SLOGAN KECEMERLANGAN 2017
Thursday, December 17, 2009
SYABAS MALAYSIA!
AKHIRNYA...setelah 2o tahun semenjak Sukan SEA 1989 Kuala Lumpur, pasukan bolasepak Malaysia akhirnya mencipta kejayaan merangkul pingat emas. Pasukan bawah 23 tahun Malaysia menumpaskan pasukan pilihan utama kejohanan , Vietnam dengan jaringan 1-0 hasil bola yang tertampan ke gol sendiri oleh pemain Vietnam.
Sudah tentu, ia merupakan suatu berita yang amat mengembirakan seluruh peminat sukan bolasepak kerana ia merupakan kejayaan pertama Malaysia sejak 20 tahun lalu dalam sebarang kejohanan di peringkat antarabangsa/ Asia Tenggara. Tambah gembira apabila selama ini kedudukan pasukan Malaysia sentiasa terumbang ambing dan menemui kegagalan sehingga terperosok jauh dalam ranking FIFA berbanding dengan kedudukan pasukan yang dahulunya setaraf Malaysia seperti Jepun, Korea, Iran, Iraq.
Namun, pemain Malaysia, FAM dan seluruh peminat bolasepak seharusnya tidak terus leka dibuai dengan kejayaan ini. Jadikan ia sebagai asas untuk FAM merancang ke arah kejayaan yang lebih besar lagi. Aspek pembangunan biasepak yang selama ini diaabaikan di semua peringkat harus dijadikan fokus utama selepas ini. Kita tidak mahu kejayaan ini berkubur selepas ini dan kita terpaksa menunggu selama 20 tahun lagi untuk muncul sebagai juara suka SEA lagi. Apa yang lebih malang lagi,tahap pencapaian kita tidak lagi meningkat dan sekadar berpuashati di peringkat asia Tenggara.
Kita tidak seharusnya leka. Kejayaan ini sebenarnya kalau diteliti betul-betul, bukanlah suatu pencapaian yang terhebat! Sejarah bolasepak kita dahulu jauh lebih gemilang berbanding dengan kejayaan menjadi johan Sukan SEA. Malaysia pernah layak ke sukan Olimpik German (1972) dan Moscow (1980). Pencapaian kita sebaris dengan kuasa bolasepak Asia ketika itu seperti Korea Selatan( seringkali mengalahkan mereka), Jepun, Iraq, Iran. Malaysia hampir tiada tandingan ketika itu dengan pasukan sekitar Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Singapura. Apatahlagi kalah dengan Maldives, Laos dan Filipina. Suatu yang tidak pernah berlaku ketika itu. Malaysia pernah mengalahkan Myanmar 9-0 di dalam Pestabola Merdeka. Dan, jangan lupa pencapaian di Sukan SEA ini hanya di peringkat bawah 23 tahun, bukan pasukan senior! Pasukan senior kita, masih gagal mengalahkan Vietnam, Thailand, Indonesia mahupun Singapura!
Suatu aspek yang seringkali saya sentuh setiap kali memperkatakan tentang bolasepak Malaysia ialah betapa perlunya pembangunan bolasepak diberikan keutamaan. Masalah bolasepak kita sebenarnya berpunca di peringkat sekolah lagi. kebanyakan sekolah kini ketandusan guru-guru yang mahir untuk melatih bolasepak. Tidak ramai guru yang ada kelayakan melatih bolasepak dan tidak ramai juga berminat. Permainan secara kalah mati yang diamalkan di peringkat sekolah, sesungguhnya telah membunuh sukan bolasepak! Kementerian Pelajaran dengan kerjasama FAM harus mempromosikan sukan bolasepak sebagai kerjaya, agar para pelajar boleh memilih kerjaya mereka seawal mungkin, di peringkat sekolah lagi. Akademi bolasepak atau sekolah bolasepak harus diperbanyakan dan liga tempatan terutamanya di peringkat sekolah, mukim, daerah dan negeri harus diperbanypanyakkan seperti suatu masa dahulu. Harapannya ialah supaya kita mempunyai kelompok pemain yang ramai, pengalaman bermain yang lebih panjang. Ramai jurulatih yang 'menganggur' kerana tiada pasukan hasil kursus kejurulatihan FAM di negeri-negeri yang boleh 'dipinjamkan'ke sekolah-sekolah atau dijadikan sebagai pra -syarat untuk mereka meningkat di dalam kerjaya mereka.
Tahniah sekali lagi kepada pasukan Malaysia. namun, persoalannya adakan kejayaan ini dapat meniupkan semangat dan minat rakyat terhadap sukan tersebut sepertimana kejayaan pada masa lampau atau kejayaan Malaysia di peringkat Hoki Piala Dunia, 1975 di Kuala Lumpur. Aura kejayaan ketika itu terlalu kuat. Ketika itu semua orang sibuk bermain hoki. Masih ingat lagi ketika itu di kampung-kampung, anak-anak pokok buluh habis digali dan ditebang untuk dijadikan kayu hoki...Semua ingin menjadi Foon Fook Look, penyerang hebat Malaysia ketika itu...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment