SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Friday, October 13, 2017

BULI - GEJALA TIDAK BERKESUDAHAN..DI MANA SILAPNYA

Baru-baru ini negara, khususnya pihak kementerian pendidikan Malaysia  heboh dengan penularan kes buli di dalam kalangan pelajar sekolah.  Pelajar yang terlibat juga, sudah tidak hanya melibatkan pelajar lelaki, malah kebelakangan ini ramai pula yang meibatkan pelajar perempuan.

Ramai jugalah yang bertanya, kenapa kes buli ini semakin menjadi-jadi?  Malah yang lebih parah, apabila kini melibatkan pula kehilangan nyawa.

Kalau kita perhatikan kes buli ini biasanya bermula dengan perkara yang kecil dan ringan dahulu. Ia mungkin bermula dengan apabila seorang pelajar yang lebih senior , mengarahkan seorang pelajar yang lebih muda untuk membelikan makanannya di kantin pada masa rehat .  Kejadian ini akan diulang pada beberapa hari berikutnya. Seterusnya ia akan meningkat ke satu tahap lagi seperti, memaksa pelajar junior ini membasuh pakaian, mengemaskan katil (jika di asrama) dan seterusnya memeras ugut wang dan sebagainya.

Seterusnya, akan timbul pula isu kekerasan fizikal seperti memukul dan sebagainya. Kerapkali juga  buli ini dilakukan secara berkumpulan.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan perbuatan buli ini berlarutan dan tidak dibendung sejak awal-awal. Antaranya ialah:

1. Tanggapan perbuatan buli ini sebagai suatu perkara yang biasa di kalangan para pelajar , khususnya di asrama.  Selalunya kita akan dengan kata-kata seperti, "budak-budak...macam tu lah".

Tanggapan sebegini biasanya diucapkan oleh sebahagian ibu bapa yang anak-anak mereka telibat di dalam kes buli ini diperingkat awalnya. Terutama di kalangan penjaga yang anak mereka sendiri melakukan perbuatan tersebut. Justeru itu, perbuatan buli ini seringkali dianggap remeh.

2. Tindakan pihak sekolah terhadap kes buli ini pada peringkat awal yang lambat. Hanya setelah buli ini menjadi parah atau telah melibatkan kecederaan dan kes polis , barulah sebahagian sekolah mahu bertindak. Sesetengah guru dan pihak sekolah juga bersikap dan beranggapan sama seperti sikap ibu bapa di atas.  Apabila peringkat awalnya, tiada tindakan diambil maka mereka akan terus seronok melakukannya kerana yakin mereka tidak akan diambil tindakan.

3. Tindakan dan hukuman yang ada di sekolah ternyata tidak menakutkan atau seringkali diperlekehkan oleh pelajar. Tindakan paling berat adalah buang sekolah. Namun, tindakan buang sekolah kini bukanlah seperti tahun-tahun 60an atau 70an dahulu, yang mana pelajar yang dibuang pasti tidak akan dapat bersekolah semula atau terpaksa berpindah ke sekolah lain atau digugurkan daripada asrama. Kini, pelajar yang dibuang sekolah dibenarkan merayu. Rayuan mereka pasti diterima dan mereka akan kembali semula ke sekolah asal. Jika mereka bernasib baik, rayuan mereka akan diterima selang sehari mereka dibuang dan mereka akan kembali semula ke sekolah dengan senyuman yang lebar.

Pelajar juga tahu, sebagai remaja yang masih bersekolah, mereka tidak akan didakwa atau dihukum sepertimana orang dewasa.

4. Ada juga sesetengah sekolah yang sengaja menyembunyikan perbuatan dan salahlaku buli ini hanya semata-mata untuk menjaga nama baik sekolah. Apabila ada kes-kes sebegini berlaku dan direkodkan, maka sesetengah sekolah bimbang  sekolah mereka akan dicop sebagai sekolah bermasalah. Melebelkan sesebuah sekolah hanya berdasarkan rekod tindakan disiplin, sebagai sekolah yang bermasalah, ternyata suatu kesilapan. Seharusnya, pihak-pihak Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah, turun padang dan lihat realiti yang berlaku di sekolah-sekolah berkenaan. Banyaknya kes-kes disiplin dicatatkan serta tindakan yang diambil, kadangkala harus dilihat sebagai tanda efisiennya sekolah berkenaan di dalam membenteras masalah disiplin.

Ada pendapat yang mengatakan," jika rumah kita dilanda banjir, maka kita haruslah membuang segala sampah sarap dan kotoran yang ada sebelum kita boleh mendiami semula rumah  berkenaan dengan selesa dan selamat. Setelah semuanya bersih barulah kita boleh mula memeikirkan bagaimana untuk mencantikkan semula rumah berkenaan".

Analogi ini bermaksud, untuk menjadikan sesebuah sekolah itu baik, selamat dan selesa bagi seluruh warganya belajar dan mengajar, unsur-unsur negatif di dalam sekolah berkenaan perlulah dibenteras dan dihapuskan.  Setelah segala anasir negeatif ini dapat diatasi, maka barulah pihak pentadbir sekolah mudah merancang aktiviti-aktiviti membawa kecemerlangan di sekolah berkenaan.

5. Ramai juga di kalangan ahli pendidik dan orang ramai yang lebih menaruh simpati kepada pelaku kesalahan dan bukannya kepada mangsa. Kadangkala kita terlalu simpati kepada pelaku apabila diambil tindakan dengan alasan akan menjejaskan pelajaran mereka atau menjejaskan emosi mereka. Pada saya ini adalah kesilapan besar kita di dalam mendidik generasi kita. Kita tidak menyuntik aspek nilai patuh pada perintah, patuh pada undang-undang dan berdisiplin.  Justeru itu, mereka akan sentiasa berasa selamat dan mendapat pembelaan.



No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...