SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Wednesday, December 29, 2010

SYABAS! MALAYSIA

Malaysia menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala AFF-Suzuki
2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia malam ini.

Malaysia tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan timbal balik.

Separuh masa: MALAYSIA 0 INDONESIA 0

Penjaring:
MALAYSIA: Mohd Safee Mohd Sali (min 53)

INDONESIA: Mohammad Nasuha (min 71), gol sendiri (min 87)

PENGADIL: Peter Daniel Green (Australia)

Pujian seharusnya diberikan kepada K. Rajagobal di atas keberaniannya mengetengahkan bakat muda. Bolasepak sekarang adalah bercorak pantas atau dipanggil "power game". Dengan tempo permainan yang pantas, lebih tumpuan kepada serangan dan hantaran-hantaran tepat dan pantas, bolasepak memerlukan pemain yang bertenaga dan pantas. Hanya pemain muda yang mampu bermain corak begini. Lihatlah pasukan-pasukan utama dunia, hampir semua pasukan yang berjaya di dalam Piala Dunia 2010 yang lalu, dibarisi oleh pemain-pemain muda. Ambil contoh pasukan German, Holland dan Sepanyol.

Namun apayang jelas, pemain-pemain muda yang mewakili Malaysia ini adalah terdiri daripada pemain yang mendapat pendedahan dari Eropah dan mereka telah bermain dalam satu pasukan dalam jangkamasa yang lama. Di sinilah perlunya pemain kita terdedah kepada permainan Eropah atau benua lain bagi melengkapkan mereka dengan pengalaman bermain pada tahap tinggi. Liga Malaysia yang melarang penyertaan pemain import sudah pasti tidak akan membantu ke arah itu. Maka itu, FAM seharusnya memikirkan dan memutuskan segara agar Liga Malaysia memiliki pemain import untuk meningkatkan mutu permainan di Malaysia. Namun, pemain yang diambil bermain nanti mestilah pemain yang berkualiti dan bagus. Biarlah pasukan berbelanja lebih, asalkan mutu permainan dan pengalaman yang bakal diperolehi oleh pemain kita daripada pemain import ini dapat membantu meningkatkan prestasi mereka. Lihatlah bagaimana Jepun meningkatkan mutu bolasepak menerusi pengambilan pemain-pemain bertaraf dunia selepas Piala Dunia 1990 di Itali dahulu. Dalam jangkamasa yang singkat Jepun kini sudah berada di ranking ke 30 dalam senarai FIFA, berbanding Malaysia .

Kemenangan ini , hanyalah suatu permulaan. Kita seharusnya tidak mensasarkan kejuaraan di peringkat Asian sahaja. Sasaran kita adalah di peringkat lebih tinggi iaitu Asia, Olimpik atau Piala Dunia. Ingat, pasukan kita dahulu pernah layak dan bermain di Olimpik dan Piala Asia...

Wednesday, December 22, 2010

KEPUTUSAN PMR.........HARI INI....

NAMPAKNYA penantian dan debaran setiap pelajar PMR akan terjawab sebentar lagi. Para pelajar akan mengetahui keputusan masing-masing menjelang jam 11 atau 12 tengahari nanti.

Apa yang kita harapkan, keputusannya nanti akan memberikan kepuasan kepada setiap pelajar berdasarkan usaha dan komitmen mereka pada sepanjang tempoh pengajian mereka dalam menghadapi peperiksaan. Apa yang kita perolehi itu adalah melambangkan usaha kita. Apa yang kita perolehi adalah apa yang kita usahakan.

Bagi sekolah, kita mengharapkan satu lagi peningkatan dalam pencapaian GPS sekolah akan dapat kita kecapi. Sejak daripada 2008, saban tahun kita mencapai peningkatan yang membanggakan. Cuma kita berharap agar peningkatan yang dilakukan nanti akan lebih besar! Kita doakan kejayaan akan berpihak kepada kita semua. Kita berharap doa dan munajat kita akan didengari oleh Allah s.w.t dan memberikan kita kejayaan.

Namun apapun yang bakal kita terima, kita perlu redha. Kita telah berusaha dan ketentuan itu adalah hak Allah s.w.t. Apa yang penting, kita harus terus berjuang, berusaha sedaya upaya untuk sekian kalinya dan berfikiran terbuka untuk meneruskan misi meningkatkan kecemerlangan SMK Jelai Felda yang kita kasihi ini. Di hadapan kita bakal menanti cabaran dan tugas yang lebih besar dan menuntut kejayaan yang lebih hebat!. Tugas kita sudah sedia menanti...Ayuh..kita hadapi cabaran ini dengan semangat dan tekad yang tinggi... InsyaAllah...Allah bersama dan akan membantu kita dengan syarat kita ikhlas dan bekerja demi Allah....

Tuesday, December 7, 2010

Selamat menyambut Maal Hijrah





Ucapan salam dan Selamat Menyambut Maal Hijrah buat semua warga SMK Jelai Felda dan seluruh warga Felda Jelai, khususnya para guru, staf, pekerja swasta, PIBG dan ibu bapa serta komuniti Felda Jelai semuanya.

Semoga dengan kehadiran tahun baru Hijrah 1432 ini akan memberikan kesedaran dan keinsafan serta peluang untuk kita merenung semuala segala amalan kita di hadapan Allah s.w.t. Kehadiran tahun baru ini juga adalah sebagai pengingat kepada kita , bahawa usia kita yang semakin meningkat, masa kita yang semakin berkurangan dan kita semakin hampir untuk kembali kepangkuan pencipta kita. Justeru itu, marilah kita menguatkan azam kita untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan yang jauh lebih baik berbanding tahun hijrah yang baru meninggalkan kita.

Dalam memperkatakan soal hijrah di dalam tugas kita di SMK Jelai Felda, kita haruslah melihat semula sejauhmana kita melakukan atau menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada kita. Lihatlah kembali kuantiti dan kualiti kerja yang telah kita lakukan berbanding tuntutan yang telah ditetapkan kepada kita untuk dilaksanakan. Apakah kita telah menjalankan tugas dengan sehabis baik atau kita sekadar melakukan tugas sekadar untuk mencukupkan masa bekerja dan sekadar 'cukup makan'.

Tahun 2011 adalah tahun yang penuh cabaran. Dengan perlaksanaan NKRA dan KPI yang telah ditetapkan, ia menuntut usaha dan pengorbanan yang lebih tinggi. Bagi kita sama ada sebagai guru, staf sokongan , pekerja swasta atau pelajar, kita punya tugas untuk mencapai sasaran atau KPI yang telah ditetapkan. Justeru itu, sudah pastilah ia menuntut komitmen semua pihak untuk berganding tangan memainkan peranan masing-masing untuk mencapai sasaran berkenaan.

Bagi bidang akademik , kita dituntut untuk meningkatkan GPS sekolah dalam peperiksaan awam sekurang-kurangnya sebanyak 0.5 -1%. Sementara peratus pelajar mencapai A adalah sekitar 20-30%, Gred B sekitar 50% dan mengurangkan kegagalan ke tahap 0 %.

Bagi penarafan sekolah, kita mensasarkan pencapaian No.1 di PPD Tampin.
Audit kewangan pula disasarkan kepada tahap 'BAIK"

Bagi bidang Hal Ehwal Murid, kita mestilah berusaha mengatasi masalah kita terutamanya berkaitan dengan:

1. Mengurangkan peratusan ponteng sekolah dan ponteng kelas
2. Mengurangkan peratusan kes perlanggaran disiplin terutama berkaitan Buang Sekolah
3. Menghapuskan 'Buta Al Quran'

Kita sebenarnya telah berjaya mencatat pencapaian tertinggi dalam mengatasi kes sosial sejak 2008. Statistik polis menunjukkan pengurangan kes yang berlaku di luar kawasan sekolah tetapi melibatkan pelajar sekolah ke tahap 'zero defect':

2008 sebanyak 12 kes

2009 menurun kepada 4 kes

2010 tiada kes dicatatkan.

Ini membuktikan kejayaan kita dalam mengatasi masalah. Kalau dulu, masalah ini dirasakan suatu yang sukar di atasi, ternyata berkat kesungguhan kita mampu mencipta kejayaan.

Tahun Hijrah 1432 ini juga menuntut kita supaya lebih bersifat kreatif dan melaksanakan inovasi di dalam tugas seharian kita. Kita harus mampu mencari penyelesaian terhadap setiap masalah melalui pelbagai sudut dan pelbagai kaedah. Yakinlah , setiap masalah tetap akan ada penyelesaiannya dan menjadi tugas kita untuk menggunakan segala kebijaksanaan untuk mengatasinya. Seterusnya, supaya setiap masalah itu akan menjadi peluang terbaik untuk kita melonjakkan kejayaan. Justeru itu, kita amat menggalakkan setiap warga sekolah sentiasa mengutamakan kreativiri alam penyelasai setiap masalah.

Inovasi menjadikan kita sentiasa segar dengan melakukan pelbagai perubahan. Ia pasti akan menjadikan kita sentiasa berfikir dan berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kita . Seperti kata bijak pandai, " Kejayaan bukan hanya bergantung kepada kemampuan kita menggunakan akal fikiran dan idea kita, namun juga berkaitan kemampuan kita mengolah idea orang lain dan menjadikannya sebagai milik kita sendiri,"

Semoga kita akan lebih berjaya dan melakukah penghijrahan ke arah kecemerlangan dengan lebih hebat lagi...

Thursday, November 25, 2010

SELAMAT DATANG WARGA PENDIDIK BARU KE SMK JELAI FELDA...

"PATAH TUMBUH , HILANG BERGANTI...WALAU TAK SAMA, SEKURANG-KURANGNYA DAPAT MENGUBAT LUKA KEHILANGAN YANG PERGI..."

BEGITULAH hakikatnya yang berlaku ...untuk sessi 2011 ini walaupun kita 'telah' kehilangan ramai warga pendidik yang dedikasi di sekolah ini, namun kita berasa syukur kerana menerima kedatangan hampir 10 orang guru baru yang akan menyambung perkhidmatan rakan-rakan yang telah berpindah. Selamat Datang dan selamat berkhidmat di sekolah ini. Kita yakin dengan bantuan rakan-rakan lama, tenaga pendidik baru ini akan tetap bersemangat untuk mencipta kejayaan dan sedia bekerjasama dengan guru-guru sedia ada. Melihatkan kepada usia mereka yang rata-rata muda (baru keluar universiti), kita yakin mereka mampu menyumbang tenaga dan idea ke arah kecemerlangan sekolah.

Dalam taklimat yang sempat saya sampaikan kepada mereka, saya memberikan beberapa tips untuk mereka berjaya:

1. Mestilah tahu tujuan kita bekerja-
untuk keredhaan Allah,
mencari rezeki yang halal,
mengamalkan ilmu yang ada dan
menyumbang untuk kesejahteraan manusia
kecemerlangan organisasi
kecemerlangan diri/ cita-cita peribadi

2. Sentiasa berfikiran positif
3. Bekerjasama/ Teamwork
4. Jujur/ ikhlas
5. Menyumbang/ Makna kewujudan diri
6. Kreatif dan inovatif
7. 'Think like a leader, Act as a Leader, Be A Leader'
8. Dream Big, Think Big, Be Big'

SELAMAT DATANG:
1. mOHD. jOHARI HASSAN
2. wAN kHADIJAH wAN IBRAHIM
3. nOR nADIYAH mOHD. nADIR
4. mOHD. kHAIRUL nIZAM bIN aBBAS
5. mOHD. kHAIRI sAPUAN
6. NOR ASYRIQ ZARINA BINTI MOHAMMAD
7. KHAIRUL HAFIZI BIN MOHAMMAD
8. ABD. HALIM MOHD. NASA

Tuesday, November 23, 2010

SPM sudah bermula...

Hari ini bermulanya peperiksaan SPM bagi tahun 2010. Bagi pelajar yang telah bersdia, ini merupakan saat yang dinanti bagi membuktikan kehebatan diri masing-masing di dalam pelajaran yang diikuti selamat ini. Kemungkinnan ada juga kebimbangan dan kegusaran, sama ada hasilnya nanti adalah sepertimana yang diharapkan ayau sebaliknya. Setiap orang pelajar, memanglah mengharapkan keputusan yang baik , yang dapat melayakkan mereka untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Sama ada memasuki Matrikulasi, Politeknik atau ke universiti. Sudah pastilah mereka yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke universiti luar akan bertambah gembira lagi.

Bagi pelajar di SMK Jelai Felda, inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa kita adalah warga yang telah dididik untuk menjadi cemerlang dan mampu menghasilkan kejayaan. Ini lah masanya juga untuk kita mengubah persepsi tentang anak-anak di Felda yang tidak peduli akan pelajaran dan seterusnya tidak mampu berjaya seperti orang lain. Inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa kita memang hebat...

Segala-galanya terletak kepada kita sebagai pelajar. Para guru dan ibu bapa telah menyediakan segala keperluan untuk layak menduddki peperiksaan ini. Terpulanglah kepada kita sama ada untuk menyahut cabaran sepertimana yang dinyatakan di atas tadi.
Dalam hal ini, perubahan mentaliti ke arah mentaliti cemerlang perlu ada. Konsistensi semangat juang yang tinggi untuk mencipta kejayaan perlu ada. Keberanian untuk berubah perlu kukuh di sanubari setiap pelajar, kerana setiap orang daripada kita berperanan membawa nama sekolah, malahan nama masyarakat Jelai Felda. Buanglah sikap negatif yang ada.

Namun ada juga kekecewaan pada hari pertama ini. Dilaporkan ada 3 orang pelajar yang tidak menduduki peperiksaan. Salah seorang daripadanya telah memninggal dunia sebelum ini. Namun apa yang lebih mengharukan perasaan , apabila ada sebahagian pelajar yang datang hanya untuk menduduki peperiksaan tanpa hadir ke kelas! Inilah akibatnya apabila sistem peperiksaan percuma diperkenalkan oleh kerajaan. Pelajar tidak berasa rugi jika gagal, kerana mereka tidak perlu keluar belanja untuk membayar yuran seperti sebelum ini.

Namun, saya yakin , untuk berjaya, yang paling penting adalah kesedaran akan pentingnya pelajaran , berikan tumpuan dan bertindak untuk mencapai kejayaan. Jika selain daripada itu, ia akan hanya jadi sia-sia dan sekadar hayalan semata-mata...

SELAMAT MENGHADAPI SPM.....

Wednesday, November 17, 2010

SALAM EIDUL ADHA..

alhamdulillah....hari ini kita berasa bertuah kerana dipilih Allah untuk bersama jutaan manusia di seluruh dunia menyambut Aidil Adha...Pada masa yang sama, jutaan lagi umat islam sedang berada di tanah suci Mekah menunaikan haji.

Selain bertasbih, bertahmid membesarkan keagungan Allah sejak terbenamnya matahari petang semalam, umat islam juga melaksanakan solat sunat Aidil Adha dan ibadah korban.

Apa yang paling penting, aidil adha mengajar kita pengorbanan. Pengorbanan yang paling agung sudah pastilah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim terhadap Nabi Ismail setelah diperintahkan oleh Allah. Pengorbanan umat Islam berterusan sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama dengan para sahabat dan pengikut-pengikut seterusnya hingga kini. Pengorbanan para pejuang negara mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh juga harus diingati oleh semua.

Hakikatnya Allah amat menginginkan umatnya berkorban demi agamanya. Kejayaan hanya dapat dikecapi dan rasai nikmatnya, hanya setelah kita melakukan pengorbanan dan susah payah. Malah tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Kejayaan yang dikecapi dengan mudah dan tiba-tiba sudah pasti tidak kekal di sanubari.

Bagi kita di SMK Jelai Felda, kita telahpun berkorban dalam memastikan kejayaan dan keselesaan anak-anak didik kita. Pengorbanan sejak awal tahun, tanpa hentinya sudah pastilah akan terasa nikmatnya, apabila anak-anak didik kita ini menghadiahkan kejayaan di dalam peperiksaan nanti.

Bagi para pelajar, berkorban demi kejayaan di dalam peperiksaan PMR dan SPM haruslah menjadi keutamaan. Korbankan masa lapang, masa rehat dan televisyen serta perkara yang tidak berkaitan dengan kejayaan demi mempersiapkan diri menghadapi SPM ini. Hanya beberapa hari sahaja lagi SPM bakal menjelma. Diharapkan juga, para pelajar akan terus memberikan tumpuan terhadap pelajaran pada sepanjang tempoh peperiksaan berjalan. Ingatlah, pengorban anda pada tahun ini, kesukaran anda ketika ini pasti akan dibalas dengan kesenangan berpanjangan selepas tamat peperiksaan nanti. Kuatkanlah semangat anda untuk kejayaan diri anda sendiri. Inilah salah satu daripada roh berkorban yang dibawa oleh Aidil Adha.

Bagi para guru, pengorbanan dan berkorban adalah resepi kejayaan kita. Pengorbanan kita tidak pernah putus dan akan diteruskan sehingga ke tahun hadapan. Gunakanlah kesempatan bercuti ini untuk membuat muhasabah diri menilai kelemahan dan kekurangan kita pada tahun ini dan seterusnya merancang kejayaan untuk tahun 2011 nanti.

Bersedialah untuk 2011!

Monday, November 15, 2010

KEPUTUSAN PERMOHONAN PINDAH 2011...

SEMALAM... semua persoalan telah terjawab...siapa yang berjaya dalam permohonan pindahnya... sama ada perpindahan di dalam negeri atau antara negeri atau di dalam daerah..

Bagi yang berjaya..pastilah gembira. Bagi yang gagal..sudah pasti kecewa...Namun, janganlah dijadikan kekecewaan berpindah itu sebagai penamat kepada kesungguhan bekerja kita pada masa akan datang...tidak semua yang kita inginkan akan tercapai. Kalau tercapai pun, tidak semuanya akan dapat memuaskan sepenuhnya hati kita...dan kalau tidak tercapai pun, bukanlah bermakna tidak ada kebaikan atau rahmatnya...

"Manusia merancang, Allah juga merancang dan sesungguhnya perancangan Allah itu lebih baik".

Allah itu lebih mengetahui apa yang lebih baik dan lebih perlu untuk kita.

Namun realitinya, kemungkinan-kemungkinan yang berlaku adalah disebabkan beberapa faktor: Antaranya:

1. Option guru yang tidak ada atau diperlukan di tempat berkenaan
2. Kekosongan tempat yang tiada
3. Pengganti bagi guru berkenaan tiada, terutama option yang berkaitan.

Apa yang pasti, kita akan merasakan kehilangan rakan-rakan guru yang telah banyak menyumbang jasa, tenaga dan bersama-sama menempuh dugaan yang berat dalam memajukan sekolah ini. Saya sering menyatakan, untuk menjadi guru yang baik, tempatnya ialah di sekolah-sekolah seperti ini...kerana di sini dugaan, cabaran dan rintangannya lebih besar dan kuat...jika kita mampu berjaya di sini, pasti, kita juga akan berjaya di mana-mana juga. Bawalah pengalaman dan ilmu yang ditimba di sini untuk lebih berjaya di tempat baru..kita doakan guru-guru akan berjaya cemerlang..

Bagi yang masih ada di sini, teruskan khidmat cemerlang kita. Jasa tuan-tuan guru masih dan amat diperlukan bagi menghadapi cabaran 2011. 2011 menjanjikan cabaran dan perancangan yang lebih besar..justeru itu, komitmen dan kesungguhan guru-guru amat diperlukan.

Bagi yang berpindah... SELAMAT BERJAYA DENGAN CEMERLANG...TERIMA KASIH DI ATAS SEGALA-GALANYA...

1, Cik Norakasuma
2. Pn. Faizah Yusof@ Hajah Busana
3. Ustazah Norainun Ibrahim
4. Encik Sieva
5. Pn. Suganthi

Sunday, November 14, 2010

SKMM 2011- Tugas Besar menanti warga pendidik







NKRA Pendidikan yang menuntut kecemerlangan sekolah melalui penetapan KPI( Key Perfomance Index) dan SIP (School Improvement Programs), telah membuat perubahan di dalam instrumen penilaian dan pemantau di sekolah. Ianya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2011 nanti.

Instrumen SKPM (Standard kualiti Pendidikan Malaysia) yang baru ini ternyata lebih detail dan menuntut penelitian dan tumpuan yang lebih fokus kepada persediaan yang rapi dan pencapaian yang tinggi. Penilaian di dalam aspek P & P terutamanya, perlu dilakukan dengan detail mengikut pencapaian individu di dalam setiap aspek yang dinilai. Peranan guru adalah untuk meneliti setiap diskripsi atau skema pencapaian di dalam setiap item atau standard untuk diterapkan di dalan setiap aspek. Ternyata SKPM terbaru ini harus didokongi oleh semua guru dan pengurusan sekolah dan harus diteliti dan dijayakan bersama. Guru-guru harus lebih terlibat di dalam setiap pencapaian. justeru itu, bagi SMK Jelai Felda, satu taklimat akan diadakan pada 15 November 2010 ini bagi mendedahkan perkara ini kepada semua guru.

Namun begitu, ternyata, SKPM ini juga seakan sama seperti penetapan standard di dalam SKPM yang lalu. Penilaiannya disatukan untuk semua jenis dan lokasi sekolah. Apa yang dikhuatiri, ia menipiskan peluang sekolah-sekolah luar bandar dan Felda untuk mencapai tahap yang dinyatakan. Standard yang ditetapkan ternyata terlalu tinggi. Contohnya, peratusan kehadiran serendah 94% untuk mendapat 1 mata, merupakan satu cabaran yang cukup besar bagi sekolah-sekolah liar bandar atau Felda. Bagi sekolah SBP atau sekolah Elit, perkara ini mungkin bukan suatu masalah!

Pihak Kementerian sudah pasti ada jawatapan untuk persoalan ini.

Namun, kita sebagai warga pendidik, tidak harus terlalu mempersoalkan perkara tersebut. Tugas kita adalah untuk berusaha sedaya mungkin mengejar standard yang telah ditetapkan. Apa yang penting adalah usaha ke arah itu. Kalau kita sudah berusaha sehabis daya, dan hasilnya tidak seperti yang diharapkan, pasti kita juga akan berpuashati...selainnya terserah kepada Allah. Minda kita seharusnya menganggap itu sebagai suatu cabaran terhadap kita...Dalam hidup. perlua ada cabarannya...umpama nasi berlauk dan berkuah...kalau hanya nasi sahaja, memang tidak sedap dan tidak enak di makan. Begitulah kehidupan..Cabaran seharusnya menjadi pendorong..pembakar semangat..dan pemacu untuk kita bergerak lebih ke depan dan yang paling penting , seharusnya menjadikan kita lebih berfikir, kreatif dan berani mencari elemen dan usaha-usaha baru ke arah mencapai matlamat kita...

Bagi rakan-rakan guru dan anak didik di Jelai Felda, ayuh kita hadapi cabaran ini dan lipatgandakan usaha kita ke arah mencapai kejayaan. Kita boleh dan pasti boleh , jika kita benar-benar yakin dengan kemampuan kita...kita telah buktikan kehebatan kita di dalam setiap perkara...Nah ! sekarang seharusnya menjadi lapangan baru untuk kita buktikan bahawa kita adalah warga yang tahan cabaran dan sudah biasa mencipta kejayaan..!

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA DAN SELAMAT BERCUTI KEPADA SEMUA WARGA SMK JELAI FELDA SERAT SEMUA RAKAN KOLABORASI KITA, ....PERIMU. MUSLIM AID MALAYSIA, SMPN 13, MAINS, FELDA, TMNET, PTPL DAN SELURUH WARGA FELDA JELAI, GEMAS....

Ibu Heli dan Hilda bermalam di Tasik Jaya





Layanan kepada ibu Heli dan Hilda berterusan apabila kami diberikan penghormatan untuk menjadi hos unttuk mereka bermalam di rumah kami. Sekembalinya dari Malaka, terus ke Tasik Jaya.

Sebelah malamnya sempat bersarapan bersama Encik NoorHaslin sekeluarga. Hidangan yang disediakan adalah nasi hujan panas, gulai asam pedas, rendang daging, kek hari jadi 'jamak' 5 orang yang turut menyambut hari jadi pada bulan November ini. Kami seterusnya berbual sehingga jam 10.30 malam. Ternyata ibu dan Hilda sudah 'capek' dan mohon istirehat.

Keesokan harinya , kami juga menerima kunjungan Pn. Ramlah dan suami. Sempat bersarapan bersama dengan hidangan roti canai yang menjadi pilihan ibu Heli dan Hilda.

Kami juga sempat menghantar beliau ke KLIA sehinggalah ke Balai perlepasan meninggalkan Malaysia.

Terima kasih Ibu Heli dan Hilda di atas lawatan dan kesudian bermalam di teratak kami. Moga bertemu lagi, kemungkinannya di Bandung lagi.

Lawatan Ibu Heli Setiawati ke SMK Jelai Felda






Akhirnya, tanpa diduga juga, Ibu Heli Setiawati , guru dari SMPN 13, yang kita lawati di Bandung dahulu, menjejakan kakinya ke SMK Jelai Felda.

Dalam lawatan tersebut , beliau di bawa melawat ke beberapa lokasi tertentu di sekolah. Ternyata beliau begitu kagum dengan keindahan sekolah dan kehebatan kita dalam pencapaian yang kita buat di dalam setiap bidang.

Sebahagian pelajar sempat bertemu dengan ibu Heli serta anaknya Hilda yang begitu mesra bersama pelajar sekolah kita,

Menurut ibu Heli, kita sudah paunyai segala-galanya. cuma 'hasilnya' sahaja yang ditagih kini, terutamanya di dalam dunia ICT ThinkQuest. Berbanding dengan guru-guru dan pelajarnya di Bandung yang serba kekurangan, namun mereka punyai semangat yang amat kental dan jauh meninggalkan kita di peringkat Antarabangsa. Inilah pengajaran yang seharusnya kita ambil dan muhasabah diri kita, iaitu, sejauhmanan komitmen kita ke arah meningkatkan kecemerlangan sekolah kita. Kita seharusnya jauh lebih baik daripada mereka, Namun ternyata semangat dan keinginan atau keghairahan mengejar kecemerlangan di peringkat tertinggi itulah yang kita masih berkurangan.

kita berharap, untuk tahun 2011 ini, kita kan mampu mengubah diri dan memberikan fokus yang lebih kuat di dalam ICT, kerana melalui ICT kita mampu ke peringkat yang tertinggi,,,

Simposium ThinkQuest di BTP , Bkt Kiara- 12.11.2010






Simposium Pendidikan ThinkQuest anjuran BTP dan Oracle pada 12 November 2010 , bertajuk Pendidikan Abad 21. memberikan pendedahan yang amat bermakna dari segi betaa perlunya kita sebagai guru menggukan ICT di dalam pengajaran di dalam kelas. Cabaran kita sebagai guru adalah kita berhadapan dengan anak -anak murid kita yang berpengetahuan tinggi tetang ICT, yang dianggap sebagai pengguna native ICT , yang telah terdedah dengan pelbagai alat ICT di dalam setiap aspek kehidupan mereka. Penggunaan telefon bimbit, Facebook, Skype, e mail, blog, web , internet dan sebagainya. Guru seharusnya lebih mahir dan menggunakan semua media ini di dalam pengejaran mereka jika guru mahu dianggap relevan di dalam dunia pendidikan kini. Jika tidak kita akan ketinggalan.

ThinkQuest, sepertimana yang disarankan adalah salah satu media yang amat berguna. Ia boleh dijadikan web pilihan bagi guru-guru melaksanakan proses pembelajaran abad 21 ini. Bahan latihan, kerja rumah, projek , malah apa sahaja yang berkaitan sesuai dilaksanakan melalui ThinkQuest.

Perkongsian pengalaman bersama para pembentang amat bermakna. Antara isu yang diulas adalah keenganan para guru menggunakannya, insentif galakan penggunaannya, dan halangan kemudahan infrastruktur yang masih lemah.

Perkongsian pengalaman bersama Ibu Heli Setiawati dari SMPN 13, Bandung, memperlihatkan bagaimana tingginya komitmen dan penerimaan guru-guru terhadap portal ini. Mereka yang serba kekurangan kemudahan sanggup membeli modem broadband sendiri, laptop dan belajar pada setiap minggu menjayakan ThinkQuest. Hasilnya, sekolah ini sudah jauh berada di Antarabangsa berbanding sekolah kita di Malaysia. Menurut beliau apa yang mungkin berbeza dengan kita hanyalah semangat dan kecintaan untuk merebut segala peluang yang ada untuk maju. Lantas mereka telah bertekad untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa. Untuk makluman, SMPN 13 adalah sekolah ranking no 2 di seluruh Bandung dan merupakan sekolah kluster yang mendapat taraf Antarabangsa. Pencapaian mereka sudah cukup tinggi, di mana saban tahun guru-gurunya akan silih berganti ke Australia atau ke negara lain untuk belajar. Kemungkinan, kita juga akan berusaha menghantar guru kita ke sana untuk mempelajari sesuatu daripada mereka.

Bagi SMK Jelai Felda, kita berharap pada tahun 2011 ini kita akan memberikan tumpuan yang lebih kepada THINKqUEST. Untuk permulaan ini kita telah menyertai pertandingan di peringkat Antarabangsa. Kita berharap para pelajar dan guru kita akan terus bersemangat menjulang nama sekolah ke peringkat Antarabangsa.

Saya rasa terharu sekali apabila nama SMK Jelai Felda disebut oleh Ibu Heli di dalam pembentangan Kertas kerjanya. Semuanya bertolak daripada koloberasi kita di alam siber yang diikuti dengan lawatan kita ke SMPN 13, sebagai 'IMPIAN MENJADI REALITI'.

Hi Tea SMK Jelai Felda






MAJLIS HI-TEA-SMK Jelai Felda telah diadakan pada 11 November 2010 yang lalu. Majlis ini merupakan aktiviti tahun BAKIS (Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan ). Pada kali ini ia diadakan di Farmosa , Alor Gajah, Melaka. hampir semua guru. staf dan kakitangan pembersihan kawasan sekolah di bawah syarikat Tuju Perkasa telah hadir bagi memeriahkan majlis. Tetamu pada hari tersebut YDP PIBG En Jupri dan Encik Rasyid daripada Tuju Perkasa,


Tujuan majlis ini adalah untuk bergaul mesra dan meraikan beberapa orang guru dan kakitangan yang telah berpindah atau tamat perkhidmatan.

1. Pn. Ramlah (KPT N26) ke SMK Mantin
2. Cik Halimah ke SMK DHUHA Kota
3. pn. Shamsaimun (PT ) ke SK Jelai 1
4. Cik Fatimah Alias- GSSTT
5. Cik Hayati - GSTT
6. Encik Mohd. Izwan-GSTT
7. Encik Ridwan ke PPD Tampin

Cabutan bertuan dan cenderamata mengisi acara pada hari tersebut.

Kehebatan pasangan pengacara Encik Sapuan dan Cik Aziq menjadikan majlis lebih ceria dan 'hidup'.

Diharapkan pada masa-masa akan datang majlis akan tambah meriah dan ceria lagi.

Monday, October 4, 2010

LAWATAN KOLOBERASI KE SMPN 13, DAN RUMAH ZAKAT, BANDUNG, INDONESIA






ALHAMDULILLAH...AKHIRNYA tercapailah hasrat untuk mengadakan lawatan ke SMPN13 Bandung, Indonesia daalam rangka kerjasama Program ThinkQuest antara SMK Jelai Felda dengan sekolah berkenaan, pada 23 hingga 26 September 2010 . yang lalu.

Rombongan kami seramai 18 orang pelajar dan guru bertolak dari LCCT, KLIA pada jam 8 malam dan selamat mendarat di Bandung pada jam 10 malam. Kehadiran kami disambut oleh ibu Heli Setiawati, guru ThinkQuest SMPN 13 di Lapangan Terbang dan dibawa ke Hotel. Dalam perjalanan kami dibawa meninkmati suasana malam di kota Bandung menaiki bas sekolah yang disediakan. Sempat berhenti sebentar di warung, menikmati jagung bakar yang sangat enak dan yang pastinya tidak kedapatan di Malaysia.

Keesokannya, rombongan terus ke SMPN13 dan kehadiran kami disambut oleh Kepala Sekolah Pak Suryono dan guru-guru serta para siswa/ siswi dengan sambutan yang amat mesra. Melalui taklimat Pak Suryono, ternyata SMPN 13 adalah sebuah sekolah yang hebat dengan markah akriditasi seluruh Indonesia 96%. Walaupun kemudahan fizikal yang ada amat jauh berbeza daripad kita, ternyata mereka jauh ke depan dengan menggunakan kemudahan dengan lebih jitu. Dalam Program ThinkQuest sekolah ini menjadi rujukan bagi sekolah-sekolah seluruh Indonesia malahan hingga ke peringkat Antarabangsa. Saban minggu mereka menerima kunjungan daripada tetamu luar negara.

Banyak yang dapat dipelajari daripada sekolah ini. Selain itu kesungguhaan guru dan pelajar dalam pendidikan amat ketara. Pasukan koir sekolahnya amat matang dan hebat darisegi harmoninya persembahan mereka. Suatu yang menarik bagi pelajar kita pelajari ialah sikap pelajarnya yang mampu belajar sendiri dan tidak segera pulang ke rumah selepas sekolah (jam 11 pagi, Jumaat) sebaliknya mengadakan diskusi sesama rakan dan menyiapkan kerja rumah sendiri tanpa pengawasan guru!

Kami juga sempat melawat Rumah Angklung di Bandung ini. Menariknya melaihatkan mutu persembahan dan bakat anak-anak kecil berumur sekitar 9 tahun yang telah mahir bernmain angklung. Mereka amat menekankan soal warisan budaya bangsa mereka yang harus dipelajari dan dikuasai oleh generasi muda. Di sini juga pembelajaran angklung dilakukan secara profesional di mana diadakan kelas mempelajari angklung, yang menerima pelajar dari serata dunia. Pusat ini lengkap dengan segala aktiviti yang berkaitan angklung iaitu daripada pembuatan angklung di situ sehinggalah kepada konsert atau persembahan yang dipamerkan di situ. Amat teruja sekali apabila penonton dapat belajar angklung bersama-sama hasil tunjukajar pemilik rumah angklung ini sendiri.

Kata orang, kalau melawat Bandung, tidak sah kalau tidak membeli belah...Bandung adalah kota yang indah bagi peminat membeli belah! Pelbagai barangan dengan yang murah dapat dibeli di sini. Bawa wangnya sahaja...harusnya dalam jumlah yang besar...jutaan...

Kami sempat melawat rakan NGO kami di Bandung iaitu Rumah Zakat. Ia merupakan NGO Islam yang menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak terbiar dari peringkat SD (sekolah Dasar) hingga ke SMA (Sekolah Menengah Atas). Kegigihan mereka yang terdiri daripada anak-anak muda dalam membela masyarakat terbiar, benar-benar menyentuh hati...Sempat juga kami memberikan sedikit sumbangan untuk kereka di situ..

Namun, perkara yang paling tidak akan dilupai dalam lawatan kami ini ialah kesungguhan dan layanan ibu Heli Setiawati, Decky, Trisha, Mayang, Bandi dan rakannya yang sentiasa bersama kami, melayan kerenah kami dan sentiasa memenuhi permintaan kami untuk sesuatu tujuan tanpa banyak soal. Terima kasih buat semua. Terima kasih buat Pak Suryono yang melapangkan masa seharian untuk melayan di samping memperkenalkan makanan tradisonal Bandung.

Dan, pemgalaman yang paling bermakna adalah apabila terpaksaberjalan kaki ketika menuju ke Lapangan terbang, setelah taksi yang membawa kami enggan menghantar terus ke airport kerana TERLALU MACET.... kami terpaksalah berjalan sehingga hampir 3 kilometer...dan kami tiba lebih awal daripada bas yang membawa anggota rombongan yang lain daripada lawatan ke Tangkuban Perahu..

Friday, September 17, 2010

PERSIAPAN JAMUAN HARI RAYA SMK JELAI FELDA..











ALHAMDULILLAH...Segala perancangan yang diatur telah terlaksanan jua...Hari ini seluruh warga sekolah telah sepakat dan bergotong royong membuat persiapan untuk mengadakan majlis sambutan hari raya peringkat sekolah pada esok iaitu bersamaan 18 September 2010.

Persiapan sebenarnya telah bermula sejak sebelum cuti hari raya yang lalu apabila guru-guru bersama staf dan pekerja swasta telah bertungkus lumus di dalam bulan puasa untuk mencari kayu api untuk kegunaan pada hari ini.

Pada pagi ini, gotong royong menyediakan bahan untuk membuat lemang, rendang, kueh dan sebagainya telah bermula. terharu juga melihatkan kerjasama dan komitmen semua yang terlibat, yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan majlis ini. Dengan dikepalai oleh chef cikgu Roziemaizah, semua orang amat teruja membantu membuat persiapan. Tidak lupa juga beberapa orang pelajar yang turut membantu.

Aktiviti ini sebenarnya dapat merapatkan hubungan dan menunjukkan semanat setiakawan dan teamwork yang hebat yang ada di kalangan warga sekolah. Dalam gotong royong sebegini, semuanya membantu. Tidak kira siapa, pekerja, guru, staf, guru kanan, penolong kanan atau pengetua, sama-sama bergotong royong membantu mengikut kebolehan dan kemampuan masing-masing. Tahniah kepada semua...Anda Memang Hebat...

Di samping itu, persiapan pentas dan dewan jamuan di kantin juga telah diatur sejak pagi. Beberapa orang guru yang 'pakar' dalam penyediaan tempat makan dan pentas perasmian majlis telah bergotong royong menyediakan tempat dengan cukup baik.

Menjelang jam 6.15 petang , hampir semua persiapan terutamanya lemang, telah habis masak semuanya. Senarai makanan atau aktiviti yang pada awalnya hanyalah berupa penyediaan lemang dan rendang, bertambah kepada beberapa jenis makanan lain. Rendang ayam, nasi himpit, kueh kuaci labu dan kueh talam pulut, turut dibuat.. Itulah ragam kalau dah ke dapur atau mula memasak...idea dan perancangan tiba-tiba muncul dan bercambah...

kepada semua...SELAMAT HARI RAYA , MAAF ZAHIR DAN BATIN....ESOK KITA BERJAMU DI SEKOLAH..

p/s Kepada semua, bekas pelajar, ibu bapa dan semua pelajar...Jemput datang bersama-sama meraikannya..

Tuesday, September 14, 2010

MAJLIS jALINAN kASIH bEKAS pELAJAR smk jELAI fELDA






ALHAMDULILLAH...Perancangan yang diatur semenjak awal tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan, apabila majlis berkenaan dapat disempurnakan pada 12 September 2010 bersamaan 3 Syawal yang lalu di Dewan Bestari sekolah.

Sekalung tahniah kepada JK Program yang diketuai oleh Sdr Sheh Yacob dengan dibantu oleh Cik Hazlin, Gym Ahli Sukan dan beberapa rakan lain. Amat cemerlang dan meriah!

Sejumlah hampir 200 orang bekas pelajar , bekas guru dan 2 orang bekas pengetua turut
hadir. Bekas pengetua pertama Hj. Mohd. Azahar dan Dato Hj. Azam bin Hj. Md. Atan bersama pasangan masing-masing turut menyerikan majlis. Suatu yang amat membanggakan apabila bekas pelajar yang hadir meliputi bekas pelajar daru daripada bekas pelajar daripada pelbagai tahun iaitu daripada kumpulan pertama hinggalah yang terkini (2009).

Bagi bekas-bekas pelajar, terutamanya yang telah lama meninggalkan sekolah, sudah pasti ia merupakan hari yang amat dinantikan. Bukan sekadar dapat menyambut hari raya sambil menikmati hidangan , malah kegembiraan bertemu rakan-rakan yang telah terpisah lama, merupakan detik yang paling manis. Sudah pastilah pelbagai cerita dan kenangan nostalgia yang ingin dikongsikan, disamping keinginan untuk melihat perkembangan diri rakan-rakan. Ramai yang telah berkeluarga, wajah sudah berubah, penampilan sudah berbeza dan kerjaya tersendiri...Namun kenangan sudah pasti sama..iaitu di sekolah yang menjadi tempat menuntut ilmu... Apatah lagi kesempatan bertemu dengan bekas guru dan pengetua...

Bagi Alumni , pihak sekolah sentiasa sedia untuk bekerjasama dalam usaha membantu adik-adik di sekolah ini. Malahan kami bercadang untuk memberikan suatu bilik khas buat Alumni untuk memudahkan mereka menjalankan aktiviti membantu pelajar di sekolah ini. Beberapa projek lain juga boleh dibincangkan.

