SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Wednesday, December 29, 2010

SYABAS! MALAYSIA

Malaysia menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala AFF-Suzuki
2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia malam ini.

Malaysia tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan timbal balik.

Separuh masa: MALAYSIA 0 INDONESIA 0

Penjaring:
MALAYSIA: Mohd Safee Mohd Sali (min 53)

INDONESIA: Mohammad Nasuha (min 71), gol sendiri (min 87)

PENGADIL: Peter Daniel Green (Australia)

Pujian seharusnya diberikan kepada K. Rajagobal di atas keberaniannya mengetengahkan bakat muda. Bolasepak sekarang adalah bercorak pantas atau dipanggil "power game". Dengan tempo permainan yang pantas, lebih tumpuan kepada serangan dan hantaran-hantaran tepat dan pantas, bolasepak memerlukan pemain yang bertenaga dan pantas. Hanya pemain muda yang mampu bermain corak begini. Lihatlah pasukan-pasukan utama dunia, hampir semua pasukan yang berjaya di dalam Piala Dunia 2010 yang lalu, dibarisi oleh pemain-pemain muda. Ambil contoh pasukan German, Holland dan Sepanyol.

Namun apayang jelas, pemain-pemain muda yang mewakili Malaysia ini adalah terdiri daripada pemain yang mendapat pendedahan dari Eropah dan mereka telah bermain dalam satu pasukan dalam jangkamasa yang lama. Di sinilah perlunya pemain kita terdedah kepada permainan Eropah atau benua lain bagi melengkapkan mereka dengan pengalaman bermain pada tahap tinggi. Liga Malaysia yang melarang penyertaan pemain import sudah pasti tidak akan membantu ke arah itu. Maka itu, FAM seharusnya memikirkan dan memutuskan segara agar Liga Malaysia memiliki pemain import untuk meningkatkan mutu permainan di Malaysia. Namun, pemain yang diambil bermain nanti mestilah pemain yang berkualiti dan bagus. Biarlah pasukan berbelanja lebih, asalkan mutu permainan dan pengalaman yang bakal diperolehi oleh pemain kita daripada pemain import ini dapat membantu meningkatkan prestasi mereka. Lihatlah bagaimana Jepun meningkatkan mutu bolasepak menerusi pengambilan pemain-pemain bertaraf dunia selepas Piala Dunia 1990 di Itali dahulu. Dalam jangkamasa yang singkat Jepun kini sudah berada di ranking ke 30 dalam senarai FIFA, berbanding Malaysia .

Kemenangan ini , hanyalah suatu permulaan. Kita seharusnya tidak mensasarkan kejuaraan di peringkat Asian sahaja. Sasaran kita adalah di peringkat lebih tinggi iaitu Asia, Olimpik atau Piala Dunia. Ingat, pasukan kita dahulu pernah layak dan bermain di Olimpik dan Piala Asia...

Wednesday, December 22, 2010

KEPUTUSAN PMR.........HARI INI....

NAMPAKNYA penantian dan debaran setiap pelajar PMR akan terjawab sebentar lagi. Para pelajar akan mengetahui keputusan masing-masing menjelang jam 11 atau 12 tengahari nanti.

Apa yang kita harapkan, keputusannya nanti akan memberikan kepuasan kepada setiap pelajar berdasarkan usaha dan komitmen mereka pada sepanjang tempoh pengajian mereka dalam menghadapi peperiksaan. Apa yang kita perolehi itu adalah melambangkan usaha kita. Apa yang kita perolehi adalah apa yang kita usahakan.

Bagi sekolah, kita mengharapkan satu lagi peningkatan dalam pencapaian GPS sekolah akan dapat kita kecapi. Sejak daripada 2008, saban tahun kita mencapai peningkatan yang membanggakan. Cuma kita berharap agar peningkatan yang dilakukan nanti akan lebih besar! Kita doakan kejayaan akan berpihak kepada kita semua. Kita berharap doa dan munajat kita akan didengari oleh Allah s.w.t dan memberikan kita kejayaan.

Namun apapun yang bakal kita terima, kita perlu redha. Kita telah berusaha dan ketentuan itu adalah hak Allah s.w.t. Apa yang penting, kita harus terus berjuang, berusaha sedaya upaya untuk sekian kalinya dan berfikiran terbuka untuk meneruskan misi meningkatkan kecemerlangan SMK Jelai Felda yang kita kasihi ini. Di hadapan kita bakal menanti cabaran dan tugas yang lebih besar dan menuntut kejayaan yang lebih hebat!. Tugas kita sudah sedia menanti...Ayuh..kita hadapi cabaran ini dengan semangat dan tekad yang tinggi... InsyaAllah...Allah bersama dan akan membantu kita dengan syarat kita ikhlas dan bekerja demi Allah....

Tuesday, December 7, 2010

Selamat menyambut Maal Hijrah





Ucapan salam dan Selamat Menyambut Maal Hijrah buat semua warga SMK Jelai Felda dan seluruh warga Felda Jelai, khususnya para guru, staf, pekerja swasta, PIBG dan ibu bapa serta komuniti Felda Jelai semuanya.

Semoga dengan kehadiran tahun baru Hijrah 1432 ini akan memberikan kesedaran dan keinsafan serta peluang untuk kita merenung semuala segala amalan kita di hadapan Allah s.w.t. Kehadiran tahun baru ini juga adalah sebagai pengingat kepada kita , bahawa usia kita yang semakin meningkat, masa kita yang semakin berkurangan dan kita semakin hampir untuk kembali kepangkuan pencipta kita. Justeru itu, marilah kita menguatkan azam kita untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan yang jauh lebih baik berbanding tahun hijrah yang baru meninggalkan kita.

Dalam memperkatakan soal hijrah di dalam tugas kita di SMK Jelai Felda, kita haruslah melihat semula sejauhmana kita melakukan atau menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada kita. Lihatlah kembali kuantiti dan kualiti kerja yang telah kita lakukan berbanding tuntutan yang telah ditetapkan kepada kita untuk dilaksanakan. Apakah kita telah menjalankan tugas dengan sehabis baik atau kita sekadar melakukan tugas sekadar untuk mencukupkan masa bekerja dan sekadar 'cukup makan'.

Tahun 2011 adalah tahun yang penuh cabaran. Dengan perlaksanaan NKRA dan KPI yang telah ditetapkan, ia menuntut usaha dan pengorbanan yang lebih tinggi. Bagi kita sama ada sebagai guru, staf sokongan , pekerja swasta atau pelajar, kita punya tugas untuk mencapai sasaran atau KPI yang telah ditetapkan. Justeru itu, sudah pastilah ia menuntut komitmen semua pihak untuk berganding tangan memainkan peranan masing-masing untuk mencapai sasaran berkenaan.

Bagi bidang akademik , kita dituntut untuk meningkatkan GPS sekolah dalam peperiksaan awam sekurang-kurangnya sebanyak 0.5 -1%. Sementara peratus pelajar mencapai A adalah sekitar 20-30%, Gred B sekitar 50% dan mengurangkan kegagalan ke tahap 0 %.

Bagi penarafan sekolah, kita mensasarkan pencapaian No.1 di PPD Tampin.
Audit kewangan pula disasarkan kepada tahap 'BAIK"

Bagi bidang Hal Ehwal Murid, kita mestilah berusaha mengatasi masalah kita terutamanya berkaitan dengan:

1. Mengurangkan peratusan ponteng sekolah dan ponteng kelas
2. Mengurangkan peratusan kes perlanggaran disiplin terutama berkaitan Buang Sekolah
3. Menghapuskan 'Buta Al Quran'

Kita sebenarnya telah berjaya mencatat pencapaian tertinggi dalam mengatasi kes sosial sejak 2008. Statistik polis menunjukkan pengurangan kes yang berlaku di luar kawasan sekolah tetapi melibatkan pelajar sekolah ke tahap 'zero defect':

2008 sebanyak 12 kes

2009 menurun kepada 4 kes

2010 tiada kes dicatatkan.

Ini membuktikan kejayaan kita dalam mengatasi masalah. Kalau dulu, masalah ini dirasakan suatu yang sukar di atasi, ternyata berkat kesungguhan kita mampu mencipta kejayaan.

Tahun Hijrah 1432 ini juga menuntut kita supaya lebih bersifat kreatif dan melaksanakan inovasi di dalam tugas seharian kita. Kita harus mampu mencari penyelesaian terhadap setiap masalah melalui pelbagai sudut dan pelbagai kaedah. Yakinlah , setiap masalah tetap akan ada penyelesaiannya dan menjadi tugas kita untuk menggunakan segala kebijaksanaan untuk mengatasinya. Seterusnya, supaya setiap masalah itu akan menjadi peluang terbaik untuk kita melonjakkan kejayaan. Justeru itu, kita amat menggalakkan setiap warga sekolah sentiasa mengutamakan kreativiri alam penyelasai setiap masalah.

Inovasi menjadikan kita sentiasa segar dengan melakukan pelbagai perubahan. Ia pasti akan menjadikan kita sentiasa berfikir dan berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kita . Seperti kata bijak pandai, " Kejayaan bukan hanya bergantung kepada kemampuan kita menggunakan akal fikiran dan idea kita, namun juga berkaitan kemampuan kita mengolah idea orang lain dan menjadikannya sebagai milik kita sendiri,"

Semoga kita akan lebih berjaya dan melakukah penghijrahan ke arah kecemerlangan dengan lebih hebat lagi...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...