guru-guru saya. Janganlah kecewa dengan pelajar kita. Kita cubalah didik mereka sehabis baik dan pelbagai cara. kalau takdir tak juga berubah, anggaplah Allah belum berikan mereka hidayah. Lagipun, kata saya apa nak dihairankan. Ada orang sampai tuan pun Allah masih tak bagi dia hidayah, inikan pula pelajar kita yang masih muda..doa ajelah..

Alhamdulillah daripada perbualan dengan beberapa orang kampung sekitar Felda yang mengenali pelajar ini, semuanya melahirkan kekaguman dan menghambur pujian.

"Budak tu dulu cikgu, hoi...peleset dulu tu , cikgu!. Tapi sekarang ini, tak pernah tinggal solat lima waktu di masjid...Tak tau macam mana dia boleh berubah!..", kata seorang ustaz di Felda berkenaan.

Kebesaran dan janji Allah juga terbukti benar. Pelajar ini mencapai keputusan lulus semua mata pelajarannya dan terus layak ke tingkatan 6! .....daripada pelajar yang tidak pernah lulus semua mata pelajarannya...

(Semoga pelajar ini beroleh kejayaan di dalam hidupnya dan menjadi insan yang kukuh imamnya, Amin..)

Saturday, March 23, 2013

MESYUARAT JU SARANA JABATAN PELAJARAN N. SEMBILAN DAN PERKONGSIAN ILMU BERSAMA TUAN PENGETUA SMK TTJ SERTA LAWATAN BENCHMARKING KELAS KRK- 20 MAC 2013- DI BALAI KONFRENSI SMKTTJ


Pada 20 Mac 2013 yang lalu , SMK TTJ sekali lagi menjadi tumpuan Jabatan pelajaran negeri Sembilan (JPNS) dan Juru Latih Utama program sarana KPM untuk mengadakan mesyuarat perlaksanaan program berkenaan dan mempelajari kaedah perlaksanaannya di SMKTTJ.


Pemilihan SMKTTJ ini adalah kerana inilah sebuah sekolah yang pertama dan satu-satunya sekolah yang telahpun melaksanakan program tersebut dengan berjaya. Justeru itu dengan kehadiran lebih daripada 35 pegawai dan JU Sarana ke SMKTTJ adalah amat bertepatan sekali dan memberikan pengalaman dan pengetahuan baru bagi mereka melaksanakannya di peringkat daerah masing-masing.


Dalam mesyuarat ini , satu slot perkongsian ilmu dan pengelaman perlaksanaan program ini telah diberikan kepada SMKTTJ dann pembentangan perlaksanaan program dilakukan oleh Tuan Pengetua sendiri.  Turut hadir di dalam sessi taklimat dan perkongsian ilmu ini ialah Tuan pengarah pelajaran Negeri Sembilan sendiri yang telah melahirkan kekaguman terhadap usaha SMKTTJ di dalam melaksanakan program ini ketika sekolah-sekolah lain belumpun memulakannya. SMKTTJ sebenarnya telah megorak langkah jauh di dalam program ini dan telahpun membuat perlancaran program ini semasa mesyuarat Agong PIBG pada 25 Febuari yang lalu. Ahli mesyuarat kemudiaannya telah dibawa melawat ke kelas-kelas KRK yang telah melaksanakan program ini. Ternyata semuanya teruja dan kagum dengan penglibatan dan perlaksanaan program tersebut di sekolah ini.


Program sarana di sekolah ini telah dimulakan dengan aktiviti menceriakan kelas KRK (Kelas Rancagan Khas) sebanyak 6 buah.  Kelas ini diangkat sebagai model kepada kelas-kelas lain dan sesuai juga dengan kedudukan kelas yang tidak bercampur dengan pelajar sessi petang.

Sambutan yang diterima daripada ibu bapa amat memberangssangkan. sesungguhnya respon ibu bapa pelajar KRK amat menguja dan amat tidak diduga sama sekali. 


Bermula dengan taklimat Sarana yang diberikan kepada semua ibu bapa pelajar KRK, ia diikuti dengan mesyuarat penubuhan jawatankuasa kelas dan mereka terus membincangkan segala aspek bagaimana untuk mencerikan kelas dan mengumpul dana untuk tujuan tersebut. Setiap kelas ini telah dilantik penyelarasnya dan guru tingkatan bertindak sebagai penasihat sahaja. segala aktiviti dan modal untuk melaksanakan program dan aktiviti di dalam kelas ini adalah diputuskan oleh jawatankuasa ibu bapa kelas berkenaan. Ternyata keadaan ini memberikan peluang dan ruang kebebasan ibu bapa pelajar berkenaan untuk menunjukkan kreativiti dan inovasi mengikut citarasa masing-masing.



Kesungguhan ibu bapa amat mengujakan!. Melihat kepada komitmen dan kesungguhan mereka bermula dengan mesyuarat pada hujung minggu , pada waktu malam dan melakukan segala aktiviti dan ubahsuai oleh mereka sendiri, ia memberikan keyakinan bahawa sekolah ini akan muncul sebagai sebuah sekolah yang hebat di dalam semua aspek. 

Pada pemerhatian saya , memang nyata bahawa peluang dan bantuan , memang banyak di sekitar sekolah ini. Aset penting sekolah ini antara lainnya ibu bapoa pelajar yang hebat dan banyak kemahiran dan kepakaran mereka. Cuma , kita hanya perlu menyediakan ruang dan peluang bagi  mereka untuk menyerlahkan kehebatan masing-masing dan membantu sekolah di dalam pelbagai bidang.

Langkah seterusnya ialah , pihak sekolah telahpun memperluaskan perlaksanaan program ini ke seluruh kelas lain di sekolah ini termasuklah ke kelas PPKI.

ucapan tahniah kepada semua pihak, sama ada pengurusan sekolah, guru-guru tingkatan, guru , ibu bapa dan pelajar terlibat. Tidaka lupa juga kepada PIBG yang  sering memberikan sokongan yang kuat.
















AMIRA FARZANA MENCIPTA SEJARAH-SPM 10A+ PERTAMA DAN PEMENANGAN SKIM INSENTIF KECEMERLANGAN AKADEMIK RM3000.00- 21.MAC 2013-




 
 KEPTUSAN SPM 2012 yang lalu benar-benar telah membawa berita yang amat menggembirakan kepada seluruh warga sekolah! banyak kejayaan dan rekod yang dicipta : Antaranya yang paling menggembirakan ialah apabila AMIRA FARZA TELAH MENCIPTA REKOD SEBAGAI PELAJAR PERTAMA SEKOLAH INI YANG MENCATAT PENCAPAIAN 10A+.
 
 Selari dengan pencapaian tersebut beliau juga telah  mencatat sejarah sebagai pelajar pertama yang menerima hadiah di bawah Skim Kecemerlangan Akademik SMKTTJ sebanyak RM3000.00 ( RINGGIT MALAYSIA: Tiga ribu )
 
Penyampaian slip keputusan ini telah disempurnakan oleh Tuan Pengetua kepada ibu Amira Farzana di ruang legar sekolah di hadapan ratusan pelajar-pelajar lain. Cek sumbangan sebanyak RM 3000.00 pula telah disampaikan oleh Yang Berbahagia datin Murtaziah, isteri YDP PIBG. Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada Tabung Kecemerlangan Akademik yang disediakan di sekolah ini oleh YDP PIBG, Dato Mohammad Nordin Hj. Mohammad.
Pada majlis ini juga Tuan Pengetua juga telah  mengumumkan untuk menawarkan hadiah RM1000.00 kepada para pelajar yang mencapai kejayaan 10A  juga.

Diharapkan dengan insentif ini akan menjadi pendorong kepada para pelajar untuk sentiasa mencipta kecemerlangan dan fokus di dalam pelajar mereka. Suatu yang pasti kejayaan AMIRA FARZANA ini seharusnya membuka mata semua pelajar dan ibu bapa..bahawa mereka boleh berjaya di mana-mana sekolah jua, jika ada kemahuan dan usaha dan kegigihan untuk cemerlang!

Insentif ini adalah sebahagian daripada Skim Insentif KecemerlanganAkademik SKOR A yang turut menawarkan insentif pencapaian setiap A di dalam peperiksaan awam ( minimum 6A). penyampaian insentif ini seperti tradisi sebelumnya , akan disampaikan semasa majlis hari Kualiti dan Kecemerlangan Sekolah pada bulan September atau Oktober nanti.

SYABAS!  AMIRA FARZANA.... semoga terus mencipta kecemerlangan dan mengharumkan nama SMKTTJ...

PENGUMUMAN DAN PENYAMPAIAN SLIP SPM 2013-RUANG LEGAR SMKTTJ - 21 MAC 2013

Keputusan SPM 2012 yang diumumkan oleh Tuan Pengetua pada 21 MAC 2013 di Ruang Legar Utama SMKTTJ , telah mencatat pelbagai sejarah yang hebat.

 







Buat Pertama kalinya, SMKTTJ  mencipta rekod melahirkan pelajar 10A+ iaitu saudari AMIRA FARZANA , yang juga merupakan Tokoh Pelajar SMKTTJ 2012 yang diumumkan pada Hari Anugerah Kualiti dan Kecemerlangan yang lalu.


 



Lanjutan dengan kejayaan itu juga telah melayakkan beliau menjadi pemenang pertama Anugerah Skim Kecemerlangan Akademik SMKTTJ berjumlah RM3000.00.

SPM 2012 juga merupakan pencapaian terbaik sekolah sepanjang penubuhan sekolah ini 13 tahun yang lalu. Kita menbdapat Pola 1 yang bermaksud peratus semua A dan GPS meningkat sepertimana tahun sebelumnya. Peningkatan ini juga adalah buat kali ketiga berturut-turut. Dengan Gred Purata  Sekolah (GPS)5.1 , ia merupakan peningkatan 0.4 mata berbanding tahun sebelumnya iairu 5.5.









Peratusan semua A juga telah meningkat daripada 51% kepada hampir 62% pada SPM 2012, iaitu peningkatan hampir 11 % .

Bilangan pelajar yang mencapai 10A juga merningkat kepada 2 orang , di samping pelajar 9A, 8A dan 7A. Jumlah pelajar yang mendapai 5A ke atas juga bertambah kepada 39 orang berbanding 15 orang pada tahun 2011.

Peningkatan peratusan kelulusan mata pelajaran juga meningkat kepada 14 mata pelajar daripada 22 keseluruhannya.

Pencapaian pada tahun ini sudah pastilah hasil usaha semua pihak khususnya paara pelajar dan para guru yang telah bertungkus lumus untuk membuktikan sekolah ini mempunyai kehebatan dan kesungguhan untuk cemerlang!


Para pelajar dan guru juga telah berjaya menyahut cabaran yang sering dilontarkan oleh Tuan Pengetua iaitu untuk semua warga sekolah mencipta sejarah kecemerlaangan dan seterusnya menjadi sebahagiuan daripada sejarah tersebut! Inilah salah satu ciri warga dan kelompok manusia yang cemerlang1. Iaitu mereka yang sentisa berusaha meletakkan kecemerlangan sebagai sasaran dan berusaha bersungguh-sungguh melalui pelbagai kaedah dan cara untuk merealisasikannya.

Apa yang pasti kejayaan ini memberikan impak dan kesan yang amat manis. bahawa kejayaan dan kecemerlangan hanya dapat dicapai melalui kepercayaan, keyakinan, komitmen dan usaha bersepadu semua pihak untuk merealisasikan wawasan dan visi kita.

Kecemerlangan ini juga memberikan cabaran kepada semua agar berusaha lebih gigih. cabaran paling besar ialah untuk mengekalkan momentum ini dan melonjakkan pencapain ke tahap yang lebih tinggi.  Kita yakin  kita akan berjaya mencapainya.

Tahniah kepada semua warga sekolah yang telah mencipta sejarah dan menjadi sebahagian daripada sejarah kecemerlangan ini. Ayuh ! Kita cipta sejarah kehebatan yang lebih tinggi dan mencipta rekod yang sukar digugat lagi.....















 

Penyampaian Watikah Perlantikan Pengawas Baru Sessi 2013-2014 - Pada 9 Mac 2013

TAHNIAH!




Tahniah diucapkan kepada semua pengawas baru SMKTTJ 2012-2013  sempena majlis Penyampaian watikah Perlantikannya telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Brigedier General Dato Abu Musa , Pengarah Pengurusan Kem Port Dickson di Dataran Cendiakawan.




