SLOGAN KECEMERLANGAN 2017

Sunday, May 24, 2015




HARI SUKAN SMKTTJ-SARANA- KOLABORASI KOMUNITI & SEKOLAH..9 MEI 2015

Hari Sukan Sekolah pada tahun ini merupakan hHari Sukan yang paling meriah dan paling ramai dihadiri oleh para ibubapa dan pelajar.

Dalam suasana pagi yang sejuk berikutan hujan pada sebelah malamnya, para atlet SMKTTJ dan para hadirin tampak begitu bersemangat. Walaupun keadaan padang becak dan sebahagian tempat terdapat lopak-lopak air, namun para peserta tetap berlari laju.

Kehadiran para ibubapa yang ramai, bukan sekadar memberikan semangat kepada anak-anak mereka yang terlibat di dalam temasya sukan ini, namun ia juga dapat menceriakan majlis dengan penyertaan mereka di dalam acara ibubapa dan guru.
Majlis pada hari ini juga turut disertai oleh Yang Berhormat Tuan Ghazali Bin Wahid , ADUN Paroi , yang merasmikan majlis penutupannya dan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang . Beliau juga telah sempat menyaksikan beberapa acara utama dan menjadi pengadil kepada acara tarik tali antara rumah.
Pada majlis ini juga, penghormatan yang utama turut diberikan kepada ibubapa untuk menyampaikan semua hadiah-hadiah kemenangan kepada pemenang-pemenang.

Di samping itu, beberapa wakil syarikat swasta yang terdiri daripada rakan-rakan Sarana sekolah turut hadir dan diberikan penghormatan untuk menyampaikan hadiah. Antaranya ialah wakil daripada Kim Tiles, Taman Tuanku Jaafar, wakil daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Negeri Sembilan, Cosmopoint dan MSU.






MAJLIS ANUGERAH BULANAN KELAS 1 UIA- MEI 2015

Sifat kreatif dan innovatif  amatlah digalakkan untuk diamalkan oleh setiap warga sekolah, khususnya para pelajar.

Sikap ini ditunjukkan oleh para pelajar 1UAI, dengan cemerlang. Kelas yang dibimbing oleh Guru Tingkatannya, Puan Rupidah telah berjaya mengadakan Majlis Anugerah Kelas Bulanan mereka sendiri.

Sesuatu yang amat menarik , Majlis ini juga mendapat sokongan dan penglibatan sebahagian ibubapa pelajar yang turut hadir pada pagi berkenaan. Ibubapa juga telah sudi menyediakan hadiah dan makanan untuk jamuan ringkas.
Pelbagai anugerah telah disampaikan pada hari berkenaan. Di samping itu majlis turut diselang-selikan dengan beberapa acara seperti pembacaan sajak dan ucapan.
Bagi pihak sekolah, kita amat menggalakkan usaha -usaha kreatif dan innovatif yang ditunjukkan oleh para pelajar ini dan guru tingkatannya. Begitu jugalah dengan ibu -ibu yang perihatin dan memberikan sokongan hebat kepada anak-anak mereka.
Semoga ada banyak lagi kelas-kelas lain yang menurut jejak langkah kelas 1UIA ini ,  ke arah melahirkan pelajar yang kreatif dan innovatif ini.

TERIMA KASIH PUAN HJH. FUADDAH- & SELAMAT BERSARA- 1 MEI 2015


Punch out terakhir...Selamat Bersara Puan Hjh. Fuaddah , KPT SMKTTJ 1 Julai 2011 - 1 Mei 2015.
Terima kasih di atas khidmat yang cemerlang dan jasa yang tidak terbilang...semoga sentiasa jadi kenangan, walaupun bersara , jasa tak hilang .

Semoga berbahagia menjalani persaraan dan sihat ke akhirnya. SMKTTJ sentiasa menanti dan menerima kunjungan...

Saturday, May 23, 2015

REUNION SDSR 1983-87-90- TERLALU CEPAT MASA BERLALU...







MAJLIS PERASMIAN MINGGU PPDa SMKTTJ - 7 MEI 2015

Alhamdulillah,
Program yang dirancang oleh Unit Kaunseling SMKTTJ akhirnya berjaya dilaksanakan dengan operasmiannya yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato Dr Musa Bin Ahmad, Naib cencelor USIM . Majlis yang diadakan pada waktu malam itu bermula sejak jam 8 malam dan berakhir sekitar jam 11.00 malam.

Turut hadir pada majlis ini ialah; Ketua Pengarah Psikologi JPA, Ketua Pengarah ACCREDA, Ketua Sektor Kemanusiaan JPNS, Pengarah AADK Negeri Sembilan, Pengarah Kesihatan Daerah Seremban, Pengarah Pusat Tahmidi, USIM, Pengarah Jabatan Komuunikasi Korperat USIM, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan beberapa tetamu lain.

Majlis pada malam itu juga dihadiri oleh pelajar dan guru-guru sekolah ini serta para ibubapa dan komuniti setempat.

Pelbagai acara diadakan sempena majlis berkenaan. Selain ucapan -ucapan daripada tuan Pengetua, Ketua Sekotor yang mewakili Dato Pengarah dan Ucapan Perasmian oleh Naib Censelor USIM, hadiri juga dihidangkan dengan persembahan Qasidah oleh pelajar-pelajar BADAR SMKTTJ , Tayangan Dokumentari  dan Forum PPDa.

Majlis Forum ini menemukan panelis seperti Pengarah Jabatan Psikologi JPA, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Tok Hamzah (bekas banduan tali gantung ) dan seorang pegawai AADK Negeri Sembilan.

Ternyata program ini mendapat sambutan yang memuaskan. pihak sekolah amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh agensi -agensi kerajaan dan NGO serta USIM yang telah  memberikan sokongan yang kuat di dalam menjayakan program ini. Pihak USIM melalui Naib Censelor telah membawa bersama kontigen yang hebat termasuk 40 orang pelajar dan Alumni ACCREDA bagi menjayakan majlis berkenaan.

Rata-rata menyatakan kepuasan dan kekaguman di atas kejayaan perlaksanaan program ini. Seperti menurut ahli panel daripada AADK, yang menyatakan bahawa program ini adalah satu program yang hebat dan mempunyai kelainan dari segi konsepnya. Program PPDa SMKTTJ yang memberikan penekanan kepada konsep penyebaran maklumat dan melibatkan komuniti, pelajar , ibubapa dan para guru adalah suatu konsep baru di dalam program pencegahan dadah.

Program ini yang memasukkan unsur SARANA , adalah seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia , yang memerlukan penglibatan menyeluruh ibu bapa dan masyarakat serta agensi kerajaan dan swasta di dalam membantu sekolah

Hal ini juga telah disentuh oleh Tuan Pengetua di dalam ucapannya yang menegaskan bahawa konsep program PPDa di SMKTTJ adalah lebih menekankan kepada penyebaran maklumat kepada semua pihak , termasuk pelajar, guru, ibubapa dan komuniti tentang keperluan untuk sama-sama bekerjasama membasmi dadah dan melindungi pelajar daripada terlibat di dalam dadah. Ini memandangkan bahawa, keselamatan pelajar daripada ancaman dadah ini  di dalam kawasan sekolah adalah terkawal dan tiada kes. Namun acaman sebenar adalah di luar kawasan sekolah. Justeru itu, jika semua pihak yang berada di luar sana tidak membantu , maka segala usaha pihak sekolah di dalam melindungi para pelajar ini akan menjadi sia-sia sahaja.

Justeru ini, aspek penyebaran maklumat yang mampu sampai ke seluruh pelusuk masyarakat adalah keutamaan sekolah.


Justeru itu, penggunaan segala media cetak, elektronik dan ICT digunakan di dalam usaha penyebaran maklumat ini. Penggunaan banting, banner, Facebook, watsapp, telegram, blog, VLE , e mail dan sebagainya adalah menjadi fokus utama sekolah.


Aspek kedua yang menjadi keutamaan di dalam program PPDa SMKTTJ adalah , setiap program dan aktiviti yang melibatkan PPDa ini mestilah melibatkan terus para pelajar dan komuniti setempat.

Justeru itu, setiap poster, banting dan edaran berkaitan program ini adalah menggunakan gambar pelajar-pelajar dan komuniti yang ada di sekolah ini. Ini bertujuan untuk memastikan mereka terlibat terus dan mesej yang hendak disampaikan , akan terus kepada mereka.

Aspek ketiga yang menjadi penekanan di dalam program ini ialah, penekanan kepada slogan "Hidup Bahagia / Cemerlang tanpa Dadah". Justeru itu, pemaparan wajah yang ceria,  kejayaan dan kecemerlangan serta pencapaian yang hebat di dalam setiap aspek kehidupan adalah menjadi tema utama di dalam setiap paparan di banting, banner atau media-media lain. Ini adalah bertujuan bagi memenuhi dan menyesuaikan paparan dengan slogan yang digunakan. Gambaran yang berkaitan dengan kesengsaraan, dan penderitaan hidup akibat penyalahgunaan dadah tidak lagi menjadi keutamaan, walaupun ia dianggap sebagai masih penting.

Aspek yang akhir adalah berkaitan penggunaan unsur kerohanian dan kasih sayang terutamanya ibubapa dan keluarga yang menjadi antara faktor penting di dalam menghindarkan para pelajar daripada terlibat di dalam penyalahgunaan dadah. Keruntuhan rumah tangga dan peninggalan unsur kerohanian dan agama , memang diakui sebagai faktor utama kepada penglibatan penggunaan dadah di kalangan pelajar dan remaja. Justeru itu, penglibatan ibubapa melalui SARANA IBUBAPA  di dalam program ini amat bersesuaian dan berkesan

HARI GURU SMKTTJ 2015- KREATIVITI, INOVASI DAN KOLABORASI...18 MEI 2015

 HARI GURU SMKTTJ 2015 disambut dengan menonjolkan 3 unsur penting iaitu KREATIVITI, INOVASI  dan KOLABORASI.

Acara sambutan pada tahun ini telah dijayakan dengan cemerlang dengan memaparkan suatu idea baru hasil keativiti dan kolaborasi antara semua pihak khususnya Kelab Guru dan Staf serta Badan pengawas yang menjadi penganjur utama sambutan pada tahun ini bersama- sama bidang-bidang dan unit-unit yang ada di SMKTTJ ini. Tidak lupa kerjasama yang dijalinkan dengan para ibubapa melalui PIBG dan Sarana serta Balai Polis Senawang dan Bank Rakyat Senawang.

Sambutan pada tahun berkonsepkan mengikut bidang masing-masing. Bidang Bahasa bertemakan Lagenda, yang bercirikan tudung daripada kain pelikat.  Bidang Kemanusiaan pula bertemakan Glamour & Elegant: bercirikan pakaian berwarna hitam dan putih yang indah. Bidang Sains dan Matematik pula memaparkan tema pakaian berwarna merah. Bidang teknik dan Vokasional pula memapaparkan tema pakaian pengantin dan Unit PPKI pula bertemakan Flora & fauna. Bagi merancakkan lagi suasana mereka sepakat untuk mengadakan pertandingan pakaian yang terbaik dan menarik pada hari berkenaan.

Seperti yang dijangkakan, pasukan Bidang Teknik dan Vokasional telah keluar sebagai pemenang bagi pertandingan pakaian ini.

Bagi Badan Pengawas yang terdiri daripada para pelajar pula mereka membawakan tema retro di dalam pakaian dan persembahan mereka.

 Sambutan pada hari ini dimulakan dengan jamuan minum pagi bagi semua guru yang disumbangkan oleh pihak PIBG . Ia diikuti kemudiannya dengan perarakan masuk semua guru ke perkarangan Dataran Cendiakawan dengan diiringi  pukulan kompang daripada pasukan kompang sekolah. Setiap pasukan didahului oleh pembawa nama  pasukan yang terdiri daripada para pengawas sekolah. Pasukan pengurusan sekolah yang terdiri daripada Pengetua dan penolong kanan , Ketua Bidang dan PIBG/ Sarana , mendahului perarakan.


  Turut hadir menjayakan dan memeriahkan majlis pada hari ini ialah NYDP PIBG, Puan Azlinda Abas, AJK PIBG , Puan Zuraiza Mohamed dan wakil Sarana yang diketuai oleh Pengerusi Sarana , Puan Azlin Othman, Puan Suria Mohamed dan Puan Rohani Morad.  YDP PIBG, Kol Samsirudin turut meluangkan masa selama sejam pada pukul 10.00 pagi hingga jam 11.00 pagi . Kehadiran beliau amat dihargai kerana masih sempat menghadirkan diri walaupun di dalam tugas.

 Acara di teruskan dengan bacaan doa hari guru dan acara-acara rutin seperti ucapan- ucapan daripada wakil pelajar,  Tuan Pengetua dan perutusan daripada Menteri Pendidikan dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Seperti kebiasaan pada tahun-tahun sebelum ini juga, acara pengumuman dan penyampaian sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) telah disampaikan oleh Tuan Pengetua di pentas utama. Seramai 10 orang penerima APC pada tahun ini diketuai oleh GPK 1 , Encik Akashah Ismail.

Acara sambutan pada tahun ini banyak berkisar kepada acara  sukaneka  yang melibatkan acara seperti pertandingan gubahan, makan buah-buahan, boling buah kelapa, membawa bola menggunakan lutut, solekan kepada pelajar , lari ikat kaki berpasangan serta pertandingan mengukur kelapa.


 Acara sambutan pada hari ini turut dimeriahkan dengan acara yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar iaitu acara persembahan pentas oleh para pelajar dan guru.

Guru-guru telah menunjukkan bakat dan sifat sporting di dalam melayan permintaan anak-anak murid yang mahu meraikan guru-guru mereka. Semoga kesediaan para guru memenuhi permintaan para pelajar ini akan menjadi kenangan terindah buat mereka sempena hari guru ini dan menjadi pengalaman terindah mereka semasa menuntut di SMKTTJ.

Pada hari ini juga , Tuan Pengetua sendiri telah dijemput menyanyi bersama para pelajar ini sebanyak 3 kali. Tahniah buat guru-guru lain juga yang amat sporting dan bersama-sama menyanyi dengan niat untuk menghiburkan hati anak-anak murid kita ini.


 Sesungguhnya , sambutan Hari Guru  SMKTTJ 2015 ini juga amat bertuah kerana mendapat sokongan dan sumbangan daripada pelbagai pihak. Pada kali ini juga , SMKTTJ menerina 5 buah kek hasil sumbangan daripada , Polis Senawang, Kelab Guru dan Staf, PIBG, Sarana dan Bank Rakyat. Balai Polis Senawang, seperti tahun-tahun sebelumnya, menjadi penyumbang kek terawal setiap tahun apabila mengahantar kek berkenaan sehari sebelum sambutan.  Sumbangan ini adalah sebagai suatu bukti kejayaan konsep Sarana dan sekolah Milik Komuniti yang dilaksanakan di SMKTTJ.

Sesungguhnya sambutan Hari Guru ini bukan sekadar untuk kita mengingati jasa para pendidik yang telah bekorban mendidik anak-anak dengan ilmu pengetahuan,  namun ia juga sebagai suatu acara bagi merapatkan hubungan dan menambah kemesraan antara guru dan pelajar serta ibubapa dan komuniti. Ia juga penting sebagai suatu usaha bagi meningkatkan kefahaman komuniti dan ibubapa terhadap tugas dan tanggungjawab para guru di dalam mendidik dan membentuk akhlak di dalam diri anak-anak pelajar ini.

Justeru itu, walaupun pada tahun ini, perayaan tidak diuruskan secara langsung oleh ibubapa sepertimana pada tahun 2014 yang lalu, namun ibubapa tetap hadir dan menyumbang memberikan sokongan. InsyaAllah, mereka telah memutuskan untuk kembali semuala pada tahun hadapan.







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...