SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU....

SELAMAT HARI GURU buat semua guru di Malaysia, khususnya kepada guru-guru di SMK Jelai Felda, Gemas, yang telah menunjukkan komitmen dan semangat tinggi untuk membentuk imej sekolah dan memadamkan imej lama. Berkat usaha dan keyakinan bahawa kita boleh mencipta kecemerlangan dan dengan moto awal "KITA MEMANG HEBAT", kita telahpun membuktikan bahawa kita memang berkemampuan dan punyai kekuatan untuk mencipta kejayaan.

Sebenarnya sudah banyak kejayaan yang kita kecapi hasil usaha gigih kita dan keyakinan akan kemampuan kita. Nama SMK Jelai Felda, terkenal di seluruh negeri , malah ke peringkat kebangsaan. Keunggulan kita bidang olahraga mengatasi pencapaian sekolah-sekolah sukan di negeri ini, malah atlit kita sudah mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa. Dalam bidang ICT, terutamanya dalam ThinkQuest, kita memang sentiasa unggul. Di peringkat Kebangsaan dan Negeri Sembilan, kehebatan kita memang diakui dan begitu terkenal! Kita juga mencipta nama yang harum dalam Pendidikan Khas. Kita mencipta keunggulan dengan pelbagai anugerah. Semua ini adalah berkat ketabahan para guru semua.

Dalam usaha untuk terus cemerlang, kita memerlukan bukan hanya setakat pengorbanan, malahan memerlukan perubahan pemikiran yang lebih kreatif, inovatif dan sentiasa mencabar kemampuan kita! Ternyata, kemampuan kita tiada batasannya! Ditambah dengan semangat untuk "membentuk imej baru dan mencabar imej lalu", membolehkan kita melakukan sesuatu dengan kaedah baru, pemikiran baru dan di luar kebiasaan! Saya yakin, setiap dari kita sudah dapat melihat hasilnya!

Perhatian kita sekarang hanyalah untuk menumpukan usaha dan tenaga serta pemikiran kita bagi melonjakkan kecemerlangan akademik kita. Memang banyak cabaran dan rintangan yang harus kita hadapi. Tetapi yakinlah bahawa, Allah akan sentiasa membantu hambanya yang ikhlas berjuang ke arah kebaikan. Kita sudah dapat mengecapkan kejayaan dalam bidang-bidang lain, berkat usaha kita. Kita juga yakin, Allah akan membantu kita juga dalam mencapai kejayaan akademik kita.

Mendidik anak-anak di luar bandar dan di Felda ini memang tinggi cabaraTidak semua guru yang sanggup mengajar di kawasan-kawasan seperti di mana kita berjuang sekarang ini. Kesukaran , keperitan dan tenaga yang terpaksa kita curahkan bukan sedikit. Kesabaran, ketabahan, pengorbanan dan risikonya amat menduga kekuatan dan jati diri kita. Kita berhadapan dengan masalah yang asas dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian dan pembentukan sahsiah anak-anak didik kita, berbanding guru-guru di kawasan lain. Tetapi, yakinlah sedikit kejayaan dan perubahan yang dapat hasilkan dan kita sumbangkan , adalah terlalu manis berbanding dengan rakan-rakan kita di sekolah lain. Kesukaran itulah yang sebenarnya merupakan 'tonik' kepada kekuatan dan senmangat kita selama ini. Kesukaran itulah pengalaman paling berharga dalam perjuangan kita!

TAHNIAH...BUAT KITA SEMUA YANG BERGELAR GURU...

TAHNIAH DAN SYABAS! BUAT SEMUA GURU DI SMK JELAI FELDA, GEMAS!

ANDA 'MEMANG HEBAT'


SELAMAT HARI GURU

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...