SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Monday, March 14, 2011

Tugas hakiki dan KPI antara elemen penilaian baru

KUCHING, 14 Mac — Sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) mulai 1 Julai ini akan menilai semua penjawat awam berdasarkan jenis perkhidmatan dan tugas hakiki masing-masing.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata di bawah format baru itu, calon juga akan dinilai berdasarkan kompetensi dan elemen Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu berkenaan.

“Sistem penilaian baru ini tidak seperti konsep ‘seragam untuk semua’ yang digubal serta digunakan oleh semua jabatan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Anggota Perkhidmatan Awam dan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dalam peringkat pengolahan format baru itu dengan mendapatkan input dan maklum balas dari Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Katanya proses menggubal format baru itu sedang berjalan lancar dan yakin kaedah baru penilaian penjawat awam dapat dilaksanakan dengan lebih teratur mulai 1 Julai ini.

“Sejajar dengan usaha kerajaan mentransformasikan perkhidmatan awam, kami perlu mengenali struktur kompleks perkhidmatan awam. Kita perlu semua jenis pendekatan bagi menyesuaikan keunikan perkhidmatan yang sedia ada,” katanya.

Perjumpaan itu dihadiri oleh lebih 2,000 penjawat awam dari jabatan dan badan berkanun peringkat persekutuan dan negeri.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Yahaya Basimin.

Ujian PTK, yang diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Nov 2002, mengundang pelbagai kontroversi dan persoalan kerana dikatakan ramai penjawat awam yang berpengalaman sukar menikmati kenaikan pangkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober lepas, mengumumkan pemansuhan PTK dan digantikan dengan sistem penilaian baru yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam. — Bernama

KOMEN:

Diharapkan penilaian ini akan benar-benar dapar memikirkan kepelbagaian bidang tugas setiap kakitangan di pelbagai jabatan kerajaan dan kemahiran dan pengalaman yang ada di kalangan kakitangan kerajaan. Semoga kekecewaan terhadap PTK, terutama di kalangan kakitangan yang senior dan berpengalaman tidak berterusan...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...