SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Saturday, February 1, 2014

IBU-IBU SARANA TERHEBAT SMKTTJ...


Saya memang sentiasa' tabik' dan 'angkat topi' kepada kelompok ibu-ibu Sarana ( istilah baru) SMKTTJ ini yang sangat komited dan terlalu banyak menyumbang tenaga dan idea serta memberikan komitmen yang hebat di dalam membantu dan menjayakan program Sarana Ibubapa di sekolah ini.

Kenangan terindah bersama mereka ini adalah berkaitan penglibatan mereka semasa cuti semester 2013 yang lalu dan semasa pembentangan dan penilaian PIBG Cemerlang peringkat Daerah seremban dan Kebangsaan. Mereka inilah yang bersama beberapa orang guru yang sentiasa ada menyokong dan membantu . Alhamdulillah, mereka juga telah membantu menguruskan segala perkara berkaitan lawatan penandaaras pada musim cuti yang lalu, ketika guru-guru bercuti. Syabas! dan terima kasih buat mereka ini daripada saya sebagai peribadi dan warga sekolah serta PIBG seluruhnya....

Sekadar menghargai mereka yang hebat ini "(dari kiri ke kanan):

Puan Azlin, Puan Zurina, Puan Ila, Puan Rohani, Puan Suria, Puan Ina, Puan Hjh Siti Amrah, puan Ibah dan Puan Ita.

Mereka inilah yang sentiasa memberikan segala ruang, dan masa untuk sentiasa bersama di dalam segenap program -program Sarana di sekolah ini. Terlalu mudah dan indah berurusan dengan mereka ini. semuanya faham dan merasai betapa perlunya ibubapa melibatkan diri dan bersamna sekolah menjayakan misi mencemerlangkan sekolah dan anak-anak mereka dengan bersama pihak sekolah.

Mereka inilah yang diibaratkan seperti 'memetik suis di dinding , di tengah api menyala'. Setiap kali diperlukan , jarang sekali mereka menguzuzkan diri , malah sentiasa sedia membantu di dalam apa jua tugas yang diperlukan.

Ternyata segala kenikmatan di dalam melibatkan diri di dalam Program sarana ini telah dapat dinikmati oleh mereka. bermula dengan perubahan sikap anak- anak mereka  terhadap sekolah dan pelajaran terus juga kepada perubahan persepsi mereka terhadap usaha bersungguh-sungguh sekolah ke arah memajukan pelajaran dan membentuk sikap dan perwatakan anak-anak mereka serta menjadikan mereka lebih arif dan faham akan urusan sekolah dan susah payah guru-guru di sekolah ini. Kefahaman inilah yang menarik minat dan hati mereka untuk membantu sekolah.

Seperkara lagi ialah , kepuasan yang lahir di dalam jiwa mereka apabila dapat menyumbang dan melihat usaha gigih mereka dihargai dan dapat juga bersama dengan pihak sekolah merencanakan kemajuan sekolah.

Puan Azlin kini terkenal sebagai pengacara majlis pada setiap kali program dan lawatan pihak luar ke sekolah ini. Kepetahannya dan kehebatannya mengendalikan majlis amat dikagumi oleh pelawat luar yang kesemuanya menyangkakan bahawa beliau adalah seorang guru di sekolah ini. kemahiran berpantun dan usikan menariknya, menjadikan majlis sentiasa ceria dan hebat.

kebolehan beliau juga adalah di dalam memotivasikan anak-anak pelajar di dalam kelas beliau. Membimbing dan menaikkan semangat rakan -rakan anak beliau untuk sentiasa cemerlang dan menjadikan kelas mereka sentiasa ceria. Beliau akan hadir pada bila-bila masa dan melakukan segala tugas yang difikirkan perlu tanpa tunjukajar daripada pihak sekolah. Memegang Diploma Kesetiausahaan menjadikan beliau seorang yang sentiasa aktif dan pro-aktif.

Puan Zurina Zainuddin: satu nama yang hebat di dalam program Sarana. Seorang yang ' terlajak aktif dan amat pro-aktif". Sentiasa mendahului di dalam segala aktiviti dan sentiasa robust di dalam tindakan-tindakan membantu sekolah. Kekaguman saya terhadap sikap dan keperihatinan beliau amat-amat saya kagumi. Saya sentiasa bersyukur mendapatkan kerjasama hebat daripada seorang penjaga seperti beliau.

Sebagai berlatarbelakangkan seorang usahawan dan koperat, beliau sentiasa pro-aktif dan tidak pernah melihat sesuatu itu sebgai sesuatu yang mustahil.

Beliau merupakan antara muka-'muka ibubapa yang sentiasa dapat dilihat berada di kawasan sekolah hampir pada setiap hari. beliau juga dalah setiausaha Sarana dan segala maklumat yang hendak disebarkan kepada ibubapa lain, memadai sekadar memberi maklum kepada beliau dan selebihnya adalah 'beres!.

Seorang yang mempunyai keberanian yang luar biasa. Menjadi pembentang PIBG Cemerlang di peringkat Negeri Sembilan ( SMKTTJ -menjadi Johan Kategori Sekolah Bandar) dan menjadi orang pertama bertindak mempromosikan sendiri Sarana di sekolah-sekolah lain dengan membuka kaunter Sarana serta mempromosikan dan  mendapatkan sumbangan untuk program Larian Amal SMKTTJ di sekolah-sekolah zon Senawang, Ampangan dan pejabat-pejabat Kerajaan!..

Wajah beliau juga tidak asing pada setiap kali sessi soaljawab berkaitan Sarana ketika lawatan dan pembentangan program Sarana. Beliau juga adalah seorang yang berani berterus terang menyatakan pandangan beliau demi kejayaan sekolah. Tahniah Puan Zurina!...

Puan Ila : seorang yang cool namun sangat aktif membantu segala program yang berkaitan dengan Sarana. Kepakarannya ialah di dalam melukis pelan sesuai dengan latarbelakang beliau sebagai pelukis pelan di syarikat koperat.

Seorang yang amat mudah untuk bekerjasama dan sentiasa memberikan komitmen  yang tinggi di dalam setiap program. Sering menjadi fasilitator memberikan penerangan kepada pelawat-pelawat yang hadir ke sekolah dan antara ibubapa yang akan sentiasa menjadi paling awal tiba untuk memberikan sumbangan.

Kini , Puan Ila sudah mampu memberikan taklimat dan menjawab sebarang pertanyaan berkaitan penglibatan ibubapa di dalam Sarana di SMKTTJ. Perkongsian pengalaman beliau seringkali menjadikan pendengar teruja dan hasil pencapaian anak beliau yang cemerlang membuktikan kejayaan program Sarana ini..

Puan Rohani kini sudah bergelar selebriti Sarana di SMKTTJ... wajah dan dialog beliau sudah tersebar luas di seluruh negara apabila menjadi tetamu untuk beberapa program seperti Program Dialog (TV1) , Wanita Hari Ini (TV3).

Dialog beliau semasa program Dialog RTM berkaitan Sarana sentiasa dijadikan dsebagai bahan bukti akan perlunya penglibatan ibubapa di dalam Sarana dan bukti kejayaan serta sikap ibubapa yang benar-benar memahami program Sarana ini. Kejayaaan program ini benar-benar tersentuh di dalam hati bveliau apabila melihatkan kesan dan perubahan sikap yang berlaku di dalam diri anak-anak beliau terhadap pembelajaran di sekolah. Ternyata, beliau amat bersyukur dengan perlaksanaan program ini dan benar-benar merasakan program ini mampu membantu kecemerlangan anak-anak mereka dan sekolah.

Komitmen beliau amat tinggi. Walaupun sibuk menguruskan rumahtangga di damping berniaga secara kecil-kecilaan, namun beliau sentiasa mampu menyediakan ruang waktu untuk bersama rakan -rakan membantu program Sarana di sekolah ini. Beliau sentiasa akan ada di sekolah ini setiap kali khidmat dan sumbangan beliau diperlukan. Ternyata, beliau amat bijak di dalam menguruskan hal keluarga di samping masih punya waktu untuk menyumbangkan khidmatnya di sekolah.

Beliau juga tidak pernah berasa kekok untuk membantu sebarang kerja yang diperlukan. daripada menguruskan majlis, menyusun bahan-bahan , menjadi penyambut tetamu jugfa menyediakan makanan yang enak untuk setiap kali lawatan luar berkunjung ke SMKTTJ..Amat mudah berurusan dengan Puan Rohani kerana tidak pernah ada perkataan 'susah' di dalam dirinya dan beliau sentiasa tersenyum menampakkan keikhlasan beliau di dalam membnatu dan menyumbang untuk sekolah...

Puan Suria adalah sahabat karib kepada puan Rohani. Ke mana sahaja Puan Rohani berada, maka tidak sukar untuk mencari di mana Puan Suria berada.. Bersama dengan Puan Rohani, beliau menjadi pelopor kepada penglibatan ibubapa menjaga kelas Prep malam yang diadakan di sekolah ini. Beliau dan Puan Rohani akan sentiasa bersama mengawasi para pelajar supaya belajar pada kelas tersebut yang bermula pada jam 8 malam hingga jam 10 malam. Kegigihan beliau bersama rakan karib beliau ini amat menyentuh hati saya dan bersyukur mendapat ibubapa yang sebegini hebat!

Puan Suria juga seorang yang 'cool'...kurang bercakap hanya tersenyum pada setiap kali menjalankan tugasnya. namun sentiasa aktif dan komited menjayakan tugas yang diberi.

Puan Ina juga adalah seorang yang 'cool'...paling sukar untuk mendengar suara beliau , namun antar muka-muka yang akan sentiasa bersama di dalam setiap program. Sentiasa meluangkan masa dan tenaga menyumbang idea di dalam menjayakan program Sarana di sekolah ini..

Puan Hjh Siti Amrah : merupakan rakan lama dan bekas Guru Besar yang hebat. Bersama dengan suami beliau , Tuan Haji Idrus Wahab, merupakan antara penggerak Sarana yang hebat!. Sentiasa membahagikan waktu dan tugas dengan suami beliau untuk memastikan mereka sentiasa berada di sekolah pada setiap program. Bersama suami beliau, mereka merupakan ibubapa yang mengambil inisiatif sendiri membaik meja dan kerusi di kelas anak mereka dan menghiasa kelas pada setiap kali ada kelapangan.

Tidak lokek di dalam memberikan idea dan turut sama di dalam program lawatan Kolaborasi Kelab Lensa bersama Universiti Padjajaran, Bandung , Indonesia baru-baru ini.

Tuan Haji Idrus mempunyai kepakaran di dalam fotografi dan ini mendorong anak beliau untuk aktif di dalam kelab lensa. Kini Hjh Siti Amrah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan lawatan Sarana ke Sabah pada april  2014 ini. 

Puan Ibah: Saya sentiasa mengingati Puan Ibah sebagai seorang yang mempunyai komitmen yang tinggi dan sanggup meninggalkan tugasan di rumah apabila diperlukan di sekolah. Seingat saya sabanyak 2 kali beliau terpaksa berhenti memasak di rumah apabila saya menelifon untuk datang  ke sekolah apabila ada pelawat tiba untuk melihat kelas anak beliau  ketika itu. Ketika guru tidak ada di sekolah ( sabtu), Puan Ibah lah yang menjadi penyelamat ketika itu. Pengalaman beliau ini menjadi sumber inspirasi kepada setiap pelawat yang hadir khususnya para ibubapa , akan komitmen yang perlu ditunjukkan oleh seorang ibubapa di dalam membantu sekolah. Namun semua ini , tidak pernah menjadikan beliau bosan atau kesal untuk melibatkan diri di dalam Sarana ini.

Komitmen beliau juga tidak hanya di sekolah, namun melangkaui sehingga di luar sekolah. beliau sanggup menjadi dreber untuk membawa anak-anak beliau dan rakan -rakan anak beliau ke bandar demi untuk memastikan mereka selamat dan tidak melakukan perbuatan yang tidak baik. Melalui Sarana, hampir semua rakan-rakan anak beliau mengenali beliau dan ini memudahkan beliau memantau anak beliau juga.
Beliau juga sanggup  meyediakan kemudahan belajar untuk anak beliau dan rakan demi memastikan pembelajaran di rumah berjalan lancar seperti mana yang dituntuk di dalam Sarana tersebut.

Sering menjadi salah seorang penjawab soalan berkaitan penglibatan ibubapa di dalam Sarana pada setiap kali kehadiran tetamu luar ke SMKTTJ, beliau juga dikenali dengan sikap pemurahnya yang sering memngeluarkan wang sendiri menyediakan makanan buat pelajar di dalam kelas anak beliau ketika bergotong royong menghias kelas. Gambar beliau menjinjing makanan ketika program gitong royong kelas beliau menjadi salah satu rakaman terbaik menggambarkan komitmen beliau dan kejayaan program Sarana ini.

Puan Ita mempunyai kebolehan menguruskan acara dengan hebat juga di samping kemahiran bermain bola jaring yang mendorong beliau menawarkan diri untuk melatih pasukan sekolah. Beliau juga merupakan antara ibubapa yang sentiasa akan bersama pihak sekolah di dalam setiap kali program diadakan.

Beliau juga mempuanyai kenalan yang ramai dan ini memudahkan beliau menyebarkan makluman berkaitan dengan Sarana ini terutamanya di kalangan ibubapa di sekolah ini. Beberapa orang ibubapa yang baru bersama menjayakan program Sarana ini , sebahagiannya juga adalah hasil daripada usaha beliau ini.

Memang sukar untuk saya menyatakan perasaan kagum dan terima kasih saya kepada mereka ini...Hanya doa saya semoga mereka ini , bersama ibubapa lain (yang tiada di dalam gambar ini..) akan sentiasa diberikan kesihatan, keberkatan , kekuatan untuk terus bersama membantu kejayaan sekolah ini. Moga-moga mereka ini juga diberikan pahala yang berlipat ganda dan diberikan kejayaan di dunia dan akhirat , khusunya buat putera dan puteri mereka di sekolah ini agar beroleh kejayaan cemerlang di dalam setiap kali peperiksaan. Semoga tahun ini kita akan lebih cemerlang dan bersama kita bersatu 'menCIPTA KEJAYAAN'




No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...