Adalah diharapkan, program ini akan dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang. Bagi bekas pelajar, sokonglah usaha murni ini supaya kita dapat menyatukan semua kekuatan yang ada di jelai Felda ini, terutama di kalangan bekas pelajar untuk memastikan sekolah kita tetap maju dengan cemerlang..

Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin...

Tuesday, September 7, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI..MAAF ZAHIR BATIN

DALAM tempoh 2 hari lagi, seluruh umat islam di dunia khususnya di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Puasa. Keriangan untuk menyambutnya sudah pasti mencapai kemuncaknya. Mungkin esok atau lusa , Aidil Fitri akan menjelma.

Persiapan menyambutnya sudah pasti telah dilakukan terutamanya oleh ibu bapa. keriangan menyambut hari raya ini walaupun lebih kepada anak-anak, apatah lagi anak-anak kecil, namun ia tetap dirasai oleh golongan dewasa dan ibu bapa. Kegembiraan dan wajah riang anak-anak sudah menyambut hari raya itulah hakikat sebenar kegembiraan kepada ibu bapa.

Walaupun keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan pada masa ini , namun aidil fitri yang datang sekali, terpaksa juga dihadapi dengan membuat persiapan yang sepatutnya. Namun, ia terpaksa dilakukan dengan berhemah dan berjimat cermat.

Ramadhan yang kita lalui ini bakal meninggalkan kita 2 hari lagi. Ada yang berasa gembira apabila mengenangkan Ramadhan akan sampai ke penghujungnya. Namun ada juga yang tidak gembira. Ada yang merasakan perlu diri ditarbiahkan lagi melalui Ramadhan atau semoga Ramadhan terus dapat mengawal dirinya daripada godaan selepas tibanya Syawal. Bagi yang hidup dalam kesempitan, sudah pastilah berasa tertekan. Ibu bapa yang hidup dalam kemiskinan sudah dan tidak mampu menyediakan persiapan raya untuk anak-anak mereka sudah pastilah akan berasa amat sedih dan hiba apabila mengenangkan kemunculan syawal nanti. Betapa tidak sanggupnya mereka melihat kesedihan anak-anak mereka yang tidak bergembira di pagi syawal sepertimana anak-anak orang lain yang berada. Bagaimana pula bagi mereka yang ditimpa kemalangan atau kehilangan orang yang tersayang! Bagi anak-anak yang kehilangan ibu bapa mereka, di manakah mereka hendak menumpang kegembiraan di pagi syawal nanti. Bagaimanakah mereka hendak menghadapinya! Bagi ibu bapa yang kehilangan anak atau anggota keluarga, sudah pastilah syawal ini tambah meluluhkan hati mereka!

Namun, setiap orang harus redha dengan ketentuan Allah. Banyakkanlah berdoa kulah sahaja sandaran kita untuk menghadapi dugaan yang mendatang.

Bagi kita yang masih mampu bergembira menyambut kehadiran syawal ini, sambutlah dengan penuh keriangan tetapi di dalam penuh kesederhanaan dan keinsafan. Ingatlah mereka yang tidak berkemampuan dan bantulah mereka yang memerlukan bantuan ini.

Bagi para pelajar pula, janganlah kegembiraan syawal ini melupakan tanggungjawab kita dalam usaha mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan yang mendatang. Dengan tamatnya Ramadhan dan sambutan hari raya ini, menandakan waktu untuk kita menghadapi PMR dan SPM semakin dekat. Bagi calon PMR, mereka mempunyai waktu selama 3 minggu sahaja lagi dan bagi SPM pula ada sekitar 2 bulan/ 60 hari lagi. Jadualkan diri untuk kita menyambut hari raya dan di samping itu, tidak pula melupakan pelajaran kita.

Bagi guru-guru, persediaan yang lebih mencabar masih menanti kita. Dengan PMR dan SPM yang semakin hampir, kita dituntut untuk membuat persiapan yang lebih keras untuk membantu anak didik kita untuk mencapai kejayaan. Kelemahan dan kekurangan yang dapat dikesan di dalam peperiksaan percubaan yang lalu , perlu kita perbaiki dan mempertingkatkan pula pencapaian mereka. Namun, diharapkan jangan pula kita lupa akan tanggungjawab kita terhadap keluarga dan anak-anak kita semasa hari raya ini. Raikanlah mereka dan gembirakanlah mereka. Lupakan seketika terhadap tugas di sekolah dan berikanlah tumpuan dan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak dan keluarga. Mereka berhak juga untuk mendapat perhatian, selain pelajar kita di sekolah. Lagipun sudah terlalu banyak masa kita korbankan di sekolah. Gunakan masa ini untuk mereka. Beruntungnya guru-guru...cuti sekolah agak panjang...!

Selamat Hari Raya buat semua , guru-guru, staf, pekerja swasta , pelajar dan seluruh warga SMK Jelai Felda. Tidak lupa kepada masyarakat Jelai Felda dan rakan koloberasi Muslim Aid Malaysia. Perimu, RMC, PTPL, MARA, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Felda dan suluruh umat islam...MAAF ZAHIR BATIN..

Thursday, September 2, 2010

PERLANCARAN PROGRAM KAMI ANAK 1 MALAYSIA






SEMPENAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE 53, seluruh warga SMK Jelai Felda telah bersama-sama menyatakan rasa sokongan terhadap program yang disarankan oleh kerajaan.

Dalam program ini yang dianjurkan oleh Panitia Sejarah, pengetua dan semua guru sekolah telah menurunkan cap tapak tangan ke atas kain rentang yang disediakan khas di kawasan tapak perhimpunan sekolah. Seterusnya seluruh pelajar pula telah menurunkan cap ibu jari sebagai tanda sokongan.

Sambutan amat menggalakkan dan kelihatan para pelajar begitu terujua untuk bersama-sama menyertai acara ini.

Semoga semangat ini akan dapat diterapkan oleh semua warga sekolah ke dalam tugas dan tanggungjawab masing-masing. Kita mestilah bersatu dan berjuang bersama-sama untuk membangunkan sekolah dan mencipta seberapa banyak kejayaan untuk kecemerlangan sekolah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...