Dalam majlis ini seramai lebih kurang 60 orang pengawas baru telah diberikan watikah perlantikan di samping sejumlah lagi pengawas lama yang sedia ada.












Majlis Penyampaian watikah ini telah dilangsungkan pada jam 7.45 pagi dengan kehadiran yang Berbahagia Dato Abu Musa di perkarangan sekolah dengan disambut oleh Tuan Pengetua dan YDP PIBG serta Guru -Guru Penolong Kanan dan Ketua Bidang yang lain.


Majlis dimulakan dengan ucapan  Tuan Pengetua yang mengingatkan semua pengawas yang dilantik agar sentiasa memegang kepada ikrar dan janji mereka untuk berkhidmat kepada sekolah dengan jujur dan ikhlas. Tuan Pengetua  juga  mengingatkan para pengawas agar menjalankan tugas dengan berhemah, jujur, adil , tegas dan penuh komited  tanpa rasa takut dan bimbang. bagi Tuan Pengetua, segala elemen ini perlu dihayati oleh semua pengawas sebagai pemimpin pelapis  dan orang kepercayaan sekolah. Tugas dan amanah  adalah satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan bukan sesuatu yang perlu dibangga-banggakan atau menjadikan para pengawas lupa diri dan menjadi orang yang angkuk dan mabuk kuasa!

 Dalam ucapannya juga Tuan Pengetua , mengucapkan syabas dan terima kasih di atas kejayaan para pengawas yang telah terpilih kerana pemilihan pada tahun ini  dilakukan dengan ketat dan mereka juga ditapis di peringkat sekolah dan terpaksa melalui kursus selama 3 hari di Jabatan Pertahanan Awam  sebelum dilantik.  Dalamn pemerhatian beliau juga, Tuan pengetua melahirkan rasa bangga kerana pengawas telah berjaya menunjukkan suatu  perubahan yang sihat di dalam pengurusan perhimpunan semasa di dalam tempoh percubaan.  Beliau juga mengharapkan , agar semangat dan momentum ini dikekalkan sehingga mereka tamat perkhidmatan.

Yang Berbahagia Dato Abu Musa pula di dalam ucapan banyak menyentuh perkara  berkaitan peranan dan ,.kriteria serta nilai-nilai murni yang perlu dihayati dan diamalkan oleh setiap pengawas. Sikap hormat terutamanya kepada ibu-bapa dan guru-guru adalah penting bagi membawa kejayaan pengawas. 




Di samping tugas  sebagai pengawas, para pengawas juga diminta agar tidak melupakan tugas hakiki mereka untuk menuntut ilmu dan mencapai kejayaan cemerlang di dalam akademik.   Jadikanlah  kekurangan diri  untuk menanamkan semangat  dan membuktikan kita boleh berjaya dengan cemerlang!













Monday, March 11, 2013

KENAPA KITA BEKERJA....

KENAPA KITA BEKERJA....

Di dalam tugas kita mentadbir sekolah ini, kerapkali kita akan berhadapan dengan segala macam kerenah. Karenah datangnya daripada pelbagai sudut. Ia berkaitan dengan kerenah birokrasi, kerenah jabatan, PPD, masyarakat dan ibu bapa, pelajar dan guru serta staf di bawah seliaan kita.

Dalam banyak perkara yang dinyatakan di atas, kerenah yang paling mencabar adalah daripada kalangan guru-guru dan staf sendiri. Kebanyakannya adalah berpunca daripada sikap tidak sensitif terhadap tugas dan peranan yang sepatutnya dimainkan mengikut bidang tugas masing-masing.

