SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Tuesday, June 1, 2010

MESYUARAT PERLAKSANAAN SKPM

Semalam telah diadakan mesyuarat khusus untuk membincangkan gerakkerja pemantapan dan tindaksusul terhadap dapatan atau penilaian SKPM yang lalu. Berdasarkan kepada pencapaian 85.55% pada 2009 yang lalu, mesyuarat telah menetapkan beberapa tindakan iaitu:

1. Mengkaji kekurangan di dalam setiap elemen
2. Memastikan dapatan tersebut diimplimenkan/ diambil tindakan
3. Mencadangkan beberapa penambahbaikan/ inovasi
4. Membuat laporan pencapaian dan perkembangan
5. Melaksanakan penilaian kendiri percubaan hasil daripada tindakan tadi.

Mesyuarat semalam bertujuan memberikan garis panduan yang perlu diambil oleh setiap jawatankuasa yang dibentuk. Diharapkan jawatankuasa ini akan dapat memulakan tugas mereka dengan segera. Sasaran penilaian kendiri percubaan adalah pada bulan Julai nanti. Untuk memastikan jawatankuasa ini dapat melaksanakan tugas dengan berkesan, beberapa orang guru lagi akan dibekalkan kepada jawatankuasa sedia ada untuk menjadikannya agar lebih telus dan teliti.

Dalam mendapatkan penilaian yang tepat dan menjadikan tugas jawatankuasa ini berkesan, kita telah menggariskan beberapa perkara:

1. Jawatankuasa hendaklah menjalankan tugas dengan tegas, adil, telus dan berani
serta ikhlas.

2. Jawatankuasa tidak hanya berperanan menyatakan apa kelemahan, tetapi juga mampu
memberikan cadangan penambahbaikan. Ini untuk memastikan kita sama-sama
bertanggungjawab dan bergerak sebagai satu pasukan.

3. Jawatankuasa juga diberikan kuasa untuk bertindak 'menyediakan' segala keperluan
yang sepatutnya berdasarkan dapatan mereka. Tidak perlu menunggu atau menyerahkan
kepada pihak pentadbiran untuk mengambil tindakan selanjutnya.

4. Setiap orang perlu ikhlas dan bersikap terbuka terhadap teguran dan bertindak
segera memastikan setiap cadangan dilaksanakan.

Sebenarnya, kita punyai keyakinan bahawa pencapaian kita pada tahun ini akan lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Namun kita mestilah sentiasa meletakkan diri kita di dalam keadaan 'terancam', supaya kita tidak berasa relaks dan mudah berpuashati.

Sasaran kita sudah pasti pada elemen pencapaian pelajar di dalam akademik. Ini adalah bidang yang kita masih lemah. Namun pelbagai usaha telah kita ambil. Pelbagai inovasi, tindakan dan tindakan drastik telah diambil untuk memastikan kita dapat mencapai matlamat kita khususnya di dalam bidang akademik ini.

Komitmen dan iltizam yang tinggi dan tidak pernah putus asa harus sentiasa menjadi keutamaan setiap warga sekolah. Kita harus sentiasa positif terhadap segala halangan yang mendatang. Ini kerana kita yakin, 'setiap masalah adalah berupa peluang untuk kita meningkatkan kemampuan kita ke arah lebih baik'. Kita harus bertindak sepertimana di dalam prinsip spring, " semakin kuat tekanan dan dugaan yang dihadirkan kepada kita, maka semakin kuatlah tindakbalas kita untuk menghadapi dan mengatasi dugaan dan tekanan tersebut!". InsyaAllah, Allah akan memberikan kita kekuatan dan membalasnya dengan kejayaan. SELAMAT BERJUANG...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...