Musim peperiksaan datang lagi! Rata-rata semua sekolah sedang menjalankan peperiksaan pertengahan tahun di semua sekolah.
Peperiksaan pertengahan tahun ini sebenarnya amat penting. Ia menjadi kayu ukur akan pencapaian pelajar selepas 6 bulan mengikuti pelajaran. Ia juga amat penting bagi para guru dan pihak sekolah untuk melihat kesan daripada pembelajaran selama 6 bulan ini dan menjadi asas untuk menilai dan meramalkan pencapaian pada hujung tahun nanti, Ia juga bertujuan untuk merangka program peningkatan bagi pelajar agar pencapaian mereka selari dengan sasaran yang ditetapkan. Setiap pelajar mestilah berusaha gigih dan memastikan agar setiap sasaran yang ditetapkan tercapai.agi
Dalam menghadapi musim peperiksaan ini, setiap pelajar hendaklah sudah mempersiapkan diri mereka dengan segala pengetahuan yang diperlukan bagi mereka menjawab soalan-soalan berasaskan pengajaran yang diterima. Pelajar juga perlu bersiap dari segi mental. Pelajar mestilah menganggap setiap peperiksaan adalah penting!Justeru itu, mood atau gaya pembelajaran pelajar mestilah berbeza-beza apabila peperiksaan semakin hampir.
Masalah kita yang paling besar di sekolah ini hanyalah pada pencapaian pelajar dalam akademik. Kita tidak risau dengan pencapaian dalam bidang lain seperti sahsiah, ko-kurikulum dan disiplin. Ini kerana kita telahpun menunjukkan kemampuan yang tinggi di dalam aspek berkaitan. Memanglah tidak 100%, namun perubahan yang berlaku sudah amat nyata. Namun, kita masih menunggu bilakah masanya untuk kita membuat lonjakan di dalam akademik. Peningkatan memang ada. Namun untuk jadi hebat, kita mesti mampu membuat lonkaan yang boleh 'membuka mata' masyarakat dan pihak JPNS.
Kita sebenarnya mampu dan punyai kebolehan untuk membuat 'lonjakan' tersebut. Ada beberapa faktor yang saya lihat, kita mempunyai kelebihan. Antaranya ialah:
1. Guru-guru yang rajin dan sentiasa sudi bekorban demi kejayaan pelajar
2. Galakan daripada PIBG di dalam setiap program pendidikan
3. Galakan dan sokongan pentadbiran sekolah dalam memastikan program pendidikan
berjalan lancar
4. Skim insentif SKOR A yang mendorong sikap berlumba-lumba untuk cemerlang.
5. Kemudahan ICT. WIFI yang membolehkan pelajar belajar secara sendiri dan mendapat
maklumat sebanyak mungkin.
6. Jarak rumah kediaman pelajar yang dekat dengan sekolah dan tiada nya masalah
pengangkutan yang membolehkan pelajar hadir ke sekolah tanpa masalah.
7. Persekitaran sekolah yang ceria , yang dapat merangsang minda pembelajaran
8. Doa dan munajat setiap minggu, baca yasin, solat hajat, solat dhuha 2 kali
seminggu untuk mendoakan kejayaan pelajar.
Ada banyak lagi kemudahan yang ada di sekolah ini, yang memberi peluang kepada pelajar untuk belajar dengan selesa. Namun soalnya, adakah pelajar mahu merebut peluang yang terhidang di depan mata atau sekadar menjadi pemerhati, tanpa melakukan apa-apa tindakan yang berfaedah kepada diri masing-masing. Sebenarnya amat mudah untuk berjaya. Tumpukan kepada cita-cita/ tujuan dan rangka strategi yang betul untuk mencapainya serta "BUAT', untuk memastikan kita berjaya. Selain itu, para pelajar juga perlu membuang tabiat dan sikap negatif yang membantutkan usaha ke arah kejayaan selama ini. Antaranya ialah:
1. Lupa kepada niat untuk belajar sebagai suatu ibadah, amanah daripada ALLAH yang
akan dipersoalkan kelak.
2. Tanggapan peperiksaan sama seperti aktiviti persekolahan biasa.
3. Ponteng sekolah, ponteng kelas dan tidak menyiapkan kerja rumah, latihan dan
kerja kursus.
4. Membuang masa dan tidur semasa peperiksaan berjalan.
Di dalam hal ini. ibubapa juga perlulah turut sama membantu anak-anak mereka. Pengorbanan ibubapa juga turut dituntut agar memainkan peranan mereka membantu ke arah kejayaan anak-anak mereka. Sikap lepas tangan dan menyerahkan segala urusan mendidik kepada guru semata-mata , sudah tentulah tidak tepat. Apatah lagi, merekalah yang akan memetik hasil daripada kejayaan anak-anak mereka ini. Guru dan pihak sekolah , hanya berkongsi gembira dan kepuasan!
Akhirnya , diharapkan pada tahun ini kita akan dapat mencatat kejayaan yang lebih cemerlang berbanding tahun-tahun sebelum ini. Yakinlah. Dengan semanagat 'KITA MEMANG HEBAT', saya yakin kita akan mencipta lonjakan tersebut!
'SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN'
No comments:
Post a Comment