SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Monday, May 17, 2010

KEMERIAHAN HARI GURU 2010










Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU....

SELAMAT HARI GURU buat semua guru di Malaysia, khususnya kepada guru-guru di SMK Jelai Felda, Gemas, yang telah menunjukkan komitmen dan semangat tinggi untuk membentuk imej sekolah dan memadamkan imej lama. Berkat usaha dan keyakinan bahawa kita boleh mencipta kecemerlangan dan dengan moto awal "KITA MEMANG HEBAT", kita telahpun membuktikan bahawa kita memang berkemampuan dan punyai kekuatan untuk mencipta kejayaan.

Sebenarnya sudah banyak kejayaan yang kita kecapi hasil usaha gigih kita dan keyakinan akan kemampuan kita. Nama SMK Jelai Felda, terkenal di seluruh negeri , malah ke peringkat kebangsaan. Keunggulan kita bidang olahraga mengatasi pencapaian sekolah-sekolah sukan di negeri ini, malah atlit kita sudah mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa. Dalam bidang ICT, terutamanya dalam ThinkQuest, kita memang sentiasa unggul. Di peringkat Kebangsaan dan Negeri Sembilan, kehebatan kita memang diakui dan begitu terkenal! Kita juga mencipta nama yang harum dalam Pendidikan Khas. Kita mencipta keunggulan dengan pelbagai anugerah. Semua ini adalah berkat ketabahan para guru semua.

Dalam usaha untuk terus cemerlang, kita memerlukan bukan hanya setakat pengorbanan, malahan memerlukan perubahan pemikiran yang lebih kreatif, inovatif dan sentiasa mencabar kemampuan kita! Ternyata, kemampuan kita tiada batasannya! Ditambah dengan semangat untuk "membentuk imej baru dan mencabar imej lalu", membolehkan kita melakukan sesuatu dengan kaedah baru, pemikiran baru dan di luar kebiasaan! Saya yakin, setiap dari kita sudah dapat melihat hasilnya!

Perhatian kita sekarang hanyalah untuk menumpukan usaha dan tenaga serta pemikiran kita bagi melonjakkan kecemerlangan akademik kita. Memang banyak cabaran dan rintangan yang harus kita hadapi. Tetapi yakinlah bahawa, Allah akan sentiasa membantu hambanya yang ikhlas berjuang ke arah kebaikan. Kita sudah dapat mengecapkan kejayaan dalam bidang-bidang lain, berkat usaha kita. Kita juga yakin, Allah akan membantu kita juga dalam mencapai kejayaan akademik kita.

Mendidik anak-anak di luar bandar dan di Felda ini memang tinggi cabaraTidak semua guru yang sanggup mengajar di kawasan-kawasan seperti di mana kita berjuang sekarang ini. Kesukaran , keperitan dan tenaga yang terpaksa kita curahkan bukan sedikit. Kesabaran, ketabahan, pengorbanan dan risikonya amat menduga kekuatan dan jati diri kita. Kita berhadapan dengan masalah yang asas dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian dan pembentukan sahsiah anak-anak didik kita, berbanding guru-guru di kawasan lain. Tetapi, yakinlah sedikit kejayaan dan perubahan yang dapat hasilkan dan kita sumbangkan , adalah terlalu manis berbanding dengan rakan-rakan kita di sekolah lain. Kesukaran itulah yang sebenarnya merupakan 'tonik' kepada kekuatan dan senmangat kita selama ini. Kesukaran itulah pengalaman paling berharga dalam perjuangan kita!

TAHNIAH...BUAT KITA SEMUA YANG BERGELAR GURU...

TAHNIAH DAN SYABAS! BUAT SEMUA GURU DI SMK JELAI FELDA, GEMAS!

ANDA 'MEMANG HEBAT'


SELAMAT HARI GURU

Tuesday, May 11, 2010

JOM UNDI VIDEO PELAJAR KITA...

Saya sempat melihat video yang dihasilkan oleh pelajar sekolah ini. Memang menarik! Ia hasil kerja para pelajar 5 UIAM untuk pertandingan membina video Tmnet. Bakat dan kebolehan pelajar sebegini memang patut dikembangkan dan digalakkan. Sebagai sekolah yang telah meletakkan kebitaraan ICT sebagai salah satu watak sekolah, kemampuan pelajar ini seharusnya dipuji dan menjadi pendorong kepada lebih ramai pelajar lain untuk menuruti jejak mereka. Kita harapkan agar mereka berjaya.

Gambar dan penceritaan adalah diambil di sekitar gugusan Jelai Felda Tahniah kepada para pelajar yang begitu komited dengan usaha memertabatkan ICT di Jelai ini. Begitu juga kepada guru-guru seperti Encik NorHaslin, Cik Marniemariam, Pn. Norhayati Abdullah dan Cik Shafazira yang tekun membantu pelajar kita.

Marilah kita semua warga sekolah SMK Jelai Felda membantu dan menyokong usaha pelajar kita ini. Ini adalah salah satu usaha kita untuk mengangkat martabat SMK Jelai Felda ke mercu kecemerlangan. Kita memberikan tumpuan dan perhatian khusus kepada kemajuan ICT di sekolah ini, kerana melalui ICT lah kita mudah mencatat nama dan kejayaan. Memahami keadaan sekolah kita yang jauh daripada bandar besar dan kemampuan kewangan yang sedikit, ICT memberikan kita peluang dan ruang mencipta kejayaan tanpa batasan. Dengan kos yang murah, kita boleh menyertai pertandingan bertaraf nasional atau internasional dengan mudah. Inilah cara pemikiran atau 'smart thinking' yang patut ada kepada semua pelajar dan warga sekolah. Inilah kekuatan kita yang orang lain sukar menggugatnya. Seperti kata John C. Maxwell: Untuk cipta kecemerlangan kita mestilah:

1. Tumpuan 80% dalam kekuatan yang kita ada

2. Tumpuan 15% daripada apa yang kita pelajari

3. Tumpuan 5% terhadap apa yang kita lemah

Oleh itu, bagi SMK Jelai Felda , kita yakin kekuatan dan kepakaran ada pada ICT (selain Olahraga dan Pendidikan Khas)yang merupakan salah satu watak sekolah kita. Inilah peluang kita bersaing dengan sekolah-sekolah lain. Oleh itu, semua warga sekolah, wajib menyokong usaha pelajar kita dan unit ICT kita ini. Seseuai dengan kedudukan sekolah kita sebagai 1 daripada 6 buah Sekolah Bestari bertaraf 5 Bintang di N. Sembilan.. Kita patutnya berasa begitu bangga. Lihat fakta berikut:
1. Naib Johan ThinkQuest Kebangsaan 2007
2. Johan ThinkQuest Kebangsaan 2009
3. Second Best Coach ThinkQuest 2007
4. Best Coach ThinkQuest 2009
5. En. NurHaslin- JU Kebangsaan dan wakil Malaysia ke ThinkQuest International S'pore
6. Johan ThinkQuest N. Sembilan 2009
7. N. Johan PBL N. Sembilan 2009
8. Johan Pengguna Paling Aktif 2009
9. N. Johan Pengguna paling Ramai 2009
10.Sekolah menengah tunggal dijemput mengadakan pameran di Hari ICT NS

Di peringkat sekolah kita juga mencipta nama dengan budaya ICT yang hebat:

1. Blog bagi semua unit dan panitia
2. Blog kelas
3. Penyelaras Program Imarah Masjid Melalui ICT di semua masjid Gugusan Jelai Felda
dengan kerjasama MAINS, Jabatan Agama Islam N.S, Felda Wilayah, Muslim Aid
Malaysia.

Nah! Ayuhlah warga SMK Jelai Felda...Berikan sokongan dan doa di atas usaha putera dan puteri ICT kita semoga mereka akan mencipta kejayaan sekali lagi...

Bagi yang ingin mengundi: ikuti langkah berikut:

1. Daftar akaun di BlueHyypo.com.my
2. Dapatkan ID dan Password melalui e-mail yang akan dihantar
3. Melalui e-mail, click pada 'CLICK HERE'
4. Di laman web BlueHyypo, Masukkan ID dan Password( yang diberi melalui e-mail) dan
Log in
5. Click pada TV
6. Click pada Central School Got Talent-
7. Cari Video SMK Jelai Felda dan Click pada simbol 'bintang' di bawahnya...PILIHLAH
5 BINTANG!
8. Sehingga keluar isyarat..'Thank you'...Selesai..dan anda telah melengkapkan
KOMITMEN anda sebagai warga SMK JELAI FELDA yang prihatin dan bercita-cita besar..



UNDIAN TERBUKA KEPADA SEMUA....EX-STUDENT..PENDUDUK JELAI FELDA..APALAGI...AYUH!UNDiiiiiiiiiiiiii

Wednesday, May 5, 2010

KURSUS ICT KEPADA AJK MASJID GUGUSAN JELAI FELDA






SELAMAT BERKURSUS kepada semua AJK Masjid di gugusan Felda Jelai , Gemas yang berlangsung pada petang ini di Makmal Komputer sekolah. Dianggarkan seramai 40 peserta yang terdiri daripada 10 orang AJK daripada setiap masjid di felda ini akan menghadiri kursus berkenaan. Kursus ini adalah berupa salah satu daripada aktiviti yang dirancang di dalam Program Imarah Masjid Melalui ICT yang dianjurkan oelh SMK Jelai Felda dengan kerjasama semua masjid di felda ini, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Felda Wilayah dan NGO Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia.

Tujuan kursus ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para AJK masjid untuk membolehkan mereka mengakses maklumat dari Internet dan juga melalui laman blog setiap masjid yang sedang dalam proses menyiapkannya, serta daripada web atau blog MAINS dan Jabatan Agama Islam. Secara tidak langsung para AJK akan dapat memantau perjalanan blog dan dapat memberikan input untuk dimuatkan di dalam blog masjid mereka.

Para AJK diharapkan tidak berasa khuatir atau bimbang kerana segala urusan berkaitan blog akan diuruskan oleh kumpulan blogger sekolah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas setiap blog masjid. Ia akan dibantu oleh Muslim Aid Malaysia yang bertindak sebagai penyelaras blog.

SMK Jelai Felda berasa bangga dan berbesar hati dapat memnyumbang kepada kemajuan ilmu pengetahuan di kalangan AJK masjid dan ahli kariah setempat. SMK Jelai Felda akan bertindak sebagai penyelaras program terutama dalam memberikan latihan dan membantu menyediakan prasarana bagi menjayakan program ini. Diharapkan usaha ini akan mendapat sambutan daripada setiap AJK masjid.

Tahniah kepada Unit ICT sekolah yang telah menunjukkan komitmen tinggi untuk menjadikan program ini suatu realiti. Tahniah khusus kepada Encik NorHaslin yang sejak beberapa hari sehingga ke saat akhir ini masih berusaha mempersiakan kemudahan khususnya internet dan peralatan tambahan laptop dan sebagainya. Juga terima kasih kepada Cik Marniemariam, Cik Shafazira, Encik Abu Darda dan semua bloggers sekolah yang memberikan bantuan yang 'superb' demi kejayaan program ini.

SELAMAT BERKURSUS.....DAN MENEROKA DUNIA ICT...DUNIA TANPA SEMPADAN...

Tuesday, May 4, 2010

SKOR A-INSENTIF AKADEMIK DAN OLAHRAGA 2010












SKOR A 2010- Kembali lagi. Kali ini dengan insentif kecemerlangan yang lebih hebat!

Program Skor A ini telah berjalan sejak tahun 2008 yang lalu. Ia adalah berupa skim insentif galakan kecemerlangan akademik kepada para pelajar untuk mencapai tahap A di dalam setiap kali peperiksaan dan ujian bulanan. Antara objektif utama dalam perlaksanan program ini ialah:

1. Menggalakan persaingan sihat antara pelajar dalam mencipta kecemerlangan
2. Menggalakkan pelajar berlumba-lumba mencapai tahap A dalam setiap kali
peperiksaan dan ujian.
3. Memastikan setiap pelajar mengekalkan pencapaian A dalam ujian-ujian bulanan dan
peperiksaan pertengahan tahun, akhir tahun atau peperiksaan percubaan.
4. Menggalakkan pelajar yang lemah berusaha mencapai tahap sekurang-kurangnya D di
dalam setiap kali ujian.
5. Meningkatkan kualiti dan kualiti pencapaian dalam peperiksaan awamm
6. Memberikan suatu bentuk penilaian baru terhadap pencapaian pelajar yang
berasaskan kepada pencapaian sepanjang tahun dan bukan kepada satu-satu
peperiksaan sahaja.(Pelajar terbaik berdasarkan jumlah baucer yang dikutip pada
sepanjang tahun)
7. Memberikan satu perubahan kepada ganjaran kejayaan di dalam peperiksaan awam.

Prinsip yang digunapakai di dalam program ini ialah:

1. Setiap kejayaan pelajar hendaklah diberikan ganjaran dan penghargaan
2. Setiap penghargaan dan ganjaran mestilan diberikan ketika pelajar berkenaan
mencipta kejayaan , tanpa menunggu bagi tempoh yang lama.
3. Pelajar telah ditetapkan sasaran yang harus dicapai mengikut kemampuan dan usaha
mereka. Terpulang kepada pelajar untuk berusaha mencapainya.
4. Setiap pelajar punyai peluang yang sama untuk mencipta kejayaan
5. Ibubapa berperanan membantu kejayaan anak kerana daripada kejayaan mereka, akan
membantu pula ibubapa dalam menjelaskan yuran PIBG atau yuran sekolah.


Program ini telah memberikan manfaat dan berkesan dalam meningkatkan pencapaian pelajar di dalam peperiksaan. Peningkatan paling ketara adalah pada kualiti mata pelajaran di dalam peperiksaan awam, di mana bilangan pelajar yang mendapat gred A di dalam subjek telah meningkat. Program ini amat berkesan kepada pelajar yang rajin dan mahu berusaha. Data pencapaian SPM 2009 (bilangan A)

SUBJEK 2009 2008 2007

1. BM 36 22 23
2. BI 9 3 4
3. PI 31 18 36
4. SEJ 5 3 5
5. MAT 26 23 24
6. SN 8 6 3
7. PSV 7 3 4
8. TASAWUR 4 2 1
9. PERABOT 2 0 0

Apa yang menjadi harapan sekolah ialah semua pelajar berusaha sedaya upaya meningkatkan pencapaian mereka. Inisiatif sekolahg sudah dilakukan. Tidak banyak sekolah di negara ini yang menyediakan skim insentif seperti ini, cuma ia terpulang kepada pelajar untuk merebutnya.

Memanglah ada orang berkata, ini lebih kepada insentif atau motivasi luaran. Bagaimana dengan motivasi dalaman. Saya kira, aspek ini telah terlalu banyak diberikan penekanan kepada pelajar. Pelajar telah tahu dan sering diberitahu tentang peri pentingnya kecemerlangan dan nilai kecemerlangan di dalam harga diri dan maruah diri setiap orang daripada mereka. Contoh-contoh telah banyak mereka lihat malahan di sekitar mereka juga , mereka dapat melihatnya dengan jelas. Namun , dengan adanya insentif ini, sekurang-kurangnya kita dapat mendorong pelajar untuk mengejar kejayaan. 'Setiap kejayaan ada ganjarannya. Jika kamu mahu ganjarannya, kamu harus mencipta kecemerlangan. Untuk terus cemerlang, kamu harus berusaha bersungguh-sungguh...!'

Bagi unit Kokurikulum pula terutamanya Unit Olahraga , pihak sekolah masih meneruskan skim insentif Olahraga dan Olahraga Plus Akademik. Skim ini khusus kepada para atlit sekolah, sebagai galakan untuk mereka bergiat aktif dan mencipta kecemerlangan di dalam olahraga dan juga akademik. Skim ini serupa sepertimana program atau skor A akademik, iaitu pemberiaan baucer atas kejayaan mendapared A dalam sett giap peperiksaan dan pingat. Umpamanya, bagi pingat emas peringkat daerah (MSSDT) akan mendapat RM10.00 dan jika memecahkan rekod, akan mendapat tambahan RM10.00.

