SALAH SATU agenda di dalam mentransformasikan dan penjenamaan semula SMKTTJ yang bermula sejak 2011 adalah memastikan semua pelajar islam bersolat sebelum pulang ke rumah.
Bermula dengan program pertama, PROGRAM SOLAT ZOHOR BERSAMA PENGETUA, sambutan para pelajar dan guru adalah memberangsangkan. Walaupun sedikit kesukaran pada masa berkenaan terutama untuk menghayati budaya dan perubahan baru, para pelajar tetap memberikan sokongan.
beberapa masalah kecil yang wujud pada masa itu adalah berkaitan:
1. sikap pelajar yang lambat untuk mengambil wuduk
2. sebilangan pelajar yang tidak tahu bersolat terutama solat berjemaah
3. guru-guru kurang memberikan kerjasama untuk bersolat sama dengan pelajar
4. bilangan paip dan tikar untuk solat yang kurang.
5. Adab pelajar untuk bersolat yang kurang dihayati -apabila pelajar bising dan ramai yang mengusik rakan-rakan semasa solat.
6. Aduan sebahagian ibubapa yang menganggap program ini mengambil masa pembelajaran dan pengajaran .
Namun, program ini tetap dijalankan demi untuk memastikan bahawa jiwa para pelajar di sekolah ini terdidik dengan perkara yang paling asas di dalam agama iaitu mendirikan solat.
Sedikit demi sedikit program ini menampakkan hasil dan kejayaan. Ramai guru-guru lelaki terutamanya yang turut serta turun untuk sama-sama bersolat dengan para pelajar dan bergilir-gilir juga untuk menjadi imam solat.
Sambutan ibubapa amat menggalakkan. Ramai ibubapa yang berasa syukur dan berterima kasih kerana mereka tidak lagi bimbang akan solat anak-anak mereka ketika mereka balik ke rumah. Semuanya telah dibereskan di sekolah.
Perubahan akhlak dan adab pelajar juga semakin terdidik dan menjadi lebih bersopan hasil daripada solat yang didirikan.
Bagi para pelajar lelaki, mereka terpaksa mendirikan solat di ruang legar kerana ketiadaan tempat lain setelah surau digunakan untuk ruang solat bagi pelajar perempuan.
Bagi para pelajar perempuan yang uzur, mereka diarahkan untuk berada di luar surau sekolah untuk memudahkan pengawasan.
Semakin hari pelbagai perubahan yang dapat dilihat daripada program ini. Setiap hari kini azan zohor dan asar akan dilaungkan dan para pelajar akan berzikir terlebih dahulu sementara menunggu masuknya waktu solat. Tiada lagi kesukaran untuk memastikan semua pelajar lelaki terutamanya untuk bersolat. Bilangan paip air untuk bersolat juga telah ditambah dengan banyak dan bilangan tikar juga telah ditambah untuk keselesaan para jemaah.
Untuk membantu memudahkan perlaksanaan program ini , jadual tugas membentang tikar juga telah diatur. Bagi kerja-kerja membentangkan tikar telah diuruskan oleh para pekerja Islam Syarikat PembersihanSwasta dan kerja-kerja mengemasnya pula telah diuruskan oleh para pelajar mengikut tingkatan. Perkara yang sering ditekankan di dalam urusan ini, keperluan setiap orang menyumbang untuk mendapatkan ganjaran pahala yang besar hasil menyediakan kemudahan orang ramai bersolat! Alhamdulillah..walaupun perkara ini mendapat rungutan pada peringkat awalnya, namun kini semuanya berjalan lancar.
Fasa kedua perlaksanaan program ini memperlihatkan penglibatan para pelajar pula mengendalikan urusan solat ini. Melalui kumpulan BADAR sekolah, para pelajar sendiri melaungkan azan dan menjadi imam pada setiap kali solat. beruntungnya sekolah mendapat sekumpulan pelajar yang amat berminat di dalam kerja-kerja amal dan dakwah ini.
Selain solat, kini para pelajar juga mengamalkan bacaan ayat suci Al-Quran pada setiap kali selepas solat. dengan bimbingan Ustaz Nizam, para pelajar akan membaca 5 ayat secara bertalaqi setiap hari. Kini, para pelajar SMKTTJ akan memastikan terdapat naskah Al-Quran di dalam beg sekolah mereka untuk tujuan tersebut.
Pihak sekolah sentiasa perihatin akan keselesaan ruang solat untuk para pelajar ini. Dengan kerjasama panitia Agama Islam dan PIBG , khususnya YDP PIBG sendiri, Dato Hj. Mohamd Nordin telah melancarkan Program Wakaf 20 sen untyuk tujuan mendapatkan dana membesarkan surau dan ruang legar tersebut.
Semoga , berkat program ini, para pelajar SMKTTJ akan menjadi pelajar yang taat pada perintah agama dan mampu menjadi insan yang berguna. Bermula dengan mentaati perintah Allah, maka tidaklah sukar untuk mereka mentaati perintah guru dan ibubapa. Segala-galanya bermula dengan hati...jika baik hati di dalam tubuh badan itu, maka baiklah keseluruhan tubuh badan itu...
Terkini, SMKTTJ telah mengorak langkah mewujudkan kumpulan PENGHAFAZ AL-QURAN yang bermula pada bulan Febuari 2014 ini. Sambutan ibubapa dan para pelajar amat-amat menggalakkan . InsyaAllah, SAMKTTJ mampu melahirkan insan terbaik di kalangan para pelajar sekolah ini...Amin...
No comments:
Post a Comment