SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Sunday, May 2, 2010

MESYUARAT AGONG PIBG...RUANG BERTUKAR FIKIRAN...






MESYUARAT AGONG PIBG adalah medan dan wadah bagi setiap ibubapa dan pihak sekolah khususnya para guru untuk berbincang dan merangka strategibagi kecemerlangan anak-anak di sekolah. Melaluinya ibu bapa dapat mengutarakan pandangan dan idea bernas serta menghulurkan bantuan berupa wang ringgit, tenaga dan idea bagi kemajuan sekolah. Di samping mengetahui perkembangan dan masalah anak-anak di sekolah, ibubapa perlu sanggup bersama-sama pihak sekolah berkorban dan menyatakan komitmen mereka.

Mesyuarat Agong PIBG bukanlah medan untuk mencari salah sekolah atau berebut jawatan. Jika untuk meluahkan rasa tidak puas hati, saluran yang paling baik adalah datang dan berbincang di sekolah. Ini kerana ruang masa yang ada di dalam mesyuarat adalah sempit, singkat dan terbatas.

Tahniah kepada semua ibu bapa yang telah sempat menghadiri mesyuarat PIBG sekolah yang baru berlalu. Namun, tidak semua kumpulan sasaran itu hadir. Kebanyakan yang hadir adalah 'muka biasa' , yang seringkali hadir di dalam setiap majlis dan taklimat kecemerlangan yang diadakan di sekolah. Mereka ini adalah kumpulan yang cukup prihatin akan kemajuan anak-anak mereka. Namun, kumpulan ibu bapa yang mana anak-anak mereka perlu diberikan bantuan, amat kurang. Justeru itu, maklumat penting tidak sampai kepada kumpulan ini dan bantuan daripada ibu bapa mereka tidak dapat diberikan.

Diharapkan juga, pihak ibu bapa mestilah memainkan peranan pro-aktif di dalam menyokong segala program yang dianjurkan di sekolah untuk kemajuan anak-anak mereka. Komitmen ini bukan sekadar menyatakan sokongan , tetapi mestilah diikuti dengan tindakan terhadap program yang disusun. Tugas ibu bapa adalah memastikan anak-anak mereka mematuhi setiap program yang dirancang dan menyokong dengan segala bentuk bantuan yang termampu. Bagi sekolah ini, cabaran yang paling besar bagi ibubapa adalah untuk memastikan anak-anak hadir ke sekolah pada setiap hari. Ibubapa perlu mengambil tindakan pro-aktif dengan berusaha datang ke sekolah, bertanyakan guru untuk memastikan anak-anak berada di dalam kawasan sekolah.

Bagi memastikan perjalanan program PIBG berjalan lancar, setiap ibu bapa dan guru haruslah bersama-sama memainkan peranan melibatkan diri di dalam setiap aktiviti PIBG. PIBG bukanlah persatuan guru-guru, tetapi adalah persatuan ibubapa dan guru-guru sekolah ini. Ia bermaksud, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab memastikan kelancaran persatuan ini di tangan guru semata-mata. Sebenarnya terlalu banyak kepakaran dan kelebihan yang dapat disumbangkan oleh ibubapa dan masyarakat di dalam memajukan sekolah. Ibubapa harus ke hadapan menghulurkan bantuan secara sukarela. Bagi pihak sekolah, kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima bantuan ini. Inilah salah satu aspek penting di dalam konsep 'memasyarakatkan sekolah dan menyekolahkan masyarakat' yang kita war-warkan selama ini.

Diharapkan pada tahun ini, PIBG SMK Jelai Felda akan terus gah dan bergerak lebih aktif bagi memastikan setiap anak didik di felda Jelai ini mendapat manfaat daripada komitmen kita bersama.

Tahniah kepada AJK yang dilantik dan diucapkan "SELAMAT BERTUGAS DENGAN CEMERLANG".

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...