HARI INI ,SMK Jelai Felda didatangi oleh 9 pegawai daripada JPNS yang diketuai oleh Tn. Hj. Hamzah Bin Hj. Abu, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah melakukan pemantauan berkelompok kali pertama bagi tahun 2010 ini. Tujuan kehadiran mereka adalah untuk memantau perjalanan sekolah dari semua aspek dan memberikan bantuan nasihat ke arah peningkatan dan perubahan pencapaian sekolah agar lebih cemerlang.
Pemantauan bermula seawal jam 7.10 pagi sehingga jam 3.30 petang. Satu sessi perbincangan bersama dengan pengurusan sekolah telah diadakan pada jam 1.30 tengahari dan diikuti dengan semua guru pada jam 2.30 petang.
Pada keseluruhannya, mereka berpuashati dengan pengurusan dan perjalanan sekolah. Namun terdapat beberapa aspek penting berkaitan P & P yang perlu diambil perhatian serius oleh setiap warga sekolah untuk kita meningkatkan pencapaian sekolah. Dalam hal ini, kita sebagai warga sekolah hendaklah setiasa bersikap proaktif dan bertindak segera terhadap segala komen dan teguran yang diterima. Sikap bertangguh dan tidak ambil pusing dan tidak kisah, akan hanya menampakkan kelemahan kita sendiri dan menunjukkan sikap kurang matang dan profesional kita sebagai pendidik. Hakikatnya perkara yang ditegur adalah perkara yang sama sahaja dengan apa yang diperkatakan selama ini.
Kita sebagai model kepada para pelajar harus menunjukkan sikap terpuji dan kualiti perkhidmatan dalam setiap aspek, sikap, mentaliti dan tindakan kita. Pelajar akan memerhatikan kita dan menilai kita setiap masa. Kitalah yang mencorakkan tingkahlaku dan pemikiran pelajar kita dan bukan pelajar yang menentukan tindakan dan pemikiran kita!
Namun, ucapan tahniah juga kepada semua guru yang telah menunjukkan peningkatan dalam kualiti pendidikan ke arah kecemerlangan. Penggunaan ICT hendaklah sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap kegiatan kita terutama dalam P & P, kerana kita sudah mencapai taraf 5 bintang dalam penilaian sekolah Bestari Malaysia!
Bagi para pelajar, anda harus segera berubah! Berubah ke arah kecemerlangan! Dunia hari ini menuntut kecemerlangan. Hanya orang yang cemerlang sahaja yang mampu bersaing di dalam dunia serba maju dan canggih. Dunia sudah jauh berubah dan kita harus selari dengan perubahan tersebut! Jika tidak , kita akan jadi kumpulan yang tertinggal dari arus kecemerlangan. jalan mudah ke arah tersebut ialah melalui perubahan sikap terhadap pelajaran. Benar, pelajaran bukanlah penentu kepada kejayaan dalam hidup , apatah lagi untuk kaya, tetapi , pelajaran adalah jalan pintas ke arah itu. Ia ibarat lebuh raya yang luas, selesa, dan cepat sampai ke destinasinya. Bukan,seperti terpaksa meredah hutan, semak samun dan onak duri yang akhirnya akan sampai juga ke destinasinya, tetapi terpaksa menghadapi kesukaran, cabaran dan risiko yang tinggi. Ingatlah juga, terdapat perbezaan antara orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu! Orang berilmu diangkat satu darjat lebih tinggi daripada orang yang tidak berilmu!
Jadikanlah tahun 2010 sebagai tahun membuktikan 'kita mampu menbuat lonjakan!
No comments:
Post a Comment