DALAM tempoh 2 hari lagi, seluruh umat islam di dunia khususnya di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Puasa. Keriangan untuk menyambutnya sudah pasti mencapai kemuncaknya. Mungkin esok atau lusa , Aidil Fitri akan menjelma.
Persiapan menyambutnya sudah pasti telah dilakukan terutamanya oleh ibu bapa. keriangan menyambut hari raya ini walaupun lebih kepada anak-anak, apatah lagi anak-anak kecil, namun ia tetap dirasai oleh golongan dewasa dan ibu bapa. Kegembiraan dan wajah riang anak-anak sudah menyambut hari raya itulah hakikat sebenar kegembiraan kepada ibu bapa.
Walaupun keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan pada masa ini , namun aidil fitri yang datang sekali, terpaksa juga dihadapi dengan membuat persiapan yang sepatutnya. Namun, ia terpaksa dilakukan dengan berhemah dan berjimat cermat.
Ramadhan yang kita lalui ini bakal meninggalkan kita 2 hari lagi. Ada yang berasa gembira apabila mengenangkan Ramadhan akan sampai ke penghujungnya. Namun ada juga yang tidak gembira. Ada yang merasakan perlu diri ditarbiahkan lagi melalui Ramadhan atau semoga Ramadhan terus dapat mengawal dirinya daripada godaan selepas tibanya Syawal. Bagi yang hidup dalam kesempitan, sudah pastilah berasa tertekan. Ibu bapa yang hidup dalam kemiskinan sudah dan tidak mampu menyediakan persiapan raya untuk anak-anak mereka sudah pastilah akan berasa amat sedih dan hiba apabila mengenangkan kemunculan syawal nanti. Betapa tidak sanggupnya mereka melihat kesedihan anak-anak mereka yang tidak bergembira di pagi syawal sepertimana anak-anak orang lain yang berada. Bagaimana pula bagi mereka yang ditimpa kemalangan atau kehilangan orang yang tersayang! Bagi anak-anak yang kehilangan ibu bapa mereka, di manakah mereka hendak menumpang kegembiraan di pagi syawal nanti. Bagaimanakah mereka hendak menghadapinya! Bagi ibu bapa yang kehilangan anak atau anggota keluarga, sudah pastilah syawal ini tambah meluluhkan hati mereka!
Namun, setiap orang harus redha dengan ketentuan Allah. Banyakkanlah berdoa kulah sahaja sandaran kita untuk menghadapi dugaan yang mendatang.
Bagi kita yang masih mampu bergembira menyambut kehadiran syawal ini, sambutlah dengan penuh keriangan tetapi di dalam penuh kesederhanaan dan keinsafan. Ingatlah mereka yang tidak berkemampuan dan bantulah mereka yang memerlukan bantuan ini.
Bagi para pelajar pula, janganlah kegembiraan syawal ini melupakan tanggungjawab kita dalam usaha mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan yang mendatang. Dengan tamatnya Ramadhan dan sambutan hari raya ini, menandakan waktu untuk kita menghadapi PMR dan SPM semakin dekat. Bagi calon PMR, mereka mempunyai waktu selama 3 minggu sahaja lagi dan bagi SPM pula ada sekitar 2 bulan/ 60 hari lagi. Jadualkan diri untuk kita menyambut hari raya dan di samping itu, tidak pula melupakan pelajaran kita.
Bagi guru-guru, persediaan yang lebih mencabar masih menanti kita. Dengan PMR dan SPM yang semakin hampir, kita dituntut untuk membuat persiapan yang lebih keras untuk membantu anak didik kita untuk mencapai kejayaan. Kelemahan dan kekurangan yang dapat dikesan di dalam peperiksaan percubaan yang lalu , perlu kita perbaiki dan mempertingkatkan pula pencapaian mereka. Namun, diharapkan jangan pula kita lupa akan tanggungjawab kita terhadap keluarga dan anak-anak kita semasa hari raya ini. Raikanlah mereka dan gembirakanlah mereka. Lupakan seketika terhadap tugas di sekolah dan berikanlah tumpuan dan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak dan keluarga. Mereka berhak juga untuk mendapat perhatian, selain pelajar kita di sekolah. Lagipun sudah terlalu banyak masa kita korbankan di sekolah. Gunakan masa ini untuk mereka. Beruntungnya guru-guru...cuti sekolah agak panjang...!
Selamat Hari Raya buat semua , guru-guru, staf, pekerja swasta , pelajar dan seluruh warga SMK Jelai Felda. Tidak lupa kepada masyarakat Jelai Felda dan rakan koloberasi Muslim Aid Malaysia. Perimu, RMC, PTPL, MARA, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Felda dan suluruh umat islam...MAAF ZAHIR BATIN..
No comments:
Post a Comment