Sudah menjadi rutin saya di dalam setiap kali perjumpaan dengan guru-guru dan staf terutamanya pada mesyuarat pertama dan sebagai taklimat kepada staf dan guru baru , saya akan menekankan akan perkara berkaitan tugas ini. Perkara yang termasuk di dalam silibus penerangan atau taklimat saya itu ialah:

1. Siapa kita?
2. Kenapa kita bekerja?

Dua perkara ini sebenar amat remeh kalau kita pandang sekali imbas sahaja. Namun ia membawa impak yang besar jika kita hayati dan amati dengan teliti.  Ini kerana banyak masalah yang timbul adalah akibat kita tidak kenal diri; siapa kita? dan kenapa kita bekerja atau wujud di dunia ini.  inilah asas kepada pembentukan diri sebenarnya. Di dalam islam pun ditekan sangat agar kita mengenali diri kita dan pencipta kita dan kenapa kita dilahirkan di muka bumi ini. jadi perkara yang sama saya gunakan di dalam membentuk sikap dan keperibadian guru , staf dan murid-murid juga.

Berbalik kepada guru dan staf, persoalan di atas saya timbulkan kerana seringkali kita mendengar kelohan guru :
1.  Siapalah saya ini.....
2.  Saya bekerja ini kerana dibayar gaji...
3.  Saya bekerja ini kerana nak cari nafkah....

Namun, kalau kita teliti sebenarnya, ada banyak perkara lagi yang perlu kita perhalusi akan hakikat siapa dan kenapa saya bekerja di atas.

Siapa kita

Bagi seorang guru, kita adalah guru. Kita harus tahu dan bersikap sebagai guru. Apabila disebut guru , maka peranan kita adalah:

1. Dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid
2. Mengajar subjek dan kemahiran yang sepatutnya
3. Menjadi contoh teladan/ model ikutan
4. Mendisiplinkan diri pelajar kita
5. Memberi peluang kepada perkembangan bakat, kemahiran dan kebolehan pelajar
6. Menjadi pakar rujuk kerpada pelajar
7. Penyelesai masalah

Cukuplah sekadar menyebut beberapa peranan di atas. Hakikatnya , memang banyak lagi peranan yang perlu dimainkan oleh guru. Seperti kata seorang penulis:' Guru Segala-galanya'. Berilah apa sahaja peranan, ia mampu dan boleh dimainkan oleh seorang guru.

Dewasa ini, masyarakat memperssoalan akan integriti dan personaliti guru. Guru kerapkali dicemuh berpunca daripada sikap dan personaliti guru yang semakin buruk dan merosot. Fenomena ini banyak berlaku di kalangan guru-guru baru.

Salah satu fenomena yang berlaku sekarang ialah, seakan-akan ada satu mazhab baru yang dipegang oleh guru-guru baru terutamanya iaitu mereka bergantung sangat kepada istilah 'tugas hakiki' iaitu mengajar. Mereka berpendapat , tugas guru adalah mengajar yang sering dirujuk kepada mengajar mata pelajaran yang diperuntukan kepada mereka. Justeru itu, sudah ada kefahaman bahawa mereka tidak perlu bersusah payah menguruskan hal-hak berkaitan aktiviti ko-kurikulum, tugas berkaitan pengurusan, dan hal ehwal murid.

Sebenarnya, mereka terlupa, bahawa di dalam falsafah pendidikan ada dinyatakan akan matlamat pendidikan itu adalah :'
'Melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi , rohani dan intelek'

Di dalam falsafah inilah terkandungnya tugas keseluruhan guru yang merangkumi tugas akademik, kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, hal ehwal pelajar dan sahsiah. Amatlah wajar, agar setiap guru diberikan peringatan semula akan falsafah pendidikan ini agar para guru tidak tergelincir daripada kefahaman akan tugas mereka. Ternyata mazhab yang menyatakan bahawa tugas guru adalah mengajar. Perkara sebenarnya , pada pendapat saya , yang perlu para guru tekan ialah 'mendidik' dan bukan sekadar mengajar yang agak sempit pengertiaannya.

Kenapa kita bekerja

Saya seringkali menekan kepada orang bawahan saya iaitu, tujuan kita bekerja ini adalah kerana;

1. Bekerja sebagai ibadah
2. Mencari rezeki yang halal/. Mendapatkan keredhaan Allah
3 Tugas dan amanah
4. Menyumbang kepada kemajuan organisasi dan ummah
5. Bukti kualiti diri
6.

