SLOGAN KECEMERLANGAN 2017
Wednesday, August 15, 2012
PEMBUDAYAAN AL-QURAN DI MANA-MANA...
Salah satu daripada aktiviti di dalam Program Ihya Ramadan SMK Taman Tuanku Jaafar yang menarik ialah aktiviti bertadarus dan membaca Al-Quran yang dilaksanakan di peringkat sekolah ini.
Selain daripada program menginfakkan Al-Quran di kalangan para guru , staf dan para pelajar, program tadarus dan membaca Al-Quran di sekolah juga dijadikan agenda utama. Melalui aktiviti atau program ini, para pelajar, guru dan staf digalakkan untuk membaca Al-Quran pada setiap waktu terluan dan pada waktu rehat.
Pada waktu rehat, radio sekolah akan memperdengarkan bacaan Al-Quran selama 20 minit bagi menandakan berlangsungnya program membaca Al-Quran. para pelajar, guru dan staf akan membaca Al-Quran di mana-mana ruang yang ada sama ada secara individu atau berkumpulan.
Pada waktu ini juga akan terlihatlah kelompok-kelompok pelajar Islamyang berjalan sambil memegang naskah Al-Quran di tangan masing-masing sambil bergetak ke tempat mereka akan membaca Al-Quran.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah di Surau, di pondok-pondok bacaan, di kantin dan di bilik-bilik guru atau di pejabat.
bagi para pelajar, Al- Quran yang digunakan adalah terdiri daripada Al-Quran yang disumbangkan oleh penderma melalui program Infak Al-Quran yang dilancarkan oleh pihak sekolah sempena Program Pembudayaan Al-Quran dan Tadarus Perdana Komuniti Taman Tuanku Jaafar.
Melalui program infak Al-Quran, pihak sekolah telah dapat mengumpul lebih daripada 1200 naskah Al-Quran. Ini bermakna , semua pelajar Islam sekolah ini akan dapat memiliki sebuah Al-Quran sebagai milik mereka sendiri untuk menjadikan amalan membaca Al-Quran ini sebgai satu budaya hidup mereka.
Pemandangan sebegini adalah sesuatu yang baru bagi sekolah ini. Sambutan para pelajar terhadap program ini amat menggalakkan .
Program ini sebenarnya bertujuan supaya mendekatkan diri semua warga sekolah terutamanya para pelajar dengan Al-Quran dengan harapan akan menjadikan mereka insan yang berakhlah mulia. Sesungguhnya Al-Quran merupakan mukjizat yang menjadi penawar segala penyakit hati. Semoga hati-hati mereka akan menjadi semakin lembut untuk menerima ajaran, lembut menerima dan melaksanakan perintah Allah.
Sepertimana yang diketahui , kebanyakan masalah sosial dan masalah remaja sekarang berpunca daripada jiwa mereka yang kosong dengan ajaran agama. Ada di kalangan mereka juga tidak pernah melaksanakan solat dan ibadah-ibadah lain serta semakin jauh dengan jalan-jalan kehidupan Islam. Justeru itu , hati-hati mereka menjadi keras dan sukar dibentuk dan dilentur.
Justeru itu, kita berharap dengan mendekatkan diri dengan agama, sentiasa membasahkan lidah dengan bacaan Al-Quran, maka, mereka akan menjadi semakain hampir dengan Allah, penciptanya.
Diharapkan , sikap dan amalan-amalan membaca Al-Quran ini akan kekal di dalam sanubari mereka dan menjadi amalan mereka agar segala pendidikan yang diterima pada sepanjang Ramadan ini tidak hilang begitu saja. insyaAllah, pihak sekolah akan memastikan para pelajar sentiada didedahkan dengan cara hidup Islam yang murni melalui pelbagai program kerohanian selepas ini. Pembentukan jiwa yang mulia amat besar pengaruhnya di dalam pembentukan peribadi dan tingkahlaku setiap pelajar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment