SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Monday, March 14, 2011

SELAMAT BERCUTI.....






SELAMAT BERCUTI....buat semua warga SMK Jelai Felda.....

Khusus buat guru-guru yang telah bertungkus lumus dalam mendidik anak-anak di sekolah ini. Gunakanlah masa cuti ini untuk bersama-sama keluarga setelah saban hari meninggalkan keluarga dan mengutamakan kerjaya di sekolah ini. Pengorbanan para guru sekolah ini amat-amat dihargai.

Namun , ada di antara guru-guru ini yang terpaksa mengorbankan beberapa hari daripada cuti mereka semata-mata untuk hadir bertugas di sekolah dan mengadakan kelas tuisyen di bawah program lonjakan Saujana. Program ini berjalan setiap hari pada sepanjang cuti sekolah ini dengan melibatkan pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5. Rata-rata didapati sambutan para pelajar untuk kelas ini amat memuaskan. Ini menunjukkan tahap kesedaran akan kepentingan membuat persiapan untuk peperiksaan semakin mendalam di hati para pelajar. Saya difahamkan semua jadual untuk masa cuti ini penuh dibooking oleh para guru untuk mengadakan kelas tambahan.

Bagi pelajar, kita berharap , ambillah semangat dan kesungguhan para guru ini dalam mendidik anda dengan menghadiri kelas-kelas yang diadakan. Kehadiran para guru ini adalah atas dasar sukarela dan memikirkan kecemerlangan para pelajar sekelian. Para guru telah sanggup mengorbankan masa cuti dan masa rehat bersama keluarga dengan lebih mengutamakan para pelajar.

Bagi para pelajar Tingkatan 3 dan 5, menjelang April nanti akan ada peperiksaan pertengahan tahun setara bagi seluruh PPD Tampin di dalam Program Lonjakan Saujana Daerah Tampin. Keputusan ujian ini nanti akan memberikan gambaran dan imej sebenar kita berbanding pelajar di sekolah-sekolah lain di sekitar Tampin. Kita pastinya tidak lagi dapat menggunakan alasan sebagai pelajar Felda, untuk mengelak diri daripada dibandingkan pencapaian kita dengan pelajar di sekolah lain , yang bukan di kalangan sekolah Felda. Persaingan masa kini amat ketat dan semakin mencabar. Kita harus yakin, kedudukan geografi tidak memainkan peranan yang besar dalam menentukan kejayaan sesaorang. Apa yang lebih penting ialah semangat untuk mencabar imej lama yang lemah dan membuktikan kita juga punya maruah dan kemampuan untuk berjaya seperti pelajar-pelajar lain. Kejayaan adalah milik semua! Kejayaan bukan milik orang tertentu. Yang pasti:Kejayaan adalah milik orang yang HEBAT. Orang yang bersungguh-sungguh dan mampu menghadapi segala bentuk cabaran dan punyai keinginan tinggi untuk berjaya . Buktikan, KITA MEMANG HEBAT...

Para pelajar juga perlulah menjaga keselamatan diri dan cubalah mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang merugikan diri sendiri. Dalam kehidupan kita ini sebenarnya ada banyak perkara baik berbanding perkara buruk yang boleh kita lakukan. Malahan untuk melakukan sesuatu yang baik dan berfaedah adalah lebih mudah berbanding untuk melakukan perkara buruk dan merugikan. Perkara baik yang akan kita lakukan sentiasa akan mendapat bantuan dan sokongan daripada orang lain, berbanding perkara buruk yang akan sentiasa dipantau dan dihalang daripada melakukannya. Sentiasalah utamakan pelajaran, kerana pelajaranlah yang mengubah nasib kita dan generasi kita.

Kita juga perlu sentiaasa mengekalkan kecemerlangan kita. Sekolah kita bakal menerima pelawat luar untuk tujuan benchmarking pada bulan Mei hingga hujung tahun nanti. Antaranya ialah Lawatan penanda Aras Peserta Kursus Pengurusan ICT Institut Aminuddin Baki (IAB) pada 4 Mei 2011, SMK Bahau pada 7 Mei 2011 dan juga Peserta PPKI Daerah Tampin.

Moga-moga kita akan sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan diri dan sekolah. SELAMAT BERCUTI DAN SELAMAT MAJU JAYA...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...