Bekerja Sebagai ibadah

Saya seringkali menekankan kepada orang bawahan saya iaitu , kita bekerja ini sebagai satu ibadah. Kerja yang ikhlas, jujur, amanah , bersungguh-sungguh dengan niat yang suci , pasti akan mendapat ganjaran pahala. Semakin banyak tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan , semakin banyaklah peluang kita untuk mendapatkan pahala daripada Allah. Justeru itu , janganlah beranggapan bahawa tugas yang banyak sebagai bebanan. Sesungguhnya ia adalah peluang untuk kita berbuat kebajikan dan peluang untuk kita menambah pahala, Namun, kalau kita berlaku sebaliknya , pastilah kita akan mendapat bala dan balasan dosa daripada kerja yang dilakukan. Sepatutnya semakin banyak kerja, semakin banyak pahala dan ganjaran kebajikan yang diperolehi, dan bukan semakin banyak dosa yang kita lakukan.

Mencari rezeki yang halal

Hampir semua orang yang bekerja , bersetuju  bahawa niat mereka datang bekerja adalah untuk mendapatkan rezeki yang halal untuk anak isteri mereka. Sudah pastilah, tidak mencukupi dengan menyatakan  bahawa , "saya hadir bekerja ikut waktu setiap hari, maka saya sudah mendapat rezeki yang halal". Walhal, kadangkala di dalam waktu bekerja, ramai yang curi tulang, malas, tidak bersungguh-sungguh, riak , mengambil waktu kerja untuk kepentingan diri sendiri dan tidak pernah pula menggantikan setiap masa yang diambil itu.

Ada kejadian di sebuah sekolah apabila ada staf sekolah yang memulakan kerja lewat terutamanya pada setiap hari jumaat, pada sebelah petang atau selepas waktu rehat tengahari. namun, mereka akan balik tepat pada jam 4 .00 petang. paling lewat pun pada jam 4.01, 4.02petang. Setiap kali lepas jumaat , mereka akan masuk  bekerja pada jam 3.00 petang, 3.15 petang atau 3.30 petang dan akan tetap balik pada jam 4.00 petang. Perkara ini berlarutan berpuluh tahun.

Saya persoalkan, bilakah puan akan mengganti keseluruhan masa yang diambil ini untuk menghalalkan gaji puan? Puan dibayar gaji mengikut masa dan oleh kerana puan tidak bekerja pada waktu-waktu yang 'dicuri', maka apakah status duit yang puan terima itu? Apakah ia 'duit haram?'

Saya beritahu staf dan guru saya, cara saya amat mudah. jika tuan-tuan telah mengambil masa bekerja untuk kepentingan peribadi , sila ganti semula walau apa cara sekalipun. Baliklah lewat sedikit dan cukupkan jumlah jam yang diambil atau 'bayar dulu' dengan tidak mengambil waktu rehat atau datang awal dan balik lewat pada setiap hari supaya jika kita terambil waktyu bekerja kita, maka ia sudah dibayar terlebih dahulu.
Saya sering ingatkan ,"janganlah kita datang dengan niat untuk mendapatkan rezeki yang halal, namun apabila kita balik pada waktu petang rezeki haram yang kita suapkan ke mulut anak-anak dan isteri kita" . Akibatnya sudah pastilah rezeki kita tidak berkat dan tiada ketenangan di dalam kehidupan kita.

Tugas dan Amanah

Setiap kita perlu sedar, inilah kerjaya kita. Di dalam kerjaya kita ini ada tugas dan amanah yang dibawa bersama. Tunaikanlah tugas dan amanah ini sepenuhnya. ini kerena setiap tugas dan amanah ini dipertanggungjawabkan kepada kita untuk menjawabnya di depan Allah sama ada kita telah menunaikannya atau tidak. Jika sudah , maka Alhamdulillah. Jika belum atau gagal, tunggulah balasan Allah. Oleh itu , tugas dan amanah ini tidak boleh dilakukan dengan main-main atau sambil lewa.

Menyumbang kepada kesejahteraan organisasi dan ummah/ warga

Para guru dan kakitangan serta pelajar perlu disedarkan akan kewujudan mereka di muka bumi ini adalah untuk membawa kesejahteraan. Justeru itu , kalau dikaitkan dengan organisasi sekolah, maka, kehadiran guru di sekolah adalah berperanan untuk menyumbang kepada kesejahteraan, kecemerlangan sekolah dan seluruh warganya.

Di dalam menyumbang ini pula, ia terdiri daripada 2 perkara. Pertama ia berkaitan denga tugas rutin kita dan yang kedua adalah aspek sumbangan lain di luar tugas rutin kita seharian demi melonjakkan kecemerlangan sekolah. Contohnya jika seorang guru itu mempunyai kepakaran di dalam bidang latihan bolasepak, dia tidak seharusnya tamat setakat menguruskan pasukannya bertanding di peringkat daerah dan negeri sahaja. Namun dia haruslah merancang pembangunan bolasepak itu sendiri dengan menubuhkan pasukan pelapis, mengadalan latihan berterusan sebagai persiapan untuk mencaapai kejayaan yang lebih baik pada tahun berikutnya.

Setiap guru , staf atau warga sekolah harus punyai sikap berlumba-lumba dan  bangga  dapat menyumbang sesuatu untuk kepentingan dan kemajuan sekolah. Setidak-tidaknya kita berbangga bahawa  kehadiran kita di sekolah itu bermakna. Janganlah pula sampai kita dicop sebagai; Ada serupa tiada atau lebih teruk jika dikatakan, 'lebih baik tiada daripada ada'. Jadilah seperti tingglan tapak di tanah becak, yang apabila kering akan meninggalkan kesan dan walaupun hujan datang , ia akan tetap berada di situ dan bukannya seperti kesan tapak di air yang lalu, yang habis begitu sahaja dan tidak akan meninggalkan kesan selepas itu. Maknanya, walaupun , kerja yang kita lakukan itu sukar, payah, namun ia menimbulkan kepuasan pada diri dan meninggalkan kenangan indah buat kita sendiri dan warga yang akan mengingatinya dalam jangka masa yang lama.

Bukti Kualiti diri

Satu perkara lagi yang berkaitan dengan kenapa kita bekerja ialah, ia sebagai bukti kualiti diri kita. Saya tegaskan kepada orang bawahan saya akan makna kualiti: Kualiti itu bermaksud:

1. Memberikan kepuasan kepada penerima
2. Bernilai tinggi dan dihargai/ dipuji
3. Menjadi ikutan/ model/ Benchmark
4. Tiada kecacatan/ komen negatif
5. Meninggalkan kesan positif
6. Tidak memalukan 

Justeru itu setiap warga sekolah mestilah berpegang kepada perkara di atas sebagai satu prinsip di dalam menilai mutu kerja kita dan meletakkan sasaran di dalam setiap tugas yang dijalankan.

Oleh itu, memang banyak perkara yang perlu dihayati oleh semua warga bagi memastikan pencapaian sekolah kita cemerlang. Hala tuju dan asas yang betul di dalam menjalanknn tugas perlu dipatuhi dan diamalkan bagi mencapai kejayaan. Ia perlu dijadikan budaya seharian dan menjadi identiti setiap warga .

Saya yakin jika semua warga memegang utuh setiap perkara di atas di dalam menjalankan tugas, sama ada sebagai guru, staf atau pelajar, maka tiada ruang untuk kita tidak cemerlang atau menemui kegagalan.

Kebiasannya , taklimat saya kepada staf dan guru baru akan mengambil masa sekitar 30 minit dan ia sudah menjadi rutin pada setiap kali guru baru atau staf baru melapor diri kepada saya. Namun ini adalah sebahagian daripada keseluruhan isi taklimat saya kepada mereka.

Saya perlu tegaskan perkara ini kerana mahukan agar mereka:

1. Memahami betul-betul halatuju dan budaya sekolah
2. Mendapat 'first hand' maklumat terus dari Pengetua
3. Tidak mahu fikiran mereka ini dikelirukan dengan pelbagai tafsiran daripada guru dan staf lain yang 
    mempunyai pelbagai tafsiran sendiri dan perspektif yang berlainan.
4. Menerima mereka seadanya tanpa prajudis



 Alhamdulillah, sedikit demi sedikit kesannya telah mula terlihat dan kecemerlangan semakin dikecapi satu demi satu...







Saturday, March 9, 2013

PERTANDINGAN KAWAD KAKI PRKT SEKOLAH SMKTTJ 2013..

 ALHAMDULILLAH....

Pertandingan Kawad Kaki peringkat SMKTTJ  telah selamat dilangsungkan pada 9 MAC 2013 yang lalu yaang mewujudkan suatu fenomena baru dengan penglibatan bersemangat para guru dan para peserta lawad dan pelajar yang amaat cemerlang. Ternyata pertandingan pada kali ini disertai oleh 10 pasukan yang telah memberikan pesembahan yang hebat dan penuh semangat serta teliti!









Suasana hebat ini terhasil  daripada komitmen semua guru dan peserta yang telah mengadakan latihan yang berterusan semenjak 3 minggu yang lalu. Hampir setiap hari pasukan-pasukan ini telah  mengadakan latihan  di pelbagai lokasi dengan penuh semangat.









Kita berdoa dan berharap agar semangat dan komitmen yang sebegini akan dapat diterapkan di dalam semua bidang. Ternyata berdasarkan persembahan yang ditunjukkan pada hari ini, setiap pasukan telah mengadakan persiapan yang hebat. Ada di antara pasukan ini yang berkorban wang dan tenaga mencari  dan melengkapkan pakaian mereka dan peralatan untuk menghadapi pertandingan ini. Guru-guru terpaksa balik lewat pada setiap petang demi memastikan pasukan mereka bersedia untuk menhadapi pertandingan ini.  ternyata sikap dan momentum mereka terhadap usaha menaikkan nama sekolah amat hebat!.. TAHNIAH DAN SYABAS!

Bagi memastikan pertandingan kawad kaki pada kali ini menjadi hebat, pihak sekolah telah memperlengkapkan pasukan dengan latihan yang cukup dan betul. Sejak beberapa minggu sebelum ini pihak sekolah telah  menjemput seorang jurulatih khas untuk melatih ketua dan 4 orang anggota setiap platun kaedah dan cara kawat yang betul. Ketua-ketua platun ini kemudiannya telah diserahkan tugas untuk melatih pasukan masing-masing dengan pem,antauan yang dilakukan oleh GPK Ko-kurikulum dan poara guru penasihat . melalui cara ini , pasukan-pasukan ternyata telah dapat mempamerkan persembahan yang jauh lebih baik berbanding dengan tahun  2012 yang lalu.









Pada majlis yang diadakan semalam, Cif Inspektor Jusman Bin Ahmad, Ketua Balaai polis senawang yang juga merupakan Pegawai Perhubungan polis di sekolah ini telah sudi menjadi tetamu dan merasmikan majlis penutupan kawad kaki ini  dan menyampaikan hadiah kepada setiap pemenang.



 Turut hadir adalah Tuan pengetua, Datin Khalijah khalid , Tim. YDP PIBG , Guru -Guru Penolong Kanan dan beberapa ibubapa yang turut serta.

pasukan Kadet polis ternyata menjadi pasukan yang paling menyerlah dan hebat dengan merangkul beberapa hadiah kategori utama.
 Antara keputusan pertandingan semalam adalah:









1. Pasukan kadet Putra
Johan : Kadet Polis
N. Johan: Kadet Bomba
ketiga: KRS

2. Pasukan Kadet Putri
 Johan : Kadet Polis
N. Johan : KRS
Ketiga : Renjer Puteri

3. ketua Platun  Terbaik Puteri  :  Kadet Polis
4. Ketua Platun Terbaik Putera : KRS


Persembahan yang ditunjukkan oleh semua pasukan ternyataa menarik minat dan komitmen pasukan polis yang telah berjanji akan menghantar jurulatih khas ke sekolah ini bagi membaantu sekolah khususnya pasukan kadet sekolah pada masa akan datang.

Semoga semua usaha dan pengorbanan semua guru penasihat dan anggota pasukan yang terlibat telah terbalas dengan pencapaian yang sungguh hebat pada tahun ini. diharapkan komitmen, pengorbanan dan momentum ini akan berterusan. Pasukan mestilah meneruskan latihan sebagai persiapan pada masa akan datang dan bagi tujuan tertentu di dalam program sekolah. sasarkanlah pencapaian yang lebih hebat pada tahun hadapan terutamanya sasaran mencapaiaan kejayaan di peringkat daerah dan negeri.






'SERLAHKAN KEHEBATAN!"
































LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...