Hari ini saya terbaca artikel berkaitan laporan GMPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melaporkan tentang gejala ponteng sekolah dan kurang minat belajar di dalam kalangan pelajar-pelajar daripada PPRT.
Antara faktor yang dikemukakan adalah faktro ibubapa yang kurang memberikan erkatian terhadap pelajaran anak-anak mereka disebabkan kesibukan mencari nafkah, ketidakmampuan menampung kos pelajaran anak-anak dan faktor pengaruh hiburan yang banyak di sekitaran kejiranan mereka.
Saya amat bersetuju dengan dapatan ini. Inilah antara faktor yang menjadi penyebab kepada gejala yang disebutkan tadi. Berdasarkan pengalaman mengajar dan mentadbir di sekolah-sekolah harian yang bermasalah seperti ini, ia merupakan suatu isu yang sangat sukar untuk ditangani.
Rata-rata sekolah yang berada di kawasan bandar atau pinggir bandar yang mempunyai kelompok pelajar yang rata-rata status sosio-ekonomi keluarga yang rendah seperti di kawasan perumahan kos rendah atau PPRT, pasti masalah ini amat memeningkan kepala.
Kedar kehadiran ke sekolah amat rendah , sekitar 80% , kes salahlaku pelajar yang tinggi, dan kurangnya kerjasama di kalangan ibubapa di dalam memberikan perhatian terhadap pelajaran anak-anak, dan sukar mendapatkan tumpuan para pelajar ketika sessi PdP di jalankan di dalam kelas.
Kesemua faktor di atas ini menjadi penyebab kepada prestasi lemah sekolah di dalam akademik.
Rata-rata ibubapa di kawasan-kawasan seperti ini amat kurang dapat memberikan perhatian terhadap pelajaran anak-anak mereka. Mereka ini sibuk mencari nafkah dengan melakukan pelbagai pekerjaan demi untuk meneruskan survival mereka. Apa yang utama bagi mereka ialah memenuhi desakan untuk hidup!. Mencari seberapa banyak wang untuk membayar keperluan harian, menjelaskan bil-bil . Ada di kalangan ibubapa ini yang melakukan 2 atau 3 kerja sehingga malam hari bagi menampung keperluan hidup . Mereka terpaksa memberikan kepercayaan penuh kepada anak-anak untuk menguruskan diri untuk ke sekolah dan belajar . Anak-anak yang kurang dipantau ini , akhirnya memilih untuk tidak hadir ke sekolah atau melencong ke tempat lain, walaupun mereka keluar sekolah setiap hari dengan pakaian sekolah, namun mereka tidak sampai ke sekolah sebaliknya mereka merayau ke tempat lain. Kadang kala, ada ibubapa yang yang tidak tahupun bila anak-anak mereka keluar rumah untuk ke sekolah kerana mereka masih tidur, kepenatan bekerja pada malam hari. Hal ini ditambah lagi lagi dengan sikap sesetengah golongan bapa yang melepaskan segala tanggungjawab persekolahan anak-anak kepada pihak isteri!
Memang amat sukar bagi sekolah-sekolah yang berada di dalam persekitaran SES yang sebegini untuk cemerlang atau memenuhi KPI Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan kehadiran minima 95% setiap hari. Rata-rata pihak pengurusan sekolah yang sebegini "pening' kepala memikirkan pelbagai kaedah untuk memastikan kehadiran penuh pelajar mereka. Kadang-kala keperihatinan sekolah sudah sampai ke tahap melebihi keperihatinan ibubapa para pelajar ini sendiri!.
Dengan kedudukan SES yang rendah ini, memang berlaku kes ketidakmampuan sebilangan ibubapa ini untuk memberikan yang terbaik bagi pendidikan anak-anak mereka. Ramai juga yang tidak mempunyai wang belanja , pakaian yang lengkap, alat-alat tulis atau bahan-bahan tambahan , atau untuk mendapatkan tuisyen tambahan di luar sekolah kerana tidak mampu.
Sistem persekolahan kita sekarang bukan seperti sistem pada zaman 60 an atau 70an dahulu. Program sekolah sudah pelbagai, aktiviti sekolah sudah semakin rencam dan tuntutan kecemerlangan sekolah sudah semakin tinggi. Dengan sistem band sekolah, KPI dan perbandingan antara sekolah-sekolah berdasarkan pencapaian GPS sekolah, masing-masing sekolah berlumba-lumba ingin mencipta kecemerlangan.
Pelbagai aktiviti dan program peningkatan kecemerlangan sekolah dilakukan. Ini semua memerlukan perbelanjaan dan dana yang banyak. Hal ini belum lagi dikira dengan keperluan dana yang tinggi untuk kerja-kerja membaiki kerosakan akibat vandalisme yang tinggi , menambahkan keperluan dan alatan sekolah yang rata-ratanya terpaksa ditampung oleh pihak sekolah. Dengan pemotongan peruntukan membaikpulih kerosakan dari JPN, pihak sekolah terpaksa berusaha mendapatkan dana tambahan untuk tujuan tersebut.
Selain peruntukan tahunan yang disalurkan KPM, sumbangan PIBG adalah sumber tambahan kewangan sekolah untuk menampung keperluan tadi. Malangannya bagi sekolah-sekolah begini, sumbangan ini juga amat sukar untuk diperolehi daripada sebahagian ibubapa. Ramai yang enggan menjelaskan sumbangan PIBG ini. Ada yang meminta sekolah mengecualikannya . Namun, saya pasti semua orang juga akan memohon pengecualian. Akhirnya, siapakah yang akan bekerja untuk mencari dana untuk menampung kewangan yang sepatutnya disumbangkan oleh ibubapa ini? Jawapannya ialah CIKGU...
Walaupun kerajaan menyediakan peruntuk awal persekolahan dan BRIM , namun ramai ibubapa yang seakan "terlupa" akan keperluan pendidikan anak-nak mereka ini ketika mendapatkan wang berkenaan dan menunaikan tanggungjawab mereka.
Apabila kawalan ibubapa yang semakin longgar dan ditambah dengan pengaruh hiburan yang merata di media dan kejiranan, ramai anak-anak pelajar ini yang hanyut dan memilih berhibur dan gaya hidup bebas sebagai keutamaan berbanding pelajaran atau ke sekolah. Gaya hidup begini yang memerlukan wang yang banyak seterusnya mendorong sebahagian mereka ini bekerja sambilan atau terus bekerja tetap walaupun masih bersekolah. kadang-kala juga, ibubapa seakan rela dan membiarkan anak-anak mereka tidak ke sekolah atau fokus kepada pelajaran kerana sekurang-kurang dapat mengurangkan beban kewangan keluarga.
Salah satu kaedah yang dijalankan oleh sebahagian sekolah ialah dengan menyediakan perkhidmatan watsapp kelas antara guru-guru tingkatan dengan penjaga bagi memaklumkan kegiatan anak-anak dan aktiviti sekolah. Namun, bagi sesetengah ibubapa daripada kelompok SES yang rendah ini, seakan-akan tidak memperdulikan maklumat ketidakhadiran anak-anak mereka dan tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengatasinya. Ada juga yang ibubapa begini memaklumkan bahawa mereka telah hilang kemampuan untuk mengawal anak-anak mereka dan menyerahkan segala-galanya kepada sekolah.
Pada pandangan saya, sudah sampai masanya pihak kerajaan menampung segala kos pendidikan atau bayaran-bayaran yang ada di sekolah terutamanya bagi golongan ibubapa yang miskin atau tidak berkemampuan ini. Bayaran eloklah disalurkan terus ke sekolah agar pihak sekolah boleh memastikan pelajar-pelajar begini dapat dibantu secara terus dan mereka dapat bersaing sma seperti pelajar yang berkemampuan. Dengan bantuan yang disalukan terus ke sekolah ini, pihak sekolah boleh memastikan segala bayaran yang sepatutnya dibayar dapat dipotong terus daripada peruntukan tersebut dan ibupa tidak lagi boleh menggunakan alasan anak-anak mereka tidak mahu ke sekolah kerana malu tidak ada keperluan persekolahan yang cukup, tidak membayar sumbangan PIBG atau pelbagai alasan lagi yang kebanyakannya menyalahkan pengurusan sekolah.
Pihak kerajaan boleh menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma untuk anak-anak golongan kurang berkemampuan ini untuk ke sekolah. Rata-rata ibubapa daripada golongan ini sering bersungut tentang kos bas sekolah yang tinggi dan mereka tidak mampu menjelaskannya.
Ibubapa pelajar di kawasan-kawasan begini juga perlu diberikan bimbingan dan pendedahan tentang ilmu keibubapaan dan kepetingan pelajaran secara terus agar mereka dapat diperingatkan akan kepetingan pelajaran anak-anak mereka. Mereka perlu didedahkan bahawa mereka tidak harus terlalu menumpukan kepada mencari nafkah semata berbanding memberikan didikan yang sempurna kepada anak-anak mereka. Mereka tidak perlu terlalu bermati-matian mengumpul harta dunia ini sedangan harta mereka yang paling bernilai iaitu anak-anak mereka ini diabaikan begitu saja.
Ibubapa golongan ini juga perlu disedarkan akan keperluan mereka bertindak ikut KEUTAMAAN. Keutamaan bagi mereka ialah memberikan didikan kepada anak-anak ini. Perubahan sikap dan mentelati kelompok ini harus dibetulkan. Mereka perlu diberikan set pemikiran yang mengutamakan kecemerlangan pendidikan anak-anak dan pembentukan keluarga yang sempurna demi kehidupan yang lebih baik dan berfokus.