Sambutan para pelajar amat menggalakkan. Pencapaian terbaik hasil program ini ialah pada un 2009, di mana kita telah mencatat kejayaan 39 pingat emas dalam kejohanan olahraga MSSDT berbanding 27 emas pada tahun sebelumnya.

Skim ini juga adalah sebagai pendorong kepada ibu bapa agar terus menggalakkan penglibatan anak-anak di dalam olahraga yang menjadi salah satu watak sekolah ini. Penjaga sudah sewajarnya menyokong program ini, kerana telah mencatatkan kejayaan dan dapat membantu pengurangan perbelanjaan menjelaskan yuran di sekolah.

Namun, akhir-akhir ini ada juga ibu bapa yang tidak dapat melihat kebaikan skim ini dan kebaikan serta faedah penglibatan anak-anak di dalam olahraga. Olahraga dikatakan penyebab anak-anak mereka di dalam peperiksaan. Tuduhan ini adalah tidak benar kerana kebanyakan pelajar yang melepak dan gagal itu bukannya daripada golongan ini, sebaliknya daripada golongan pelajar yang tidak pandai menguruskan masa.

Alhamdulillah pada tahun ini juga seramai 5 atlit kita telah terpilih mewakili Negeri Sembilan dalam SUKMA di Melaka.

Kepada para pelajar , ayuh rebutlah peluang ini dan buktikan kehebatan kita!

Sunday, May 2, 2010

MESYUARAT AGONG PIBG...RUANG BERTUKAR FIKIRAN...






MESYUARAT AGONG PIBG adalah medan dan wadah bagi setiap ibubapa dan pihak sekolah khususnya para guru untuk berbincang dan merangka strategibagi kecemerlangan anak-anak di sekolah. Melaluinya ibu bapa dapat mengutarakan pandangan dan idea bernas serta menghulurkan bantuan berupa wang ringgit, tenaga dan idea bagi kemajuan sekolah. Di samping mengetahui perkembangan dan masalah anak-anak di sekolah, ibubapa perlu sanggup bersama-sama pihak sekolah berkorban dan menyatakan komitmen mereka.

Mesyuarat Agong PIBG bukanlah medan untuk mencari salah sekolah atau berebut jawatan. Jika untuk meluahkan rasa tidak puas hati, saluran yang paling baik adalah datang dan berbincang di sekolah. Ini kerana ruang masa yang ada di dalam mesyuarat adalah sempit, singkat dan terbatas.

Tahniah kepada semua ibu bapa yang telah sempat menghadiri mesyuarat PIBG sekolah yang baru berlalu. Namun, tidak semua kumpulan sasaran itu hadir. Kebanyakan yang hadir adalah 'muka biasa' , yang seringkali hadir di dalam setiap majlis dan taklimat kecemerlangan yang diadakan di sekolah. Mereka ini adalah kumpulan yang cukup prihatin akan kemajuan anak-anak mereka. Namun, kumpulan ibu bapa yang mana anak-anak mereka perlu diberikan bantuan, amat kurang. Justeru itu, maklumat penting tidak sampai kepada kumpulan ini dan bantuan daripada ibu bapa mereka tidak dapat diberikan.

Diharapkan juga, pihak ibu bapa mestilah memainkan peranan pro-aktif di dalam menyokong segala program yang dianjurkan di sekolah untuk kemajuan anak-anak mereka. Komitmen ini bukan sekadar menyatakan sokongan , tetapi mestilah diikuti dengan tindakan terhadap program yang disusun. Tugas ibu bapa adalah memastikan anak-anak mereka mematuhi setiap program yang dirancang dan menyokong dengan segala bentuk bantuan yang termampu. Bagi sekolah ini, cabaran yang paling besar bagi ibubapa adalah untuk memastikan anak-anak hadir ke sekolah pada setiap hari. Ibubapa perlu mengambil tindakan pro-aktif dengan berusaha datang ke sekolah, bertanyakan guru untuk memastikan anak-anak berada di dalam kawasan sekolah.

