SLOGAN KECEMERLANGAN 2017
Tuesday, December 7, 2010
Selamat menyambut Maal Hijrah
Ucapan salam dan Selamat Menyambut Maal Hijrah buat semua warga SMK Jelai Felda dan seluruh warga Felda Jelai, khususnya para guru, staf, pekerja swasta, PIBG dan ibu bapa serta komuniti Felda Jelai semuanya.
Semoga dengan kehadiran tahun baru Hijrah 1432 ini akan memberikan kesedaran dan keinsafan serta peluang untuk kita merenung semuala segala amalan kita di hadapan Allah s.w.t. Kehadiran tahun baru ini juga adalah sebagai pengingat kepada kita , bahawa usia kita yang semakin meningkat, masa kita yang semakin berkurangan dan kita semakin hampir untuk kembali kepangkuan pencipta kita. Justeru itu, marilah kita menguatkan azam kita untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan yang jauh lebih baik berbanding tahun hijrah yang baru meninggalkan kita.
Dalam memperkatakan soal hijrah di dalam tugas kita di SMK Jelai Felda, kita haruslah melihat semula sejauhmana kita melakukan atau menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada kita. Lihatlah kembali kuantiti dan kualiti kerja yang telah kita lakukan berbanding tuntutan yang telah ditetapkan kepada kita untuk dilaksanakan. Apakah kita telah menjalankan tugas dengan sehabis baik atau kita sekadar melakukan tugas sekadar untuk mencukupkan masa bekerja dan sekadar 'cukup makan'.
Tahun 2011 adalah tahun yang penuh cabaran. Dengan perlaksanaan NKRA dan KPI yang telah ditetapkan, ia menuntut usaha dan pengorbanan yang lebih tinggi. Bagi kita sama ada sebagai guru, staf sokongan , pekerja swasta atau pelajar, kita punya tugas untuk mencapai sasaran atau KPI yang telah ditetapkan. Justeru itu, sudah pastilah ia menuntut komitmen semua pihak untuk berganding tangan memainkan peranan masing-masing untuk mencapai sasaran berkenaan.
Bagi bidang akademik , kita dituntut untuk meningkatkan GPS sekolah dalam peperiksaan awam sekurang-kurangnya sebanyak 0.5 -1%. Sementara peratus pelajar mencapai A adalah sekitar 20-30%, Gred B sekitar 50% dan mengurangkan kegagalan ke tahap 0 %.
Bagi penarafan sekolah, kita mensasarkan pencapaian No.1 di PPD Tampin.
Audit kewangan pula disasarkan kepada tahap 'BAIK"
Bagi bidang Hal Ehwal Murid, kita mestilah berusaha mengatasi masalah kita terutamanya berkaitan dengan:
1. Mengurangkan peratusan ponteng sekolah dan ponteng kelas
2. Mengurangkan peratusan kes perlanggaran disiplin terutama berkaitan Buang Sekolah
3. Menghapuskan 'Buta Al Quran'
Kita sebenarnya telah berjaya mencatat pencapaian tertinggi dalam mengatasi kes sosial sejak 2008. Statistik polis menunjukkan pengurangan kes yang berlaku di luar kawasan sekolah tetapi melibatkan pelajar sekolah ke tahap 'zero defect':
2008 sebanyak 12 kes
2009 menurun kepada 4 kes
2010 tiada kes dicatatkan.
Ini membuktikan kejayaan kita dalam mengatasi masalah. Kalau dulu, masalah ini dirasakan suatu yang sukar di atasi, ternyata berkat kesungguhan kita mampu mencipta kejayaan.
Tahun Hijrah 1432 ini juga menuntut kita supaya lebih bersifat kreatif dan melaksanakan inovasi di dalam tugas seharian kita. Kita harus mampu mencari penyelesaian terhadap setiap masalah melalui pelbagai sudut dan pelbagai kaedah. Yakinlah , setiap masalah tetap akan ada penyelesaiannya dan menjadi tugas kita untuk menggunakan segala kebijaksanaan untuk mengatasinya. Seterusnya, supaya setiap masalah itu akan menjadi peluang terbaik untuk kita melonjakkan kejayaan. Justeru itu, kita amat menggalakkan setiap warga sekolah sentiasa mengutamakan kreativiri alam penyelasai setiap masalah.
Inovasi menjadikan kita sentiasa segar dengan melakukan pelbagai perubahan. Ia pasti akan menjadikan kita sentiasa berfikir dan berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kita . Seperti kata bijak pandai, " Kejayaan bukan hanya bergantung kepada kemampuan kita menggunakan akal fikiran dan idea kita, namun juga berkaitan kemampuan kita mengolah idea orang lain dan menjadikannya sebagai milik kita sendiri,"
Semoga kita akan lebih berjaya dan melakukah penghijrahan ke arah kecemerlangan dengan lebih hebat lagi...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment