SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Saturday, May 23, 2015

HARI GURU SMKTTJ 2015- KREATIVITI, INOVASI DAN KOLABORASI...18 MEI 2015

 HARI GURU SMKTTJ 2015 disambut dengan menonjolkan 3 unsur penting iaitu KREATIVITI, INOVASI  dan KOLABORASI.

Acara sambutan pada tahun ini telah dijayakan dengan cemerlang dengan memaparkan suatu idea baru hasil keativiti dan kolaborasi antara semua pihak khususnya Kelab Guru dan Staf serta Badan pengawas yang menjadi penganjur utama sambutan pada tahun ini bersama- sama bidang-bidang dan unit-unit yang ada di SMKTTJ ini. Tidak lupa kerjasama yang dijalinkan dengan para ibubapa melalui PIBG dan Sarana serta Balai Polis Senawang dan Bank Rakyat Senawang.

Sambutan pada tahun berkonsepkan mengikut bidang masing-masing. Bidang Bahasa bertemakan Lagenda, yang bercirikan tudung daripada kain pelikat.  Bidang Kemanusiaan pula bertemakan Glamour & Elegant: bercirikan pakaian berwarna hitam dan putih yang indah. Bidang Sains dan Matematik pula memaparkan tema pakaian berwarna merah. Bidang teknik dan Vokasional pula memapaparkan tema pakaian pengantin dan Unit PPKI pula bertemakan Flora & fauna. Bagi merancakkan lagi suasana mereka sepakat untuk mengadakan pertandingan pakaian yang terbaik dan menarik pada hari berkenaan.

Seperti yang dijangkakan, pasukan Bidang Teknik dan Vokasional telah keluar sebagai pemenang bagi pertandingan pakaian ini.

Bagi Badan Pengawas yang terdiri daripada para pelajar pula mereka membawakan tema retro di dalam pakaian dan persembahan mereka.

 Sambutan pada hari ini dimulakan dengan jamuan minum pagi bagi semua guru yang disumbangkan oleh pihak PIBG . Ia diikuti kemudiannya dengan perarakan masuk semua guru ke perkarangan Dataran Cendiakawan dengan diiringi  pukulan kompang daripada pasukan kompang sekolah. Setiap pasukan didahului oleh pembawa nama  pasukan yang terdiri daripada para pengawas sekolah. Pasukan pengurusan sekolah yang terdiri daripada Pengetua dan penolong kanan , Ketua Bidang dan PIBG/ Sarana , mendahului perarakan.


  Turut hadir menjayakan dan memeriahkan majlis pada hari ini ialah NYDP PIBG, Puan Azlinda Abas, AJK PIBG , Puan Zuraiza Mohamed dan wakil Sarana yang diketuai oleh Pengerusi Sarana , Puan Azlin Othman, Puan Suria Mohamed dan Puan Rohani Morad.  YDP PIBG, Kol Samsirudin turut meluangkan masa selama sejam pada pukul 10.00 pagi hingga jam 11.00 pagi . Kehadiran beliau amat dihargai kerana masih sempat menghadirkan diri walaupun di dalam tugas.

 Acara di teruskan dengan bacaan doa hari guru dan acara-acara rutin seperti ucapan- ucapan daripada wakil pelajar,  Tuan Pengetua dan perutusan daripada Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Seperti kebiasaan pada tahun-tahun sebelum ini juga, acara pengumuman dan penyampaian sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) telah disampaikan oleh Tuan Pengetua di pentas utama. Seramai 10 orang penerima APC pada tahun ini diketuai oleh GPK 1 , Encik Akashah Ismail.

Acara sambutan pada tahun ini banyak berkisar kepada acara  sukaneka  yang melibatkan acara seperti pertandingan gubahan, makan buah-buahan, boling buah kelapa, membawa bola menggunakan lutut, solekan kepada pelajar , lari ikat kaki berpasangan serta pertandingan mengukur kelapa.


 Acara sambutan pada hari ini turut dimeriahkan dengan acara yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar iaitu acara persembahan pentas oleh para pelajar dan guru.

Guru-guru telah menunjukkan bakat dan sifat sporting di dalam melayan permintaan anak-anak murid yang mahu meraikan guru-guru mereka. Semoga kesediaan para guru memenuhi permintaan para pelajar ini akan menjadi kenangan terindah buat mereka sempena hari guru ini dan menjadi pengalaman terindah mereka semasa menuntut di SMKTTJ.

Pada hari ini juga , Tuan Pengetua sendiri telah dijemput menyanyi bersama para pelajar ini sebanyak 3 kali. Tahniah buat guru-guru lain juga yang amat sporting dan bersama-sama menyanyi dengan niat untuk menghiburkan hati anak-anak murid kita ini.


 Sesungguhnya , sambutan Hari Guru  SMKTTJ 2015 ini juga amat bertuah kerana mendapat sokongan dan sumbangan daripada pelbagai pihak. Pada kali ini juga , SMKTTJ menerina 5 buah kek hasil sumbangan daripada , Polis Senawang, Kelab Guru dan Staf, PIBG, Sarana dan Bank Rakyat. Balai Polis Senawang, seperti tahun-tahun sebelumnya, menjadi penyumbang kek terawal setiap tahun apabila mengahantar kek berkenaan sehari sebelum sambutan.  Sumbangan ini adalah sebagai suatu bukti kejayaan konsep Sarana dan sekolah Milik Komuniti yang dilaksanakan di SMKTTJ.

Sesungguhnya sambutan Hari Guru ini bukan sekadar untuk kita mengingati jasa para pendidik yang telah bekorban mendidik anak-anak dengan ilmu pengetahuan,  namun ia juga sebagai suatu acara bagi merapatkan hubungan dan menambah kemesraan antara guru dan pelajar serta ibubapa dan komuniti. Ia juga penting sebagai suatu usaha bagi meningkatkan kefahaman komuniti dan ibubapa terhadap tugas dan tanggungjawab para guru di dalam mendidik dan membentuk akhlak di dalam diri anak-anak pelajar ini.

Justeru itu, walaupun pada tahun ini, perayaan tidak diuruskan secara langsung oleh ibubapa sepertimana pada tahun 2014 yang lalu, namun ibubapa tetap hadir dan menyumbang memberikan sokongan. InsyaAllah, mereka telah memutuskan untuk kembali semuala pada tahun hadapan.







No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...