Bagi memastikan perjalanan program PIBG berjalan lancar, setiap ibu bapa dan guru haruslah bersama-sama memainkan peranan melibatkan diri di dalam setiap aktiviti PIBG. PIBG bukanlah persatuan guru-guru, tetapi adalah persatuan ibubapa dan guru-guru sekolah ini. Ia bermaksud, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab memastikan kelancaran persatuan ini di tangan guru semata-mata. Sebenarnya terlalu banyak kepakaran dan kelebihan yang dapat disumbangkan oleh ibubapa dan masyarakat di dalam memajukan sekolah. Ibubapa harus ke hadapan menghulurkan bantuan secara sukarela. Bagi pihak sekolah, kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima bantuan ini. Inilah salah satu aspek penting di dalam konsep 'memasyarakatkan sekolah dan menyekolahkan masyarakat' yang kita war-warkan selama ini.

Diharapkan pada tahun ini, PIBG SMK Jelai Felda akan terus gah dan bergerak lebih aktif bagi memastikan setiap anak didik di felda Jelai ini mendapat manfaat daripada komitmen kita bersama.

Tahniah kepada AJK yang dilantik dan diucapkan "SELAMAT BERTUGAS DENGAN CEMERLANG".

Saturday, May 1, 2010

SEKITAR MESYUARAT AGONG PIBG SMK JELAI FELDA











MESYUARAT AGONG PIBG SMK JELAI FELDA telah diadakan pada 29 April 2010 yang lalu dan telah dirasmikan oleh YB Dato Hjh Zainab Nasir, Exco NS serta dihadiri oleh Tuan PPD Tampin, Tuan Hj. Mad Aris Azis.

Program telah bermula pada jam 3.00 petang. Kehadiran ibu bapa dan tetamu telah disambut dengan hujan yang lebat kira-kira pada jam 2.30 petang. Walau bagaimanapun, alhamdulillah..segalanya dapat dijalankan dengan lancar, Namun kehadiran agak terjejas dengan hanya kira-kira 182 orang ibu bapa yang hadir. Seperti biasa , yang ramai hadir adalah kaum ibu...

Sempena dengan mesyuarat ini juga telah dilancarkan program, 'SATU KELUARGA ,SATU BUKU', Anjuran Pusat Sumber Sekolah. Perlancrannya amat menarik dengan YB Dato Zainab 'terpaksa' memecahkan ais yang agak tebal lagi keras untuk mengeluarkan buku di dalamnya sebagai gimik perlancaran. Apa yang diharapkan ibu bapa, guru serta semua staf sekolah dapat menyumbang ke arah program ini. Difahamkan satu pertandingan kelas terbanyak menumbang buku akan mendapat 3 bintang dalam Program Menggapai Bintang dan gambar kelas berkenaan ( 3 pemenang) akan dipamerkan di dinding berhadapan pejabat selama 1 tahun..Menarik kan..!

Pada hari berkenaan juga, YDP PIBG bagi sessi 2010-2011 telah dimenangi oleh Encik Zakaria Umar. Begitu juga dengan Naib YDP iaitu Encik Jupri. Semua AJK lama dikekalkan dan ditambah dengan ahli baru..

Pada akhir program diadakan cabutan bertuah..Menariknya hadiah cabutan bertuah ini kebanyakannya adalah berupa barangan makanan mentah seperti beras, minyak masak dan lain-lain.

Acara lain yang turut diadakan ialah penyampaian hadiah kecemerlangan SPM 2009 dan beberapa hadiah kecemerlangan PMR 2009 dan SPM 2008 yang tidak dituntut lagi. Ini merupakan hadiah daripada insentif skor A yang terdapat di sekolah ini.

Terima kasih kepada semua guru dan pihak-pihak yang telah menjayakan program ini. Segala kekurangan perlulah diatasi segera bagi memastikan ia tidak berulanga pada masa hadapan. Terima kasih kepada YB Dato Hjh Zainab yang sudi menerima undangan sekolah dan menyumbang sebanyak RM3500.00 kepada PIBG.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...